Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Alhamdulillah setinggi kesyukuran
kita ucapkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu
lagi di alam siber ini. Selawat serta salam juga kita tujukan kepada junjungan
besar kita Nabi Muhammad SAW, Keluarga Baginda, Ahlul Bait , sahabat-sahabat awal saterusnya mereka yang mengikuti mereka itu sehinggalah kehari Kiamat. Oh ya, samada kita sedar tak sedar bulan Muharram telah pun pergi meninggalkan kita. Baru sangat kita menyambut tahun baru Hijrah…kini sudah masuk bulan kedua, bulan safar. Jadi bagi kita yang ingin mendidik hati kita untuk kembali
kepada cara hidup Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah maka seharusnya kita
muhasabah diri tentang amalan kita sebulan yang pantas berlalu. Adakah kebaikan banyak
dari kemaksiatan atau sebaliknya. Maka sudah semestinya kita teruskan bertaubat
dan berusaha untuk kembali berusaha bersungguh untuk mengambil Islam sebagai cara hidup kita. Lebih-lebih lagi umur kita yang tergolong di dalam kategori empat, lima, enam atau tujuh series ini….sudah menghampri garisan penamat.
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Pada kali ini saya ingin membawa
kita bersama meneliti nasihat yang diberikan oleh Ustaz Pahrol mengenai elemen terakhir kita
sebagai pekerja. Tak kiralah kita bekerja di mana dan apa jua pekerjaan kita,
nasihat diberikan ada baiknya untuk kita mengambil pengajaran.
Hendaklah sentiasa berusaha untuk lakukan
kebaikan
Sabenarnya, bukan
suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan
perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah
SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya
dan ia adalah sunahtullah.
Bukankah
syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta
kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi
kita manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada
suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan
kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi
baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.
Jika ditanya
adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,
tetapi
jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan
melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah
kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat
berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Dr Yusof
al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat
pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti
pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari
dengan falsafah Islam.
Etika dan
profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya
mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT
sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.
Kerja yang
bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati,
keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh
Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Seiring
pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan
elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika
melaksanakannya.
Jawatan,
kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan
untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang
wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah
duniawi dan manfaat ukhrawi.
Islam bukan
sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur
kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi
laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik.
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Oleh itu saya ingin mengajak diri
saya dan saudara saudari untuk berusaha meningkatkan amalan kebaikan di dalam
apa saja pekerjaan yang kita lakukan. Setiap amalan atau aktiviti kita wajiblah
ikhlas kerana Allah SWT dan mengikut lunas-lunas syarak…barulah Allah ikhtiraf amalan kita sebagai amal soleh. Sekian semoga
peringatan Ustaz Pahrol ini kita jadikan sebagai bahan
didikan hati kita bersama.
Maaf jua dipinta.
Sumber rujukan :*
Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Khamis, 11 September 2014 @ 5:28 AM