Tuesday, May 5, 2015

Al-Quran Al-Karim Mendidik Ummah: bahagian 1


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kita ke hadrat Illahi kerana mempertemukan kita lagi di alam siber. Pada kali ini marilah sama-sama kita hayati penulisan berkaitan perlunya kita kembali kepada Al quran untuk mendidik jiwa kita…


Kitab suci al-Quran adalah Kalam Allah Subhanahuwata’ala yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, dipindahkan daripada Baginda Sallallahu’alaihiwasallam dengan riwayat yang mutawatir dan ditulis dalam beberapa naskhah mashaf. Membacanya merupakan satu ibadah. Inilah takrif al-Quran yang dipersetujui para ulama Usul Fiqh dan bahasa.
HUBUNGAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Kebanyakan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak tidak secara detail atau terperinci (kulli). Peranan as-Sunnah yang merangkumi keperibadian, perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseorang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.
Al-Imam al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu ‘Atiyyah, katanya: ”Ketika wahyu turun kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, malaikat Jibril membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut. Maka setiap perkara yang lahir daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam samada dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan berasal daripada wahyu Allah Subhanahuwata’ala jua.
Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman:
“Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.”
(Surah an-Najm: 3-4)
Kehidupan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah penterjemahan realistik al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka dijawabnya: “Bahawa akhlaknya (Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam) adalah al-Quran.”
SUMBER PEMBENTUKAN UMMAH

Sumber pembentukan ummah Islamiah ialah al-Quran al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah terbitan daripada al-Quran al-Karim.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah model yang praktikal bagi didikan Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiah al-Quran samada dengan amalan, budi pekerti atau pun arahan-arahan.
DIDIKAN AL-QURAN SERTA NATIJAHNYA

Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di bumi. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperang sesama sendiri, bersatu padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan Allah Subhanahuwata’ala) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Terjemahannya:
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, maka tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq ”
(Surah ‘Ali Imran: 110)
Insya Allah bersambung…..
RUJUKAN : HALUAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...