Sunday, February 22, 2015

Pendidikan hati yang praktikal: Dengan izin Allah jua…100 maut dalam 24 jam…perlu renungi bersama…



 Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm
Saudara dan saudari yang di muliakan
Berita di atas amat mengejutkan kita…walaubagaimana pun itulah hakikat kehidupan kita yang pasti berakhir dengan kematian…Cuma caranya  dan masa juga tempat nya yang berbeza.
Alangkan baik sekiranya kita dapat hayati peringatan Rasulullah SAW kepada kita yang di bawah ini sebagai persiapan menghadapi kematian…renungilah 

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”. (HR Muslim)
 Kuala Lumpur: Angka menakutkan apabila seramai 100 pengguna jalan raya dilaporkan maut dalam tempoh 24 jam pada hari Selasa lalu.
Semua mangsa yang menemui ajal itu membabitkan 89 kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan berlaku di seluruh negara pada hari keenam Op Selamat diadakan.
Angka itu menunjukkan kenaikan mendadak berbanding purata 18 mangsa jalan raya terkorban sehari sejak operasi Op Selamat bermula 12 hingga 16 Februari lalu.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, sebanyak 7,691 kes kemalangan dilaporkan berlaku di lebuh raya, Jalan Persekutuan, jalan bandaran dan pelbagai jalan lain sepanjang tempoh 24 jam kelmarin.
“Daripada jumlah itu, Perak dan Selangor mencatatkan 17 kematian diikuti Johor sebanyak 15 kematian manakala Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing mencatatkan tujuh kematian.
“Penunggang motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu membabitkan 66 kes diikuti kereta sebanyak 18 kes, pejalan kaki (8) dan lain-lain (8),” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media Kempen Balik Kampung, Op Selamat sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Tunku Abdul Halim semalam berkata, dianggarkan sebanyak 18 kematian dilaporkan berlaku setiap hari.
Beliau berkata, Op Selamat yang dilancarkan pada 12 Februari hingga 26 Februari depan bertemakan Rumah Selamat, Selamat sampai ke destinasi.
“Seramai 574,059 ahli Rakan Cop boleh memaklumkan alamat dan tarikh mereka bercuti melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada bila-bila masa selain menyalurkan kejadian jenayah.
“Terkini Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sudah dilancarkan untuk tujuan rondaan cegah jenayah di kawasan perumahan dan akan diperluaskan di kawasan perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai memaksimumkan keselamatan kediaman masing-masing seperti menggunakan lampu keselamatan dan sistem penggera untuk langkah pencegahan.
“Gunakan saluran menghantar laporan maklumat balik kampung melalui SMS 32728, Hotline 999 dan Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh didapati di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyerahkan kepada balai polis berhampiran,” katanya.
Rujukan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:13 AM
Oleh Asmah Rusman

asmah_rusman@hmetro.com.my

Tuesday, February 17, 2015

Tiga petua pikat suami : Idea yang baik dari Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat


Tiga  petua pikat suami : Idea yang baik dari Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

sitinor@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Tiga perkara penting yang saya jaga untuk memikat suami iaitu tempat tidur, menyediakan pakaian dan masakan,” kata Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia, Khamis minggu lalu.
Menurutnya, setiap hari, beliau akan memastikan tempat tidur dikemas dan pakaian sentiasa bersih untuk dipakai Allahyarham sebelum keluar bekerja.
Katanya, beliau turut memasak makanan kegemaran suami kesayangannya iaitu masakan kampung.
“Saya mengutamakan tiga keperluan ini kerana Allahyarham suami seorang yang sangat sibuk dari awal perkahwinan kami hinggalah ke akhir hayatnya.
“Jika melihat baju suami sudah lusuh, saya tidak akan membenarkan beliau memakainya mahupun menjahit semula baju yang sudah tidak muat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka di sini, semalam.
Tuan Sabariah yang hidup bersama Mursyidul Am PAS itu selama 52 tahun turut berkongsi petua kebahagiaan rumah tangga mereka iaitu tidak melawan cakap suami.
Menurutnya, sebagai isteri, beliau sentiasa akur dengan kata-kata suami dan menjaga budi pekerti.
“Walaupun saya berkahwin pada usia agak muda iaitu 14 tahun dan atas pilihan orang tua, namun saya bersyukur kerana mendapat seorang suami yang beriman dan bertanggungjawab.
“Ketika itu, usia saya agak muda dan perbezaan usia saya dan suami pula 18 tahun membuatkan saya rasa takut, namun ia dapat diatasi apabila saya sentiasa mempelajari ilmu rumah tangga,” katanya.
Bercerita mengenai cita rasa berpakaian Allahyarham, Tuan Sabariah berkata, suaminya tidak suka dengan warna terang, justeru beliau sentiasa membeli pakaian berwarna lembut termasuk untuk dirinya.
“Walaupun Allahyarham suami tidak pernah menegur, namun saya tahu apa yang tidak disukainya.
“Jika Allahyarham suami suka dengan pakaian yang saya pakai, beliau akan memuji saya dan amat menyukai baju kurung putih yang dijahit dengan sedikit bunga,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:27 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31404#sthash.pHoWAXGX.dpuf

Friday, February 13, 2015

Peringatan untuk berhati-hati dijalan raya: Catat 18 kematian sehari



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm
Saudara dan saudari yang di muliakan

Semoga kematian mengajar kita tentang kehidupan. Ambil lah pengajaran sebagai bahan tarbiyah hati kita

RENUNGILAH…BERITA INI…

Kuala Lumpur: Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya dijangka meningkat kepada lebih 10,700 mangsa dalam tempoh lima tahun jika pelbagai langkah tidak diambil untuk mengurangkan kes kemalangan serta meningkatkan kesedaran pengguna.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, biarpun kes kematian pada tahun lalu menunjukkan penurunan 3.5 peratus kepada 6,674 berbanding 6,915 yang dicatatkan pada 2013, namun bilangan kes kemalangan masih membimbangkan.
Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu itu juga, secara puratanya 18 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan dalam sehari dan 60 peratus daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Kadar kemalangan jalan raya kita masih lagi tinggi walaupun tahun lalu mencatatkan penurunan kes kematian paling tinggi dalam tempoh 10 tahun iaitu 3.5 peratus. Kebiasaannya penurunan hanya membabitkan sepuluh hingga 20 kematian, namun tahun lalu menurun 241 kematian.
“Ini hasil kerjasama daripada semua agensi yang dapat mengurangkan kadar kematian, tetapi bilangannya masih tinggi dan seperti tahun lalu daripada 6,674 kematian, purata 18 kematian dicatatkan sehari jika dibahagikan dengan 365 hari setahun.
“Sasaran kita untuk kurangkan kematian kepada 50 peratus menjelang 2020 dan jika tidak ada langkah diambil untuk mengurangkannya, ia dijangka meningkat kepada lebih 10,700 kematian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2015 di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.
Sementara itu, Liow berkata, JPJ bakal menempatkan 1,800 anggota di lokasi statik bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan seperti laluan Kuala Lumpur-Kangar dan laluan Kuala Lumpur-Raub-Kota Bharu serta menempatkan anggota di setiap 30 kilometer di jalan utama negeri.
“Pendekatan atau kaedah operasi yang digunakan pasukan di lokasi statik ini adalah melaksanakan operasi secara 24 jam, 16 jam dan lapan jam mengikut kesesuaian lokasi, membuat pemeriksaan secara rawak di jalan utama negeri dan memasang lampu mata arah,” katanya.


Siti Fatimah Hassan

sfhassan@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:55 AM

Thursday, February 12, 2015

Nasihat Ustazah Nor Hafizah binti Musa sebagai Panduan kita Menghadapi Stress


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan Allah mudahkan segala urusan hidup harian kita terutama di dalam melakukan kerja-kerja kebajikan. Adalah di harap semoga segala pekerjaan kita di rumah, di sekolah , di pejabat, di ladang malah di mana saja kita berada Allah menerimanya  sebagai satu ibadah. Namun begitu untuk Allah SWT terima sebagai amal solleh, perlu kita mempunyai keikhlasan, niat kerana Allah dan mengikut panduan syarak yang telah Allah tentukan kepada kita. Jadi, apa saja kerja kita kecil, besar, susah atau senang niatkan kerana Allah. Cubalah peroses hati ini dan mujahadah sentiasa melawan godaan iblis dan hawa nafsu kita.

Saudara dan saudari yang di muliakan


Pada kali ini saya ingin berkongsi panduan menghadapi stress oleh Ustazah  Nor Hafizah binti Musa dan di olahkan kembali oleh penerbit radio IKIM..

Antara panduan yang diberikan oleh Ustazah Norhafizah adalah
·    Pertama memberi kemaafan,
·    keduanya sabar yang cantik
·    dan ketiga memberi kata-kata yang manis.

a.       Mudah memaafkan

Maaf yang cantik ialah maaf yang tanpa di susuli ungkitan dihujung-hujung hari. Sebagai contoh kita katakan, “ok saya boleh maafkan awak, tapi saya tidak akan lupa dengan apa yang awak telah buat terhadap saya”. Itukan mengungkit-ungkit namanya, bukan. Kalau kita sudah kata yang kita telah dan boleh memaafkan seseorang, maka usahlah diungkit-ungkit, nanti kita dilihat seperti tidak ikhlas memberi maaf kepada orang. Memang cakap mudah, tapi bukan mudah untuk kita lakukan. Orang hanya akan mengerti sesuatu keadaan itu jika dia telah merasainya. Segala belum kita rasai dan lalui sesuatu keadaan itu, kita memang hanya akan tahu komen itu dan ini. Contohnya macam apabila jari terluka kena pisau. Orang yang jarinya tidak terkena pisau mungkin tahu bahawa memang sakit bila jari terluka. Namun dia tidak tahu pedihnya macam mana. Sehinggalah dia sendiri pernah merasai macamana bila jarinya pula terkena pisau.

Jadi kita dalam apa jua ketika melihat sesuatu keadaan (samada melihat keadaan orang lain atau kita sendiri yang melaluinya) kita perlulah sentiasa meletakkan rasa empati dan sentiasa bersangka baik dari awal-awal lagi. Jika kita sentiasa negatif, maka dikhuatiri akan menimbulkan salah faham. Contohnya jika melihat seseorang itu yang sering terseyum, maka cuba kita terus bersangka baik. Jangan terus melabel dia gatal, mengada ngada atau macam-macam lagi sangkaan negatif kita terhadapnya. Mana tahu sebenarnya seseorang itu tersenyum rupa-rupanya dia sedang mengawal tahap stress yang sedang dia alami. Apabila tersenyum ia sebenarnya satu terapi yang sangat berkesan untuk menurunkan paras tekanan darah yang tinggi. Ini adalah berdasarkan kajian yang pernah dilakukan.

Jadi jika kita sentiasa ingat akan kesan stress terhadap kesihatan maka kita akan selalu beringat sebelum “melayan” stress yang kita alami. Jadi bila kita tidak ada stress maka kita mudah memiliki  maaf yang cantik. Untuk memiliki maaf jenis ini memerlukan proses (pengalaman) dan masa. Ini juga secara tidak langsung membentuk kematangan pada diri.

b.       Membina kesabaran

Ramai orang ketika kemarahan memuncak agak sukar untuk bersabar. Sabar yang cantik ialah sabar yang tidak disertakan dengan rungutan atau kata-kata yang kesat atau menyakitkan. Ramai orang kata bahawa dia sabar, tapi pada hakikatnya tidak sabar. Dan kalau ada pun sabar, mulut saja yang cakap sabar tapi hati merungut. Dalam hati macam-macam yang kita katakan. Setelah kata-kata kesat atau segala macam rungutan barulah kita dapat untuk jadi sabar.

Sebelum sabar itu datang dalam hati, kebanyakan kita telah lebih dulu merungut itu dan ini. Segala rungutan itu disebut-sebut sehingga kita rasa puas hati. Bila sudah lega baru kita akan berhenti merungut. Semoga selepas ini kita akan dapat  memiliki sabar yang cantik tanpa di sertai rungutan-rungutan dan kata-kata kesat yang amat menyakitkan apabila didengari. Jadi bersih-bersihkan hati walaupun ia tidaklah mudah untuk kita lakukannya.

Hidup ini tenang-tenang saja yang eloknya. Jangan kita kusut-kusutkan hati dan fikiran kita. Janganlah kita fikir-fikirkan sangat masalah walaupun masalah kita itu besar, simpan sikit ruang untuk kita bernafas. Bimbang nanti kita jatuh sakit. Tanpa sedar kadang-kadang kita punya masalah telah dapat diselesaikan dengan sendiri.

c.       Kata-kata yang cantik

Wajah yang tampan dan cantik akan hilang dan oudar serinya jika kita selalu mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Pedih itu akan terasa pada kita sendiri yang menuturkannya mahupun orang lain yang mendengarkannya. Jika seorang ratu cantik dunia sekalipun, dia tidak akan kelihatan cantik jika mulutnya sering bercakap dengan kata-kata yang kesat, penuh dengan cacian, merungut dan sebagainya.

Maka sebab sebab itu, jika kita tengok mengapa seseorang itu tidak cantik atau tidak tampan tetapi disukai oleh ramai orang. Ini adalah kerana kata-kata yang keluar dari mulutnya semuanya kata-kata yang manis dan baik-baik belaka perkataannya. Yang sakit ibarat sembuh dan yang riuh rendah menjadi tenang dek kerana apabila mendengar kata-kata yang indah.

Kalau muka sudah cantik dan tampan, lagi bertambah cantik dan tampan jika kita mampu untuk sentiasa bercakap dengan kata-kata yang indah, baik dan tidak menyengat hati sesiapa. Sama-sama kita budayakan.

Kata-kata yang kita keluarkan adalah mencerminkan hati kita. Cantik kata-kata yang di ungkapkan, maka cantik dan indahlah hati seseorang itu. Begitulah sebaliknya. Begitu juga dengan pakaian kita, biarlah cantik baju kita seiring dengan cantiknya kata-kata yang kita tuturkan sehari-hari. Janganlah kata-kata yang indah itu hanya di mulut saja, namun di dalam hati kita menghamburkan kata-kata kesat. Biarlah setiap patah perkatan yang kita sebut indahnya ibarat mutiara. Berapa ramai yang dilahirkan bisu didunia ini, maka kita yang ditakdirkan tidak bisu ini hargailah nikmat bercakap ini dengan sebaik mungkin. Bertuturlah dengan kata-kata yang indah. Rencanakanlah hidup ini dengan sebaik yang mungkin. Anggaplah stress itu hanya “mainan hidup” yang mudah datang dan pergi. Jangan biarkan kita dibelenggu oleg stress.

Sekian, semoga ada manafaatnya perkongsian ini dalam usaha kita menyebarluaskan maklumat yang baik.

Rujukan:  19 December, 2014 |Disediakan oleh : Siti Rohani Surani Siti Rohani Surani Rencana Berita Harian.

Monday, February 9, 2015

Tragis: Kanak-kanak tiga tahun maut dirempuh ibu


Tragis: Kanak-kanak tiga tahun maut dirempuh ibu
FAIZAL GHAZALI HM
9 Februari 2015


Assalamualaikum wm

Suadara dan saudara/ ibubapa

Peristiwa di bawah ini amat menyedihkan namun kita terima sebagai suratan takdir. Walau bagaimana pun berhati-hatilah apabila memandu terutama di kawasan perumahan atau rumah kita sendiri yang biasanya ramai anak-anak kecil bermain di sana sini...Alfatihah

Sesungguhnya kematian merupakan bahan didikan hati yang praktikal dan kematian tidak mengira usia...

JITRA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dilanggar ibunya secara tidak sengaja di pekarangan sebuah rumah di Kampung Lahar, Malau di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Nur Umairah Salaiman maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila ibu mangsa, Rasikhah Nik Nyan, 48, memandu kereta jenis Ford Lancer tidak menyedari mangsa tiba-tiba berlari ke hadapan kereta lalu merempuhnya.
Nur Umairah dan kakak tirinya, Nurul Syuhada Amir Nasuridin, 21, dikatakan turun dari kereta terlebih dahulu sebelum Rasikhah membetulkan kenderaannya ketika parkir di hadapan rumah tersebut.
Rasikhah bagaimanapun tidak menyedari anak bongsunya berada di hadapan kereta lalu merempuhnya.
Sepupu mangsa, Nurul Hanisah Johari , 19, memberitahu, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi enjin kereta makciknya.
“Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi dentuman dan terdengar Nurul Syuhada menjerit mengatakan adiknya berdarah.
“Sebaik saya keluar saya nampak makcik terus memecut keretanya ke Hospital Jitra,” katanya.
Tambahnya, dia hanya ternampak kesan darah di hadapan rumah.
“Saya masih terkejut dengan kejadian ini dan makcik saya masih trauma dan enggan berjumpa dengan sesiapa,” katanya.
Nurul Hanisah berkata, ibu saudaranya itu tinggal di Taman Cermai di sini dan datang ke rumahnya untuk menjemput tiga lagi anak yang dijaganya.
“Saya jaga tiga anaknya dan menjemput mereka dari sekolah. Mereka akan tinggal bersama saya sementara menunggu ibu mereka pulang dari kerja,” katanya.
Tambahnya, ibu saudaranya bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Jitra.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dengan cuai memandu sehingga menyebabkan kematian.

Friday, February 6, 2015

Rintihan anak …‘Saya tetap sayang ayah’..Marilah kita belajar untuk menjadi ayah yang baik..



Assalamu’alaikum wm

Alhamdullillah, bertemulagi di alamsiber. Mudah-mudahan di berkati Allah SWT kehidupan kita pada hari ini.

Saudara dan saudari yang di muliakan

Berita sedih yang menyentuh dan mendidik hati….

Seremban: “Saya masih sayang ayah meskipun dipukul berkali-kali,” kata kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera bapanya sejak setahun lalu di rumah mereka di Taman Jujur Kiri, Sikamat, di sini.
Dakwanya, dia sering dipukul bapa berusia 37 tahun yang juga kaki mabuk sejak kematian ibunya, namun abang dan adik perempuannya berusia sembilan dan tiga tahun tidak didera.
Difahamkan, kanak-kanak malang itu melarikan diri dari rumahnya jam 10.30 pagi kelmarin, sebelum mendapatkan bantuan seorang jiran yang kemudian membuat laporan polis.
Lebih menyayat hati, mangsa dikatakan turut dipaksa mengemis untuk membeli sekotak rokok dan sekiranya gagal dia akan dipukul menggunakan tali pinggang.
“Ayah pukul dengan tali pinggang di muka dan seluruh badan serta halau saya keluar beli rokok, tetapi tidak beri wang. Apabila balik tanpa rokok, saya kena pukul.
“Saya menangis setiap kali dipukul, tetapi ayah masih pukul berkali-kali. Abang dan adik tidak dipukul, saya tidak tahu kenapa diperlakukan begitu,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, semalam.
RUJUKAN HARIAN METRO 6/2/15

MUSLIM SIHAT RUH, AKAL DAN BADAN:Awasi pengambilan GARAM kita…peringatan dari Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha


Assalamualaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Marilah kita mengambil peringatan yang berguna ini sebelum terlambat....

Kuala Lumpur: Seorang dari tiga rakyat Malaysia mengalami masalah tekanan darah tinggi disebabkan pengambilan garam berlebihan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, berdasarkan kajian pada 2008 tidak semua menyedari mereka mengalami masalah berkenaan sehingga dirujuk kepada doktor.
“Kebanyakan kita mengambil garam melebihi apa yang badan kita perlukan menerusi makanan yang dimakan. Garam sama ada berbentuk serbuk putih biasa atau tersembunyi di dalam bahan perasa tambahan mempunyai kandungan sodium yang tinggi dan ia boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Kesedaran Garam di Institut Pengurusan Kesihatan, semalam.
Dr Feisul berkata, mengikut Panduan Pemakanan Malaysia (2010) pengambilan garam yang disarankan adalah lima gram bersamaan 2,000 miligram (mg) sodium saja dalam sehari.
“Jika mengikut ukuran biasa, jumlah pengambilan yang disarankan tidak boleh melebihi satu sudu teh sehari.
Artikel ini disiarkan pada HM : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:48 AM

Isu semasa…Hari Kekasih salahi syarak: sama-sama lah kita mendengar nasihat Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri



Assalamu’alaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Illahi kerana masih lagi memberi kita nikmat hidayah dan barakah dan masih mengekalkan iman dan Islam pada kita…Kita juga bersyukur kerana Allah SWT  masih mudahkan usaha-usaha kita mendidik hati dan suka kepada kebaikan..

Marilah kita teliti saranan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri..di atas ISU SEMASA…

Kuala Lumpur: Umat Islam di negara ini sekali lagi diingatkan supaya tidak menyambut Hari Kekasih pada setiap 14 Februari kerana perbuatan itu menyamai sambutan agama lain bertentangan dengan hukum syarak.
Saranan itu dibuat Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menasihatkan semua umat Islam terutamanya remaja supaya menjauhi sambutan terbabit.
“Saya ingin menegaskan bahawa isu ini sudah pun difatwakan menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 yang memutuskan bahawa amalan meraikannya tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
“Perbuatan itu juga mengundang beberapa perkara tidak elok sekali gus membuka jalan ke arah maksiat dan hal ini perlu dielakkan oleh setiap umat Islam bagi menjaga batas pergaulan seperti yang sudah ditetapkan Syarak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Zulkifli berkata, semua umat Islam harus menjauhkan diri daripada merayakan sambutan Hari Kekasih kerana ia jelas bertentangan dengan hukum Islam.
Beliau turut menyarankan kepada ibu bapa supaya menasihatkan anak-anak supaya tidak terikut-ikut dengan budaya barat kerana perkara itu mampu mencemarkan akidah umat Islam terutamanya golongan muda.
Sementara itu, larangan terhadap umat Islam menyambut Hari Kekasih sudah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang antara lain membincangkan Hukum Umat Islam Menyambut Perayaan Hari Kekasih dan majlis memutuskan amalan meraikannya tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Menerusi muzakarah itu, biarpun pelbagai helah licik digunakan untuk memperdayakan umat Islam, tetapi sejarah membuktikan sambutan itu mempunyai unsur budaya agama lain dan ia turut bertentangan dengan Syarak.
Artikel ini disiarkan pada BM : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:56 AM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...