Friday, February 13, 2015

Peringatan untuk berhati-hati dijalan raya: Catat 18 kematian sehari



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm
Saudara dan saudari yang di muliakan

Semoga kematian mengajar kita tentang kehidupan. Ambil lah pengajaran sebagai bahan tarbiyah hati kita

RENUNGILAH…BERITA INI…

Kuala Lumpur: Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya dijangka meningkat kepada lebih 10,700 mangsa dalam tempoh lima tahun jika pelbagai langkah tidak diambil untuk mengurangkan kes kemalangan serta meningkatkan kesedaran pengguna.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, biarpun kes kematian pada tahun lalu menunjukkan penurunan 3.5 peratus kepada 6,674 berbanding 6,915 yang dicatatkan pada 2013, namun bilangan kes kemalangan masih membimbangkan.
Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu itu juga, secara puratanya 18 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan dalam sehari dan 60 peratus daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Kadar kemalangan jalan raya kita masih lagi tinggi walaupun tahun lalu mencatatkan penurunan kes kematian paling tinggi dalam tempoh 10 tahun iaitu 3.5 peratus. Kebiasaannya penurunan hanya membabitkan sepuluh hingga 20 kematian, namun tahun lalu menurun 241 kematian.
“Ini hasil kerjasama daripada semua agensi yang dapat mengurangkan kadar kematian, tetapi bilangannya masih tinggi dan seperti tahun lalu daripada 6,674 kematian, purata 18 kematian dicatatkan sehari jika dibahagikan dengan 365 hari setahun.
“Sasaran kita untuk kurangkan kematian kepada 50 peratus menjelang 2020 dan jika tidak ada langkah diambil untuk mengurangkannya, ia dijangka meningkat kepada lebih 10,700 kematian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2015 di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.
Sementara itu, Liow berkata, JPJ bakal menempatkan 1,800 anggota di lokasi statik bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan seperti laluan Kuala Lumpur-Kangar dan laluan Kuala Lumpur-Raub-Kota Bharu serta menempatkan anggota di setiap 30 kilometer di jalan utama negeri.
“Pendekatan atau kaedah operasi yang digunakan pasukan di lokasi statik ini adalah melaksanakan operasi secara 24 jam, 16 jam dan lapan jam mengikut kesesuaian lokasi, membuat pemeriksaan secara rawak di jalan utama negeri dan memasang lampu mata arah,” katanya.


Siti Fatimah Hassan

sfhassan@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:55 AM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...