Thursday, February 12, 2015

Nasihat Ustazah Nor Hafizah binti Musa sebagai Panduan kita Menghadapi Stress


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan Allah mudahkan segala urusan hidup harian kita terutama di dalam melakukan kerja-kerja kebajikan. Adalah di harap semoga segala pekerjaan kita di rumah, di sekolah , di pejabat, di ladang malah di mana saja kita berada Allah menerimanya  sebagai satu ibadah. Namun begitu untuk Allah SWT terima sebagai amal solleh, perlu kita mempunyai keikhlasan, niat kerana Allah dan mengikut panduan syarak yang telah Allah tentukan kepada kita. Jadi, apa saja kerja kita kecil, besar, susah atau senang niatkan kerana Allah. Cubalah peroses hati ini dan mujahadah sentiasa melawan godaan iblis dan hawa nafsu kita.

Saudara dan saudari yang di muliakan


Pada kali ini saya ingin berkongsi panduan menghadapi stress oleh Ustazah  Nor Hafizah binti Musa dan di olahkan kembali oleh penerbit radio IKIM..

Antara panduan yang diberikan oleh Ustazah Norhafizah adalah
·    Pertama memberi kemaafan,
·    keduanya sabar yang cantik
·    dan ketiga memberi kata-kata yang manis.

a.       Mudah memaafkan

Maaf yang cantik ialah maaf yang tanpa di susuli ungkitan dihujung-hujung hari. Sebagai contoh kita katakan, “ok saya boleh maafkan awak, tapi saya tidak akan lupa dengan apa yang awak telah buat terhadap saya”. Itukan mengungkit-ungkit namanya, bukan. Kalau kita sudah kata yang kita telah dan boleh memaafkan seseorang, maka usahlah diungkit-ungkit, nanti kita dilihat seperti tidak ikhlas memberi maaf kepada orang. Memang cakap mudah, tapi bukan mudah untuk kita lakukan. Orang hanya akan mengerti sesuatu keadaan itu jika dia telah merasainya. Segala belum kita rasai dan lalui sesuatu keadaan itu, kita memang hanya akan tahu komen itu dan ini. Contohnya macam apabila jari terluka kena pisau. Orang yang jarinya tidak terkena pisau mungkin tahu bahawa memang sakit bila jari terluka. Namun dia tidak tahu pedihnya macam mana. Sehinggalah dia sendiri pernah merasai macamana bila jarinya pula terkena pisau.

Jadi kita dalam apa jua ketika melihat sesuatu keadaan (samada melihat keadaan orang lain atau kita sendiri yang melaluinya) kita perlulah sentiasa meletakkan rasa empati dan sentiasa bersangka baik dari awal-awal lagi. Jika kita sentiasa negatif, maka dikhuatiri akan menimbulkan salah faham. Contohnya jika melihat seseorang itu yang sering terseyum, maka cuba kita terus bersangka baik. Jangan terus melabel dia gatal, mengada ngada atau macam-macam lagi sangkaan negatif kita terhadapnya. Mana tahu sebenarnya seseorang itu tersenyum rupa-rupanya dia sedang mengawal tahap stress yang sedang dia alami. Apabila tersenyum ia sebenarnya satu terapi yang sangat berkesan untuk menurunkan paras tekanan darah yang tinggi. Ini adalah berdasarkan kajian yang pernah dilakukan.

Jadi jika kita sentiasa ingat akan kesan stress terhadap kesihatan maka kita akan selalu beringat sebelum “melayan” stress yang kita alami. Jadi bila kita tidak ada stress maka kita mudah memiliki  maaf yang cantik. Untuk memiliki maaf jenis ini memerlukan proses (pengalaman) dan masa. Ini juga secara tidak langsung membentuk kematangan pada diri.

b.       Membina kesabaran

Ramai orang ketika kemarahan memuncak agak sukar untuk bersabar. Sabar yang cantik ialah sabar yang tidak disertakan dengan rungutan atau kata-kata yang kesat atau menyakitkan. Ramai orang kata bahawa dia sabar, tapi pada hakikatnya tidak sabar. Dan kalau ada pun sabar, mulut saja yang cakap sabar tapi hati merungut. Dalam hati macam-macam yang kita katakan. Setelah kata-kata kesat atau segala macam rungutan barulah kita dapat untuk jadi sabar.

Sebelum sabar itu datang dalam hati, kebanyakan kita telah lebih dulu merungut itu dan ini. Segala rungutan itu disebut-sebut sehingga kita rasa puas hati. Bila sudah lega baru kita akan berhenti merungut. Semoga selepas ini kita akan dapat  memiliki sabar yang cantik tanpa di sertai rungutan-rungutan dan kata-kata kesat yang amat menyakitkan apabila didengari. Jadi bersih-bersihkan hati walaupun ia tidaklah mudah untuk kita lakukannya.

Hidup ini tenang-tenang saja yang eloknya. Jangan kita kusut-kusutkan hati dan fikiran kita. Janganlah kita fikir-fikirkan sangat masalah walaupun masalah kita itu besar, simpan sikit ruang untuk kita bernafas. Bimbang nanti kita jatuh sakit. Tanpa sedar kadang-kadang kita punya masalah telah dapat diselesaikan dengan sendiri.

c.       Kata-kata yang cantik

Wajah yang tampan dan cantik akan hilang dan oudar serinya jika kita selalu mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Pedih itu akan terasa pada kita sendiri yang menuturkannya mahupun orang lain yang mendengarkannya. Jika seorang ratu cantik dunia sekalipun, dia tidak akan kelihatan cantik jika mulutnya sering bercakap dengan kata-kata yang kesat, penuh dengan cacian, merungut dan sebagainya.

Maka sebab sebab itu, jika kita tengok mengapa seseorang itu tidak cantik atau tidak tampan tetapi disukai oleh ramai orang. Ini adalah kerana kata-kata yang keluar dari mulutnya semuanya kata-kata yang manis dan baik-baik belaka perkataannya. Yang sakit ibarat sembuh dan yang riuh rendah menjadi tenang dek kerana apabila mendengar kata-kata yang indah.

Kalau muka sudah cantik dan tampan, lagi bertambah cantik dan tampan jika kita mampu untuk sentiasa bercakap dengan kata-kata yang indah, baik dan tidak menyengat hati sesiapa. Sama-sama kita budayakan.

Kata-kata yang kita keluarkan adalah mencerminkan hati kita. Cantik kata-kata yang di ungkapkan, maka cantik dan indahlah hati seseorang itu. Begitulah sebaliknya. Begitu juga dengan pakaian kita, biarlah cantik baju kita seiring dengan cantiknya kata-kata yang kita tuturkan sehari-hari. Janganlah kata-kata yang indah itu hanya di mulut saja, namun di dalam hati kita menghamburkan kata-kata kesat. Biarlah setiap patah perkatan yang kita sebut indahnya ibarat mutiara. Berapa ramai yang dilahirkan bisu didunia ini, maka kita yang ditakdirkan tidak bisu ini hargailah nikmat bercakap ini dengan sebaik mungkin. Bertuturlah dengan kata-kata yang indah. Rencanakanlah hidup ini dengan sebaik yang mungkin. Anggaplah stress itu hanya “mainan hidup” yang mudah datang dan pergi. Jangan biarkan kita dibelenggu oleg stress.

Sekian, semoga ada manafaatnya perkongsian ini dalam usaha kita menyebarluaskan maklumat yang baik.

Rujukan:  19 December, 2014 |Disediakan oleh : Siti Rohani Surani Siti Rohani Surani Rencana Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...