Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Sekali lagi marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan dari masa kesemasa dapat kita tingkatkan hubungan kita dengan pencipta kita …Allah SWT yang Maha mengetahui tentang kejadian kita, jasmani kita, ruh kita dan juga fikiran kita. Kita tidak akan lemah sekiranya kita mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah yang Maha Kuasa …Berusaha dan berdoalah..
Saudara dan saudari
Pada kali ini marilah kita sama-sama memikirkan tentang nikmat yang terlalu banyak yang Allah telah berikan kepada kita. Dengan hanya memerhatikan tubuh badan kita dari hujung kaki ke hujung rambut sudah cukup untuk kita bersyukur tentang nikmat yang kurniakan ini. Memang tepatlah sapertimana Firman Allah SWT yang bermaksud…..
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya” [HR Ibrahim: 34]
Kesihatan badan kita, keamanan, suasana kehidupan sekeliling, suasana aman di tempat kerja kita, makanan, pakaian, udara, kawan yang baik, keluarga dan sebagainya, semuanya itu adalah nikmat Allah SWT kepada kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud…..
“Dan menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir dan batin” [ Lukman:20]
Kita memiliki dua mata , satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, serta banyak lagi nikmat Allah SWT yang kita perolehi. Itu antara nikmat pancaindera yang Allah SWT kurniakan untuk memudahkan kita menjalani kehidupan ini. Semua pemberiaan ini adalah nikmat yang kita tak dapat nafikan…
Firman Allah SWT yang bermaksud…
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”[Ar Rahman:13]
Saudara dan saudari
Fikirkan juga bahawa Allah mudahkan kita berjalan dengan kemudahan kaki yang Allah berikan kepada kita. Bayangkan sekiranya lutut kita sakit atau lumpuh….barulah kita dapat rasai nikmat kaki yang sempurna…tetapi apa yang berlaku kita tidak gunakan untuk menambah kebaikan kita saperti berjalan menolong orang, berjalan pergi ke mesjid, berjalan ke majlis ilmu, jalan pergi menziarahi sahabat dan taulan…..sama-sama lah kita fikirkan…
Fikirkan juga nikmat tidur dan makan yang Allah SWT berikan kepada kita…lihatlah disekeliling kita…terdapat ramai manusia tidak dapat makan kerana sakit terpaksa menggunakan tiub dan sebagainya….ramai yang tak dapat tidur kerana kesakitan ….syukurlah dan hargailah nikmat Allah dengan kita tambahkan amal ibadah kita.
Renungilah pula nikmat pendengaran yang sihat, penglihatan yang normal dan terhindar dari kecacatan. Juga nikmat kulit dan juga akal yang waras yang dikurniakan Allah kepada kita. Ramai manusia di luar sana yang ditempatkan di hospital pesakit mental dan sebagainya. Maka gunakan akal yang waras ini untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sungguh bernilai nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.
Sekarang kita persoalkan diri kita…adakah kita mahu sebelah mata kita diganti dengan emas sebesar gunung? Adakah kita sanggup mengantikan telinga yang sempurna ini dengan gunung perak? Apakah kita juga sanggup untuk lidah kita diganti dengan istana megah dan kemudian dapat kita tinggal di dalam nya tanpa boleh bercakap! Banyak lagi yang kita boleh kita catitkan tetapi kita sengaja tidak memikirkan apa yang kita miliki yang mempunyai nikmat dan nilai yang cukup tinggi dan besar yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Biasanya, kita selalu memikirkan apa yang kita tidak miliki.
Saudara dan saudari
Oleh kerana nikmat Allah SWT yang tidak ternilai yang Allah berikan kepada kita, maka marilah kita menjadi manusia yang selalu bersyukur di dalam kehidupan ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud….
“Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan” [Az-Dzariyat:21]
Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud…
Siapa yang bangun dari tempat tidurnya dalam keadaan tenang, tubuhnya sihat dan kuat serta memiliki kekuatan untuk melakukan aktiviti kehidupan dalam hari itu, maka ia telah menggengam kehidupan dunia” [HR Tarmizi]
Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud
“Redalah dengan keputusan Allah maka anda akan menjadi orang yang paling kaya” [HR Tarmizi]
Saudara dan saudari
Sebagai tanda kesyukuran, marilah kita berusaha untuk mengerahkan segala pemberian Allah kepada kita kepada jalan yang di redhai dan di cintaiNya, sesuai dengan apa yang disyariatkan bukan dengan cara mengabaikan perintahNya. Tinggalkan laranganNya dan jalankan kewajiban dan yang disunahkan Nya dengan penuh syukur kepadaNya. Inilah puncak perjalanan dalam agama Allah SWT.
Sekian, semoga kita sama-sama dapat mengambil peringatan.
Maaf di pinta.
Wasalam
Rujukan Dr Ibrahim Fiqhy dan Sheikh Said Hawa
No comments:
Post a Comment