Friday, November 5, 2010

Motivasi: Kepentingan keikhlasan dalam amalan.


Assalamualaikum wm

Alhamdullillah, syukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan izin kurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di blog didikan hati ini..mudah-mudahan dengan usaha kita yang sedikit ini untuk kita dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran kita tentang Islam. Semoga  Allah SWT akan beri kita kefahaman tentang DEEN Allah ini....oleh itu marilah kita serahkan hati kita untuk dididik dengan didikan Islam yang sebenar, yang begitu luas, yang menjamin kehidupan di dunia dan di Akhirat....

Sesungguhnya Allah itu mempunyai sifat kasih sayang pada segenap makhlukNya terutamanya kepada manusia saperti kita ini.  Rahmat dan nikmat Allah meliputi segala sesuatu, sebagaimana pengetahuanNya meliputi seluruhnya. Dengan kita menyedari kasih sayang Allah ini, terbukalah pintu hati kita untuk mengharapkan ampunan Allah dan melenyapkan perasaan putus asa kita. Teruskan tanpa jemu untuk memohon ampunan dari Allah.  Kita sebagai insan lemah tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan sebaik-baik insan adalah mereka yang cepat sedar dan kembali bertaubat kepada Allah.

Saudara dan saudari yang dimuliakan...

Pada kali ini, saya ingin mengajak diri saya dan saudara-saudari untuk mendekati satu tajuk berkaitan dengan keikhlasan. Keikhlasan merupakan perkara asas dan hasil atau natijah dari  keimanan yang tinggi. Ia merupakan satu kedudukan yang tinggi di dalam  agama atau deen Islam dan akhlak para insan Rabbani.  Sesungguhnya, Allah tidak menerima satu amal atau perbuatan tanpa disertai dengan keikhlasan.

 Ikhlas adalah salah satu daripada amalan hati. Ikhlas bermaksud kita melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain saperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyuran, kedudukan, meminta pujian atau lari dari kejian, mengikut hawa nafsu  yang tersembunyi atau lain-lain yang bukan kerana Allah.  Orang yang ikhlas melakukan segala pekerjaan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jadi, cubalah perbetulkan niat kita setiap kali kita memulakan apa sahaja pekerjaan kita. Usahakanlah....

Menurut Abu Hamid Al Ghazali mengatakan  antara lain....”bahawa orang yang mumpunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah.  Semua orang pasti binasa kecuali orang yang berilmu. Orang-orang yang berilmu pasti akan binasa kecuali orang yang aktif beramal.  Semua orang yang aktif beramal pasti binasa kecuali orang yang ikhlas.”

Saudara dan saudari,

Amalan tanpa niat adalah kebodohan.  Niat tanpa ikhlas adalah riak dan sia-sia.  Ini sesuai dengan apa yang di firman Allah di dalam surah Al Furqan: 23 yang bermaksud..
” Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan”

Allah SWT melihat hakikat amal yang ikhlas, bukan rupa atau bentuknya semata-mata.  Allah menolak pelakunya yang tertipu dengan amalnya.

Di dalam sebuah hadith sohih , Rasulullah SAW bersabda
” Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu” [Riwayat Muslim]

Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa ikhlas sangat penting...kerana
1.    Asas iman dan Islam
2.    Garis pemisah samada amalan atau kerja-kerja diterima atau di tolak oleh Allah SWT. Kerja-kerja yang diterima Allah mempunyai dua rukun:
a.    Ikhlas atau niat yang betul
b.    Cara-cara beramal adalah mengikut syarak atau bertepatan dengan sunnah.

Jadi, perlulah kita meneliti kerja dan amalan kita supaya terikat dengan rukun yang Allah tetapkan di atas supaya masa dan tenaga yang kita curahkan tidak sia-sia dan Allah terima sebagai amal solleh.

Antara contoh-contoh amalan yang bercampur dan tidak ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan berlaku ke atas diri kita samada kita sedari atau tidak sedari;
1.    Menuntut ilmu hanya bertujuan meningkatkan profesionalisma atau kerjaya atau di pandang mulia oleh masyarakat. Jadi, jika sebagai pelajar perlulah kita betulkan niat kita ini, barulah kita akan belajar bersungguh.
2.    Mengajar atau berbincang –bincang  tentang ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan, mempertajamkan pemikiran, kepetahan berbicara atau melepaskan diri daripada kesunyian. Ini selalu berlaku kepada kita sebagai seorang guru, pensyarah atau penceramah jemputan. Jagalah niat kita sebelum, semasa dan selepas kita menjalankan tugas kita.
3.    Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya ia dikenali sebagai orang baik, berhati mulia, di segani dan di hormati. Ini juga sering berlaku kepada yang inginkan ganjaran, pujian dan terima kasih dari manusia.  Berhati-hatilah....

Saudara dan saudari,

Keikhlasan tidak akan sempurna kecuali dengan niat yang tulus semata-mata kerana Allah SWT dan terlepas dari kecenderungan individu atau duniawi.  Dalam erti kata lain manusia mestilah bergantung kepada Rabbnya. Hanya dengan cara ini Allah akan memberi kekuatan sebagai ganti kelemahan, keamanan sebagai ganti ketakutan dan kecukupan sebagai ganti kemiskinan. Kekuatan inilah yang sangat kita perlu di dalam kita menjalani kehidupan kita ini..

Hanya dengan keikhlasan sahajalah yang mampu membantu manusia mengawal diri dan syahwat atau keinginan yang tersembunyi.  Keinginan yang tersembunyi inilah yang lebih bahaya daripada apa-apa yang kelihatan.  Hendaklak kita melakukan setiap perkara dengan tulus ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. . 

Saudara dan saudari

Oleh itu marilah kita tingkatkan keyakinan kita kepada Allah...didiklah hati dengan didikan iman  supaya kita dapat mengikhlaskan diri kita di dalam setiap amalan harian kita. Apa sahaja amalan dan pekerjaan yang kita lakukan  baik di rumah, di tempat kerja, di tempat belajar.....dimana sahaja.....sentiasa memperingatkan diri kita pada permulaan dan semasa melaksanakan amalan supaya berniat ikhlas hanya senya  mencari keredhaan Allah SWT......

Segala kebenaran datang dari Allah, kelemahan adalah milik kita sebagai manusia...maaf dipinta.

Tangguh dengan tasbih kafarah dan Surah Al-Asr....

Wassalamualaikum wm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...