Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum
wm
Saudara
dan saudari yang di muliakan
Alhamdulillah, kita panjatkan
kesyukuran kita ke hadrat Illahi kerana mempertemukan kita lagi di alam siber.
Berita di bawah ini
mengajak kita berfikir bahawa ada antara kita yang tidak bernasib baik dan
diuji dengan kesempitan hidup..persoalannya sekarang apakah usaha kita semua
untuk membantu mereka di dalam kemampuan kita yang berbeza ini..
Inilah beritanya…
Kuala Lumpur: “Besar maknanya ubat nyamuk pada
kami! Susah nak tidur jika ‘berperang’ dengan ratusan nyamuk setiap malam,”
demikian luah seorang gelandangan, Hassan Mohd Isa, 60, yang dilihat
terkial-kial cuba menyalakan ubat nyamuk menggunakan pemetik api. Dia ditemui
wartawan ketika sedang bersiap sedia untuk tidur berbaris bersama puluhan
gelandangan lain di sepanjang deretan kerusi besi di hadapan sebuah pusat
beli-belah di Jalan Masjid India di sini, jam 11.30 malam semalam.
Keluhannya itu berasas apabila hampir semula
gelandangan dilihat wartawan berusaha menghidupkan ubat nyamuk masing-masing
sebelum diletakkan di kaki kerusi atau berhampiran kepala masing-masing.
Walaupun bau asap ubat nyamuk itu menyesakkan
hidung namun ia dianggap penyelamat dari gangguan menggila nyamuk saban malam.
“Kami dapat rasa nikmat tidur dan mimpi. Tanpa
ubat nyamuk, saya sukar untuk lelapkan mata hingga ke pagi. Biar lapar asalkan
saya ada sedikit wang untuk membeli ubat nyamuk.
“Saya tak kisah jika sejuk malam hingga ke tulang
atau perut kosong, asalkan tidak digigit nyamuk. Rimas dan gatal satu badan
dibuatnya,”katanya.
Dia memberitahu menjadi penghuni tetap deretan
bangku besi itu bersama lebih 20 gelandangan lain yang mempunyai pelbagai
masalah tersendiri.
“Saya bekerja mengutip kotak kertas, tin
aluminium atau botol plastik untuk dijual bagi meneruskan hidup. Sebahagian
duit itu saya gunakan untuk beli dua kotak ubat nyamuk untuk bekalan
seminggu,”katanya.
Dia berkata, kejatuhan harga barangan lusuh
sejak kebelakangan ini menyebabkan pendapatannya berkurangan.
“Jika dahulu harga kertas boleh dijual dengan
harga RM1.50 hingga RM2 sekilogram namun kini harganya jatuh hanya RM1. Malah,
harga tin minuman aluminium juga hanya boleh dijual sekitar RM3
sekilogram,”keluhnya.
Dia bagaimanapun bersyukur berikutan masih ada
individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dan menghulurkan
bantuan makanan kepadanya.
“Sekejap tadi ada anggota polis sedekahkan
saya bungkusan nasi campur. Alhamdulillah, malam ini saya tak kelaparan,”katanya.
Hassan berkata, walaupun tidur merempat di
kaki lima jalan namun dia akan memastikan pakaiannya dalam keadaan bersih dan
dibasuh sentiasa.
“Saya akan mandi setiap pagi di tandas awam
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kalau sempat, saya akan singgah di Masjid
Sentul untuk membasuh kain baju.
“Baju perlu bersih dari najis kerana ini yang
akan dipakai ketika solat. Biar hidup merempat sekalipun, solat jangan
ditinggalkan. Itu tanggungjawab kita pada Tuhan,” katanya.
Menurutnya, dia berharap janji kerajaan untuk
membina penempatan kepada golongan daif tahun lalu dapat dilaksana.
“Saya ada dengar pihak Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) akan membina rumah untuk kami. Namun enam bulan sudah berlalu
dan saya tidak nampak perubahan,”katanya.
Dia mendakwa tidak berniat untuk mencemarkan
imej ibu kota dengan tidur di kaki lima namun kesempitan hidup dialami
menyukarkannya bagi memiliki kediaman.
“Wang pendapatan sekitar RM300 sebulan hanya
cukup-cukup makan. Saya tidak mahu mengemis hanya berharap ada tempat selesa
untuk tidur,”katanya.
RUJUKN: Artikel ini disiarkan pada : Jumaat,
27 Mac 2015 @ 9:20 AM
Oleh Mohd Jamilul
Anbia Md Denin dan Mohd Hanafis Abdul Haris
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment