Thursday, December 16, 2010

Kenalilah hati kita (sambungan): Hati yang mati


Assalamu’alaikum wm

Alhamdullillah, sekali lagi marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah SWT  kerana dengan izin KurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini.  Sabenarnya suasana sebegini amat  kita perlukan  sebagai sumber alternatif untuk mendidik hati-hati  kita. Berdoalah kepada Allah supaya Allah sentiasa tetapkan hati kita yang sentiasa berubah…..
“…..Wahai Tuhan yang membolakbalikan segala hati, tetapkan hatiku di dalam agamaMu …Ameen Ya Allah”

Saudara dan saudari yang di muliakan

Pada kali ini saya ingin menyambung  sedikit  peringatan Ibnu Qayyim tentang masalah hati yang mati. Sabenarnya contoh laporan berita yang saya sertakan di bawah ini menunjukkan ramai manusia di kalangan masyarakat kita ini yang mati hatinya dan sanggup berbuat sesuatu di luar sifat kemanusiaan …Jadi kita perlulah berusaha membantu masyarakat kita yang tenat ini di dalam kemampuan kita.

Kita di peringatkan bahawa hati yang mati merupakan lawan kepada hati yang sihat yang telah kita bincangkan sebelum ini.  Hati mati ini pada hakikatnya tidak mengenali Allah SWT  dan tidak pernah menyembah serta menurut perintahNya. Mereka ini tidak di sayangi Allah dan tidak mendapat keredaan Allah SWT.  Hati mereka hanya di kuasai oleh hawanafsu dan hanya menurut kehendak hatinya saja. Hingga mereka menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan mereka.

Allah berfirman di dalam surah Al Furqan ayat 43 yang bermaksud

“Sudahkah engkau (Muhammad) melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?”

Apabila hawa nafsu telah menguasai hati, maka jadilah ia saperti kanak-kanak yang tidak tahu menggunakan akal dan fikirannya. Cinta kepada Allah SWT  dilupakan.  Apabila kita melupai Allah maka Allah akan melupakan kita…

Allah SWT berfirman di dalam surah Al Hasyr ayat 19 yang bermaksud

“ Orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah melupakan mereka terhadap dirinya sendiri”

Saudara dan saudari

Hati yang mati  lebih mengutamakan hawa nafsunya daripada Allah SWT. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai imamnya, syahwat sebagai pemimpinnya, kebodohannya sebagai panduannya dan lalai sebagai landasannya.

Di dalam ingatan  mereka yang mati hati ini, hanyalah  dipenuhi oleh keinginan untuk memenuhi kehendak dunia. Mereka terpengaruhi dengan kemewahan dan mabuk hawa nafsu.  Seruan untuk kembali mengingati Allah dan hari Akhirat, tidak diperdulikan.  Mereka hanya mengikut telunjuk syaitan yang menyesatkan. Dunia menjadikannya  lalai dan mabuk. Hawa nafsu telah membuatnya buta dari perkara yang benar…

Awasilah syaitan yang menjadi musuh kita yang sentiasa berusaha untuk mematikan hati kita. Syaitan inginkan kita di humban ke neraka.  Renungilah ingatan Allah SWT
“ Sesunggunya syaitan itu musuh bagi kamu maka anggaplah ia benar-benar musuh.  Sesungguhnya sekutu-sekjutunya menyeru mereka dan kamu menjadi penduduk neraka [ Surah Al Fatir; Ayat 6]

Oleh itu marilah sama kita menjaga hati kita agar tidak mati dan tidak melupakan Allah SWT di dalam setiap keputusan berkaitan amalan hidup kita ini. Ingatlah kita sentiasa di awasi Allah SWT dimana saja kita berada….
Maka takut lah akan Allah SWT dengan menjauhi segala perkara yang dapat mematikan hati kita dan menjadikan hati kita kembali sihat dan dapat melaksanakan segala perintah Allah SWT dengan sebaik mungkin sebelum kita di panggil pulang oleh Allah SWT.

“Dia (Allah) ada bersama kamu dimana saja kamu berada dan Allah itu melihat dengan terang apa yang kamu perbuat [Al Hadid:4]

Sekian, sekiranya ada kebenaran yakinlah ia datang dari Allah SWT, kelemahan adalah dari kita sebagai manusia dan perlu terus menjalani peroses pembersihan hati…InsyaAllah .Maaf di pinta

Sudahi dengan Tasbih Kafarah dan surah Al Asr..

Wasalam

Rujukan: Ibnu Qayyim Al Jauziyah: Bahagiakan hatimu

Sedikit berita tentang kekejaman manusia yang mati hatinya..

Kaki, tangan OKU dikerat
Oleh Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Kejam apabila mayat seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) ditemui dengan kedua-dua kaki dan tangannya dikerat sebelum dibuang berasingan oleh pembunuhnya berhampiran sebuah tokong di Kilometer 2.3, Genting Highlands, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, pembunuh remaja itu dipercayai cuba menghapuskan bukti dengan menyumbat anggota badan dan kepala mangsa dalam dua beg pakaian sebelum dibuang di lokasi berasingan ke dalam gaung. 
Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila dua pemburu haiwan eksotik yang mencari cicak menemui sebuah beg kecil dan terkejut apabila ternampak kaki terjuntai keluar dari beg berkenaan.

Pemburu berkenaan menghubungi polis selepas terkejut dengan penemuan anggota badan manusia itu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abd Rahman, berkata polis ke tempat kejadian dan menemui sebuah beg kecil berisi tangan kanan dan kaki kiri mangsa.

Selepas beberapa jam pencarian berhampiran kawasan gaung itu, polis menemui sebuah beg pakaian besar berisi mayat manusia.

Sebaik beg dibuka, polis menemui kepala dan badan mangsa yang dipercayai dibunuh tidak lebih dari 24 jam itu.

“Kami percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam gaung itu, malah badan mangsa dalam beg itu masih lengkap berpakaian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rosli berkata, pihaknya percaya remaja berkenaan OKU berdasarkan saiz kepalanya yang besar daripada badan serta tangan kanan agak kecil.

“Mangsa mempunyai tubuh badan yang agak gempal selain rambut kerinting. Usaha kini dijalankan untuk mencari tangan kiri dan kaki kanan mangsa,” katanya.

Menurutnya, tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa remaja perempuan.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat sama ada mangsa dirogol atau didera dengan kejam sebelum dibunuh.

“Anggota bahagian yang ditemui itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke lokasi kejadian mendapati gaung itu curam dan kawasan itu dijadikan tempat berehat sebelum sampai ke puncak Genting Highlands.

Lagi kes  penemuan mayat dikerat
  10 Ogos 2007: Mayat seorang ahli perniagaan Singapura ditemui pemilik sebuah kondominium di Mont Kiara dalam keadaan dikerat 11 selepas terhidu bau busuk dari peti sejuk ketika mengemas rumah yang dikosongkan penyewa. Mayat mangsa dibungkus menggunakan beg plastik hitam serta disumbat dalam peti sejuk yang dilekat dengan pita pelekat. 
  30 September 1997: Seorang lelaki menemui mayat yang dikerat empat diasing dengan anggota badan dalam satu bungkusan plastik, manakala kaki, tangan dan kepala pada bungkusan lain yang disimpan dalam beg pakaian di perdu pokok di Batu 6, Jalan Ipoh. 
  26 Julai 1997: Mayat wanita warga emas ditemui dalam enam beg plastik berasingan dikerat secara melintang sebanyak lima kali menjadi lapan bahagian dibuang dalam semak di Batu 6, Kampung Lubuk Jong, berhampiran Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang. Mayat ditemui seorang lelaki pemotong rumput. 
  3 Julai 1996: Mayat gadis berusia antara 14 dan 19 tahun yang tidak berkepala, tangan dan kaki yang diisi dalam beg plastik ditemui dalam longkang sebuah pasar raya di Taman Ipoh Selatan oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh. 
  22 Julai 1993: Misteri kehilangan Adun Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris, terjawab apabila mayatnya ditemui dipotong 18 bahagian dan ditanam dalam lubang sedalam 1.8 meter dan permukaannya disimen di kawasan kebun rumahnya di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, kira-kira 45 kilometer dari Raub. 
  8 Julai 1993: Penari dan penyanyi, Lily Chua dipotong menjadi 11 bahagian dan dimasukkan dalam sebuah beg beli-belah sebelum dicampak ke dalam parit di Kuala Lumpur.

1 comment:

  1. Ya Allah, hati kami ini mudah dikotori.
    maka permudahkan kami utk bertaubat serta menyucikan hati kami selalu.
    Engkaulah sebaik2 penolong. Amin

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...