Thursday, June 23, 2011

Hadith Qudsi: Kurniaan dan Pinjaman Allah SWT terhadap kita…

Assalamu'alaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim

Sepotong  hadith Qudsi untuk kita renungi....
Firman Allah SWT dalam hadith qudsi yang bermaksud....

"Wahai hamba-hambaKu! Aku telah berikan kurnia kepada kamu dan Aku telah meminta hutang, pinjaman daripada kamu.  Barangsiapa yang telah memberikan sesuatu kepadaKu dari apa yang Aku kurniakan dengan taat, nescaya Aku membalasnya dalam waktu yang singkat (di dunia) dan Aku simpan baginya bagi waktu yang akan datang (Akhirat).  Tetapi barang siapa yang Aku ambil daripadanya sesuatu yang telah Aku berikan secara paksa, namun ia bersabar dan berusaha dengan ikhlas kerana Allah, nescaya Aku wajibkan pemberian hadiah dan rahmatKu baginya, dan Aku catatkan bahawa dia termasuk orang yang mendapat petunjuk, dan Aku berikan dia menikmati nikmat memandang kepadaKu."
[HR Rafi'i dari Abu Hurairah RA)

Semoga kita dapat mengambil pengajaran dan memperbaiki lagi amalan harian kita.

Maaf dipinta dan Wasalam




Monday, June 20, 2011

Muraqabah: Merasai kehadiran Allah di dalam diri..Allah sentiasa mengawasi kita


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Alhamdullilah sekali lagi marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya dapat kita bersama kembali di alam siber ini. Sesungguhnya masa bergerak begitu pantas tanpa kita sedari kita hanya mempunyai lebihkurang 41 hari saja lagi untuk masuk ke pusat latihan Ramadhan Al Mubarak. Berusahalah bersama-sama untuk membuat persiapan hati untuk memasuki bulan yang mulia ini.

Saudara dan saudari

Agak lama juga saya tidak bersama di alam siber ini kerana berada diluar Negara…Pada kali ini saya ingin berbicara sedikit mengenai topik muraqabah atau merasakan kehadiran Allah di dalam diri kita.

Muraqabah merupakan usaha dan upaya kita untuk menghadirkan Allah di dalam diri dengan mengawasi perangai, akhlak dan tingkah laku kita. Dengan merasakan hal ini maka kita sentiasa berusaha untuk berbuat baik dan menghindarkan perbuatan buruk kerana takut kepada Allah. Ini adalah disebabkan hati kita merasakan  bahawa Allah selalu mengawasi dan berada dekat dengan diri kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud..
“…Dan dia bersama kamu di mana saja kamu berada.  Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” [Al Hadid:4]

Juga Allah berfirman yang bermaksud....
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepada nya daripada urat lehernya” [Qaf:16]

Allah juga menegaskan kepada kita di dalam surah Fussilat: 22 yang bermaksud…
“Kamu sekali-kali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan, dan kulitmu kepadamu, malah kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan.”

Ayat-ayat di atas Allah peringatkan kita agar kita mesti berhati-hati di dalam melakukan sesuatu. Walaupun dimana kita berada, fikirlah semasak-masak sekiranya kita ingin melakukan maksiat atau melayani hawanafsu kita yang hanya memberikan kegembiraan yang sementara.  Ingatlah walau pun manusia tidak melihat, ayah, ibu, isteri, suami, anak, Bos atau saudara mahu pun kawan tetapi Allah selalu mengawasi gerak-geri  kita.  Kita boleh berdolak dalih atau menipu manusia tetapi  kita tidak boleh menipu Allah.  Tidak ada satu pun perbuatan kita yang tidak di awasi Allah. Bermula dari kita bangun ttidur hinggalha kita tidur semula, kita perlu sentiasa menjaga hati, lisan dan perilaku kita supaya tetap istiqamah dengan suruhan dan larangan Allah SWT.
Ingatan Allah lagi….
“ …Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [An-Nisa’:1]

Saudara dan saudari

Marilah kita mendidik hati kita bersama supaya sentiasa merasai kehadiran Allah di dalam kehidupan kita. Walau pun tidak semudah apa yang kita ucapkan tetapi kita tidak ada pilihan jika kita ingin Allah redha dengan kehidupan kita.  Apalah guna harta kekayaan yang bertimbun, berpangkat besar dan fizikal yang sihat tetapi Allah tidak redha dengan kehidupan kita.  Di dunia kita akan rugi dan di Akhirat apatah lagi…Di sana adalah kerugian yang hakiki..Akhirnya marilah kita renungi Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud…

“Janganlah kamu mengatakan bahawa kamu keseorangan, sesungguhnya Allah bersama kamu. Dan jangan lah kamu mengatakan bahawa tidak ada yang mengetahui isi hatimu, sabenarnya Allah mengetahuinya” [HR Ahmad]

Sekian, semoga kita dapat mengambil sedikit pengajaran dari perbincangan di atas.
Maaf di pinta , Wassalam
Rujukan antaranya: Kitab tulisan Mahmudin

Wednesday, June 1, 2011

Pesanan Imam Al Ghazali: berlumba melakukan kabaikan...

Bismillahhirrahmanirrahim


Assalamualaikum wm


Saudara dan saudari yang dimuliakan


Marilah kita sama-sama berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Berdoalah semoga Allah selalu memudahkan urusan kita...
Firman Allah SWT....
"Maka berlomba-lombalah engkau sekalian untuk mengerjakan berbagai kebaikan" [Al Baqarah : 148]


Rasulullah SAW bersabda


" Bersegeralah engkau sekalian melakukan amalan-amalan yang baik-sebelum datangnya tujuh perkara. Apakah engkau sekalian menantikan -enggan melakukan dulu, melainkan setelah datangnya kefakiran yang melalaikan, atau tiba kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau tibanya kesakitan yang merusakan atau tiba masa tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak keruan lagi, atau tibanya kematian yang  yang mempercepatkan-lenyapnya semua hal atau tibanya dajjal, maka ia adalah seburuk-buruk makluk ghaib yang ditunggu, atau tibanya  hari kiamat, maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit penaggguhannya [HR Tarmizi]


InsyaAllah , mudahan Allah bantu kita untuk melakukan kebajikan walau sekecil mana pun


Maaf di atas segala kesilapan


Wasalam 


Tarmizi

Wednesday, May 25, 2011

Marilah kita berfikir dan bersyukur di atas segala pemberian Allah SWT ke atas kita…


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT  kerana dengan izin kurniaNya  jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan dari masa kesemasa dapat kita tingkatkan hubungan kita dengan pencipta kita …Allah SWT yang Maha mengetahui tentang kejadian kita, jasmani kita, ruh kita dan juga fikiran kita.  Kita tidak akan lemah sekiranya  kita mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah yang Maha Kuasa …Berusaha dan berdoalah..

Saudara dan saudari

Pada kali ini marilah kita sama-sama memikirkan tentang nikmat yang terlalu banyak yang Allah telah berikan kepada kita. Dengan hanya memerhatikan tubuh badan kita dari hujung kaki ke hujung rambut sudah cukup untuk kita bersyukur tentang nikmat yang kurniakan ini. Memang tepatlah sapertimana Firman Allah SWT  yang bermaksud…..
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya” [HR Ibrahim: 34]

Kesihatan badan kita, keamanan,  suasana kehidupan sekeliling, suasana aman di tempat kerja kita, makanan, pakaian, udara, kawan yang baik, keluarga dan sebagainya, semuanya itu adalah nikmat Allah SWT kepada kita.  Allah SWT berfirman yang bermaksud…..
“Dan menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir dan batin” [ Lukman:20]

Kita memiliki dua mata , satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, serta  banyak lagi nikmat Allah SWT yang kita perolehi.  Itu antara nikmat pancaindera yang Allah SWT kurniakan untuk memudahkan kita menjalani kehidupan ini. Semua pemberiaan ini adalah nikmat yang kita tak dapat nafikan…
Firman Allah SWT yang bermaksud…
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”[Ar Rahman:13]

Saudara dan saudari

Fikirkan juga bahawa Allah mudahkan  kita berjalan dengan kemudahan kaki yang Allah berikan kepada kita.  Bayangkan sekiranya lutut kita sakit atau lumpuh….barulah kita dapat rasai nikmat kaki yang sempurna…tetapi apa yang berlaku kita tidak gunakan untuk menambah kebaikan kita saperti berjalan menolong orang, berjalan pergi ke mesjid, berjalan ke majlis ilmu, jalan pergi menziarahi sahabat dan taulan…..sama-sama lah kita fikirkan…

Fikirkan juga nikmat tidur dan makan yang Allah SWT berikan kepada kita…lihatlah disekeliling kita…terdapat ramai manusia tidak dapat makan kerana sakit terpaksa menggunakan tiub dan sebagainya….ramai yang tak dapat tidur kerana kesakitan ….syukurlah dan hargailah nikmat Allah dengan kita tambahkan amal ibadah kita.

Renungilah pula nikmat pendengaran yang sihat, penglihatan yang normal dan terhindar dari kecacatan. Juga  nikmat kulit dan juga akal yang waras yang dikurniakan Allah kepada kita. Ramai manusia di luar sana yang ditempatkan di hospital pesakit mental dan sebagainya. Maka gunakan akal yang waras ini untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Sungguh bernilai nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Sekarang kita persoalkan diri kita…adakah kita mahu sebelah mata kita diganti dengan emas sebesar gunung? Adakah kita sanggup mengantikan telinga yang sempurna ini dengan gunung perak? Apakah kita juga sanggup untuk lidah kita diganti dengan istana megah dan kemudian dapat kita tinggal di dalam nya tanpa boleh bercakap! Banyak lagi yang kita boleh kita catitkan tetapi kita sengaja tidak memikirkan  apa yang kita miliki yang  mempunyai nikmat dan nilai yang cukup tinggi dan besar yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Biasanya, kita selalu memikirkan  apa yang kita tidak miliki. 

Saudara dan saudari

Oleh kerana nikmat Allah SWT yang tidak ternilai yang Allah berikan kepada kita, maka marilah kita menjadi manusia yang selalu bersyukur di dalam kehidupan ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud….
“Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan” [Az-Dzariyat:21]

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud…
Siapa yang bangun dari tempat tidurnya dalam keadaan tenang, tubuhnya sihat dan kuat serta memiliki kekuatan untuk melakukan aktiviti kehidupan dalam hari itu, maka ia telah menggengam kehidupan dunia” [HR Tarmizi]
Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud
“Redalah dengan keputusan Allah maka anda akan menjadi orang yang paling kaya” [HR Tarmizi]

Saudara dan saudari

Sebagai tanda kesyukuran, marilah kita berusaha untuk mengerahkan segala pemberian Allah kepada kita  kepada jalan yang di redhai dan di cintaiNya, sesuai dengan apa yang disyariatkan bukan dengan cara mengabaikan perintahNya.  Tinggalkan laranganNya dan jalankan kewajiban dan yang disunahkan Nya dengan penuh syukur kepadaNya.  Inilah puncak perjalanan dalam agama Allah SWT.

Sekian, semoga kita sama-sama dapat mengambil peringatan.
Maaf di pinta.
Wasalam
Rujukan Dr Ibrahim Fiqhy dan Sheikh Said Hawa

Thursday, May 19, 2011

Hadith Qudsi: Rahmat Allah SWT terhadap kita…


Assalamualaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang dimuliakan….

Sedikit renungan…..

“Apabila seorang hambaKu merancang untuk melaksanakan satu kejahatan, janganlah kamu tuliskan dosa atasnya. Tetapi apabila dilaksanakan, barulah tuliskan satu kejahatan.  Dan apabila ia merancang melakukan satu kebajikan, lalu tidak dilaksanakannya, tulislah satu kebajikan.  Tetapi jika dilaksanakan, maka tulislah sepuluh kebajikan”
[HR Bukhari dan Muslim dari Abu Darda’]

Rasullullah SAW  juga bersabda

“Malaikat berkata: “ Ya Tuhanku, ada seorang hambaMu yang hendak melakukan maksiat.” (pada hal Allah Maha melihat).  Firman Allah:” perhatikanlah dirinya. Jika ia telah melakukannya, tulislah baginya kejahatan sapertinya.  Jika tidak melakukannya serta meninggalkannya tulislah baginya satu kebajikan.  Dia hanya meninggalkan (rancangan itu) kerana Aku” [HR Ahmad dan Muslim]

Semoga kita dapat mengambil  pengajaran mengenai belas kasihan dan rahmat Allah SWT terhadap kita  ini..
Wasalam
Rujukan Hadith Qudsi

Monday, May 16, 2011

Marilah kita iringi keburukan kita dengan kebaikan


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran kita yang tak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan limpah izin kurnianya dapat kita bertermu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan  kemudahan siber pemberian Allah ini dapat kita gunakan untuk terus mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.  Mudah-mudahan Allah jauhkan kita dari  menggunakan kemudahan ini untuk lalai dan melakukan maksiat terhadap Allah SWT. Sempena Hari GURU di Malaysia ini, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru kerana pengorbanan  mereka yang mendidik kita sehinggalah kita keperingkat yang kita berada sekarang ini. Semoga niat ikhlas para guru di dalam mendidik masyarakat Allah terima sebagai satu ibadah….

Saudara dan saudari

Setiap daripada kita  pasti mempunyai masa lalu , baik yang menyenangkan mau pun yang menyedihkan. Semua yang berlaku telah ditakdirkan Allah ke atas kita dan penyusunan Allah sekali pun pahit dan kita tidak sukai bukan diluar pengetahuan Allah. Allah.  Allah Maha Sempurna dan tidak pernah tersilap.  Semuanya penuh dengan hikmah dan ada kebaikan dan juga pengajaran untuk kehidupan manusia.

 Terkadang sebagai manusia biasa kita terasa ingin ke masa lalu agar kita tidak ingin berbuat salah atau sesuatu yang menyedihkan. Tetapi ini merupakan perkara yang mustahil. Kita boleh saja menyesali kesalahan ynag berlaku pada masa lalu, asalkan tidak berlebihan hingga merosakkan jiwa dan jasad kita. Sabenarnya Allah sangat sayang kepada kita dan masih memberikan kita peluang untuk meneruskan kehidupan kita.   Untuk kita menyesali  kesalahan yang telah kita lakukan, kita memohon ampun kepada Allah, meningkatkan amal soleh, memperbanyakan melakukan kebaikan dan menjalinkan silaturahim dengan orang lain.  Allah berfirman yang bermaksud …

Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan –perbuatan yang buruk….[Hud: 114]

Begitulah pentingnya berbuat baik dan sentiasa berusaha berbuat baik untuk menghapuskan dosa yang kita telah lakukan. Rasulullah SAW menjelaskan kembali di dalam sabda Baginda yang bermaksud………

“Bertaqwalah kamu di mana pun kamu berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan  menghapuskannya. Selain itu jalinlah sailatul rahim dengan orang lain” [ HR Ahmad, Tarmizi, Baihaqi, Hakim dan Ibnu Asakir]

Ayat dan hadith di atas menjelaskan kepada kita bahawa cara yang paling baik untuk memperbaiki kesalahan yang telah  kita lakukan.  Sehingga kesalahan tersebut boleh berganti dengan kebaikan yang melimpah.  Inilah bukti kekuasan dan penyayang  Allah yang menghapuskan  kesalahan hambanya.

Saudara dan saudari

Oleh itu marilah sama-sama kita mendidik hati kita supaya selalu ingin berusaha menambah ilmu dan amal kebaikan kita.  Kabaikan akan sentiasa membawa ketenangan kepada jiwa kita…Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud…

“Kabaikan (yang halal) itu ialah suatu yang tetap oleh diri dan tenang oleh jiwa dalam menghadapinya, dan dosa itu ialah suatu yang tidak tetap oleh diri dan tidak tenang oleh hati, sekalipun orang telah berfatwa kepada engkau” [HR Ahmad]

Jadikan juga hati kita sebagai penunjuk kepada sesuatu pekerjaan yang akan kita lakukan. Renungilah Wasiat Nabi Adam AS kepada anak-anaknya. Antaranya ialah
1.  Jika kamu hendak berbuat sesuatu tetapi hati kamu gelisah kerananya, maka janganlah kamu perbuat. Kerana aku sewaktu aku  memakan buah kayu, hatiku telah tergoncang dan gelisah.
2.  Jika kamu hendak mengerjakan sesuatu, lihatlah kesudahanya. Kerana kalau aku lihat dan fikir tentang akibat daripada makan buah tersebut, tentu tidak aku makan.
3.  Jika kamu hendak melakukan sesuatu perkara, maka berundinglah dengan orang-orang yang tertentu.  Kerana kalau sekiranya aku berunding dengan malaikat, tentu diberitahu kepada ku supaya jangan memakan buah terlarang itu.
 [Riwayat di dalam kitab Syarah Al arba’in al Nawawiyah]

Sekian, semoga kita dapat mengambil pengajaran dan amalkan bersama-sama di dalam kehidupan kita yang sementara ini…

Wasalam
Rujukan: Sebahagian penulisan Mahmudin dan Abu Qamar

Sunday, May 8, 2011

Wahai manusia: sedarilah bahawa Malaikat sentiasa mencatat amalan kita...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran kita yang tak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Bersyukurlah kerana Allah masih meminjamkan nyawa kepada kita untuk kita terus hidup dan dapat melaksanakan kehidupan harian kita. Mudah-mudahan kita dapat memilih jalan taqwa untuk melayari kehidupan kita yang penuh dengan cabaran ini.

Saudara dan saudari

Untuk kita berusaha mendidik hati kita supaya terus terikat dengan pengawasan Allah ialah kita kena merasai dan meyakini kehadiran Malaikat dalam mencatat segala amal baik dan buruk kita. Maka pada kali ini saya ingin mengajak saya dan saudara untuk merasai hakikat keyakinan ini dan ini adalah sebahagian daripada rukum iman yang wajib kita yakini.

Kita perlu yakini bahawa Allah SWT telah mengutuskan dua malaikat untuk mencatat semua amalan manusia, baik amal buruk mahu pun amalan baik. Amalan buruk kita akan di catit oleh Malaikat Raqib yang sentiasa berada disebelah kiri kita manakala amalan baik kita pula akan dicatit oleh Malaikat 'Atiq yang berada disebelah kanan kita. Yakinilah bahawa tidak ada satu amal pun yang boleh disenyembunyikan dari Malaikat. Segala tingkahlaku kita sentiasa diawasi dan dicatat setiap saat. Firman Allah yang bermaksud…

"Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada padanya Malaikat pengawas  yang selalu hadir" [Qaf: 18]
Allah berfirman lagi yang bermaksud…

"Dan sesungguhnya bagi kamu ada (Malaikat-malaikat yang mengawasi (pekerjaanmu).  Yang mulia (disisi Allah}) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan" [Al-Infitar: 10-12].

Ibnu Abbas ada mengatakan bahawa " Malaikat menulis semua perkataan manusia, baik perkataan yang baik maupun yang buruk. Malaikat mencatat perkataan, 'Aku makan,aku minum, aku pergi,aku datang,aku melihat dan sebagainya". Hal itu berlanjutan hingga hari khamis, ketika ucapan dan perbuatan itu ditayangkan."

Rasulullulah SAW ingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud…

"Jika seseorang berbicara dengan keredaan Allah, maka Allah akan mencatatkan perkataan tersebut saat perhintungan kelak, meskipun ia tidak menyangka bahawa hal itu dicatat oleh Allah. Sebaliknya jika seseorang itu berbicara dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan mencatat perkataan tersebut saat perhintungan kelak, walaupun ia tidak menyangka bahawa hal itu ditulis oleh Allah." [HR Ahmad]

Saudara dan saudari

Ingatkan selalu hati kita bahawa Malaikat tidak melepaskan satu amal pun, malah rintihan manusia juga akan dicatat oleh Malaikat. Imam Ahmad berkata" Pada suatu hari, aku merintih kesakitan. Lalu datanglah Tawus. Ia berkata,"Malaikat menulis segala hal, termasuk rintihan." Setelah mendengar perkataan Tawus, aku tidak lagi merintih."

Saudara dan saudari

Hasan Al Basri ada mengingatkan kita “Wahai anak Adam, sesungguhnya di sekeliling kamu ada dua Malaikat yang mulia.  Salah satu malaikat berada di sabelah kanan kamu.  Ia mencatat amal baik kamu. Malaikat lainnya berada disebelah kiri kamu dan mencatat amalan burukmu. Maka buatlah sesuka kamu.  Ketika kamu mati, dilipatkan buku catatan amalan kamu itu, lalu digantungkan dileher kamu hingga hari Kiamat tiba”

Allah berfirman yang bermaksud..
“ Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya.  Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka” [Al-Isra’: 13]

Sabenarnya Malaikat tidak hanya mencatat semua tingkah laku dan perbuatan kita. Mereka juga mecatat niat di dalam hati kita  samada niat baik atau buruk.

Malaikat Raqib dan ‘Atiq juga menulis semua jejak atau bekas yang ditinggalkan oleh manusia satelah mati, baik jejak yang baik atau pun buruk. 

Firman Allah SWT yang bermaksud…
“ Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami menulis apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan  di dalam kitab besar yang nyata (Lauh Mahfuzh).” [Yassin: 12]  

Saudara dan saudara yang dimuliakan

Oleh yang dimikian, marilah sama-sama kita mendidik hati kita supaya merasai diri kita sentiasa diapit oleh Malaikat Allah. Walau pun ibu, ayah, suami isteri, anak, ketua pejabat  kita tidak berada disisi kita tetapi ingatlah bahawa Malaikat Raqib dan ‘Atiq ada bersama kita untuk mencatat segala amal perbuatan kita.  Samada kita berada di dalam bilik, rumah, sekolah,  pejabat, makmal, ladang, laut atau dimana saja,  kita tak dapat lari dari diiringi Malaikat Allah. Berdolak dalihlah pada sesama manusia secara terangan  atau bersendirian, gunalah apa saja teknologi cagih saperti talipon bimbit, SMS, email, internet, facebook, blog dan sebagainya untuk menipu atau berbuat maksiat tapi kita tak akan terlepas dari catatan Malaikat Raqib dan ‘Atiq. Catatan di dunia boleh dipadamkan, disorok  atau dibuang tetapi catatan atau amalan yang sama akan ditayangkan kembali di Akhirat nanti. Amat dibimbangi lagi sekiranya semasa maksiat dilakukan Malaikat maut pula datang menjemput kita….takutlah wahai manusia…

Saudara dan saudari

Sekali lagi marilah kita sama-sama berfikir semasak mungkin sekiranya kita ingin mengikut nafsu dan melakukan maksiat. Tidak ada ruang kita dapat lari dari pengawasan Allah. Allah pinjamkan anggota badan kepada kita tetapi kita gunakan pula untuk melakukan perkara yang Allah larang. Sungguh kita tergolong di dalam golongan orang yang zalim dan tidak bersyukur! 

Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami disebabkan kami tidak takut kepadaMu dan MalaikatMu di dalam amalan harian kami…Ya Allah selamatkan kami dari azab kubur dan api neraka MU..Ya Allah .Ameen….
Sekian, maaf jua dipinta.
Rujukan: Antaranya Tulisan Mahmudin 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...