Friday, September 19, 2014

Peringatan untuk kita…berhati-hati di mana sahaja kita berada…namun yakinlah ajal maut di tangan Allah


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara Allah dan pelbagai nikmat yang lain…malah kita masih di berikan nyawa oleh Allah SWT. Bersyukurlah dan lahirkan tanda kesyukuran kita kepada Allah…Maka perlulah kita ingat bahawa semua apa yang ada pada kita ini adalah pinjaman belaka dan Allah akan ambil kembali pada bila-bila masa sahaja. Inilah hakikat kehidupan hatta nyawa yang Allah pinjamkan ini juga akan di ambil kembali dengan pelbagai sebab musabab saperti yang berlaku setiap hari dan dilaporkan oleh media massa. Petikan akhbar di bawah ini cukup sudah untuk menjadi bahan renungan dan didikan hati kita. 

Ingatlah Firman Allah SWT di dalam  Surah An-Nisa ayat ke 78…..
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (78)”
Semoga kita dapat mengambil pengajaran, InsyaAllah.

Alfatihah untuk saudara kita..Ajal rakam gambar
Shah Alam: Kegembiraan seorang penuntut wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, yang sedang merakam gambar bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di kawasan kampusnya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Fatin Farah Farradia Yusof, 20, maut selepas mengalami kecederaan dalaman.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri kuliah bersama dua lagi rakannya sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah wanita berusia 54 tahun.

Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dari bukit pada ketinggian kira-kira lima meter.

Mangsa adalah penuntut Diploma Sains Sukan dan Rekreasi tahun kedua dan berasal daripada Dungun, Terengganu.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, mangsa dikatakan sedang berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh kereta menyebabkan mangsa tercampak.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kerana mengalami pendarahan dalaman kira-kira jam 7.30 malam.

“Pensyarah yang merempuh mangsa dikatakan mengalami masalah kesihatan sebelum kejadian sehingga menyebabkan beliau gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.

“Pensyarah terbabit kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk mendapat pemantauan doktor,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR, semalam.

Jenazah Fatin akan dibawa ke kampung halamannya di Dungun untuk dikebumikan sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

ALFATIHAH…..
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...