Assalamu’alaikum wm
Bismilahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan
Alhamdullillah sekali lagi kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini..mudah-mudahan Allah mudahkan segala urusan kehidupan dan dapat kita jadikan segala aktiviti saperti berkeluarga atau bekerja mencari rezeki ini sebagai ibadah ….dan di terima Allah sebagai amal soleh..Oleh itu marilah kita betulkan niat kita dari awal-awal lagi supaya apa yang kita lakukan hanyalah kerana Allah SWT semata-mata. Dan pastikan juga jalan-jalannya juga adalah syarak..
Saudara dan saudari…..
Pada kali ini marilah sama-sama kita melihat satu perkara yang penting di dalam kehidupan kita iaitu persoalan mengenai harta yang kita miliki. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa harta merupakan perhiasan dunia yang seringkali menjadikan kita lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT. Pada hal semua harta yang kita miliki akan di pertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Selain itu harta adalah amanah dari titipan Allah untuk menguji sejauh mana kita mensyukuri harta tersebut. Allah SWT berfirman yang bermaksud…..
“ Di jadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, binatang ternak , kuda pilihan dan sawah ladang, itulah kehidupan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (Syurga)”[ Ali Imran: 14]
Firman Allah SWT lagi….
“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anak mu itu hanyalah dugaan dan disisi Allah pahala yang besar” [An Alfal: 28]
Sabenarnya harta tidak akan mendatangkan berkat kecuali jika berada di tangan orang yang soleh. Sebab harta orang yang soleh digunakan sebagai jalan untuk meraih keuntungan di Akhirat, sedang harta orang tidak soleh digunakan hanya untuk menikmati kehidupan dunia yang sesaat.
Sabda Rasulullah SAW “Sebaik-baik harta ialah harta yang berada di dalam tangan orang yang soleh” [HR Muslim,Ibnu Majah dan Ahmad]
Saidina Ali RA juga memperingatkan kita..bahawa segala yang halal itu akan dihisab oleh Allah SWT , sedangkan yang haram akan diazab oleh Allah SWT.
Saudara dan Saudari….
Sesungguhnya harta yang kita tinggalkan pada hakikatnya bukanlah harta kita tetapi harta yang di wariskan. Harta kita ialah harta yang kita gunakan untuk kebaikan pada jalan Allah dan sedekah jariah.
Firman Allah yang bermaksud….
Tunaikan zakat dan berilah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperolehi balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya [Al Muzammil:20]
Rasulullah SAW juga bersabda…
“Seorang hamba berkata, ‘hartaku, hartaku’. Sesungguhnya harta yang ia punyai itu hanya ada tiga, iaitu apa yang ia makan hinggan habis, apa yang ia pakai hingga usang, dan apa yang ia berikan hingga ia mendapatkan pahalanya. Sedangkan harta selain itu akan menghilang dan ditinggalkan untuk orang lain (diwariskan)” [HR Muslim]
Sesungguhnya semua harta yang dimiliki manusia tidak bersifat kekal sebab harta itu tidak akan di bawa mati dan harta itu juga tidak dapat membawa kebahagiaan yang abadi sebagaimana yang termaktub di dalam Firman Allah SWT…
“Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya” [Al Humazah:3]
Saudara dan Saudari….
Berlimpahnya harta bukanlah jaminan kebahagiaan yang abadi. Bahkan kadang-kadang harta itu dapat menjerumuskan kita ke dalam perbuatan maksiat. Di akhirat kelak, semakin banyak harta yang dimiliki, hisab yang diterima akan semakin lama dan berat. Rasulullah SAW bersabda…
“Sesungguhnyapada hari kiamat, orang-orang fakir muhajirin akan mendahului orang-orang kaya menujui syurga dengan jarak empat puluh tahun”[HR Muslim]
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa orang yang mempunyai sedikit harta lebih cepat masuk syurga kerana tidak banyak di hisab di padang Masyar. Sebaliknya orang yang memiliki banyak harta akan tersiksa di padang masyar kerana banyaknya tanggungjawab harta yang dimiliki, apatah lagi sekiranya hartanya bukanlah harta yang halal.
Meskipun dimikian, bukanlah orang-orang kaya tidak berpeluang untuk memperoleh kedudukan yang lebih baik di bandingkan orang miskin. Ibnu Qayim menjelaskan bahawa walaupun orang miskin lebih cepat menyelesaikan hisabnya,tetapi orang kaya memiliki kemungkinan memperoleh syurga dengan tingkatan yang lebih tinggi lagi. Sebab orang kaya dan berada mempunyai banyak amalan yang yang tidak mampu dikerjakan oleh orang orang miskin saperti ibadah haji, zakat, sedekah, mengasuh anak yatim, berjuang dengan harta dan sebagainya.
Saudara dan saudari
Semoga sedikit peringatan ini dapat memberikan kita sedikit panduan di dalam kita mengendalikan harta yang Allah limpahkan kan dan yang datang di dalam pelbagai bentuk kepada kita. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki Allah melalui jalan-jalan yang di redai Allah..Kemudian berusahalah juga dengan bersungguh-sungguh agar apa yang kita dapati itu dapat membantu kita di akhirat kelak….Ingatlah pesanan Rasulullah SAW ….
“Ketika anak adam meninggal dunia, maka terputuslah amalnya, kecuali tiga hal, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat, dan anak soleh yang mendoakannya” [HR Muslim]
Sekian, sekiranya ada kebaikan, semuanya dari Allah SWT jua…kelemahan yang ada ini adalah dari manusia…maaf di pinta
Wasalam
Rujukan: Kitab Tulisan Mahmudin
No comments:
Post a Comment