Assalamu’alaikum wm
Bismilahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan
Alhamdullilah, bertemu lagi kita di alam siber ini dengan tujuan yang satu iaitu untuk kita sama-sama ingat memperingati sesama kita tentang kehidupan yang sementara ini..kita sebagai manusia biasa yang sentiasa lalai dan memang perlu sangat kepada peringatan-peringatan dan dengan peringatan yang datang dari pelbagai sumber ini, mudah-mudahan dapat menyedarkan kita semula tentang hakikat kejadian kita sebagai hamba Allah…
Suadara dan saudari
Baru-baru ini saya tersentak dan sedih dengan berita kematian yang menimpa sahabat saya dan pelajar-pelajar dan juga kawan kepada anak-anak saya yang bersekolah di Perlis. Antara beritanya di dalam Harian Metro:
PADANG BESAR: “Ya Allah sakitnya, tolong tarik aku keluar Zul.” Itulah rintihan Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat tersepit dalam van yang dihempap pokok besar hingga meragut tiga nyawa semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, di sini, Hazman bersama tujuh pelajar lain dari Maahad Tarbiyah Islamiyah (Matri) di Beseri dalam perjalanan melakukan lawatan sambil belajar ke Kilang Gula Felda di Chuping.
Malang menimpa apabila sebatang pokok tumbang lalu menimpa van dinaiki kumpulan pelajar itu kira-kira 50 meter dari pintu masuk kilang berkenaan ketika hujan lebat disertai ribut.
Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang lagi pelajar Matri, Ahmad Izzat Ismail, 17, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, dan pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri, di sini.
Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang lagi pelajar Matri, Ahmad Izzat Ismail, 17, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, dan pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri, di sini.
Ahmad Ahnaf Anis Soffian, 14, juga pelajar Matri yang berasal dari Kuala Lumpur, mengalami kecederaan parah.
Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan al Fatihah dan berdoa semoga Allah cucuri rahmat dan masukkan mereka di dalam golongan hambaNya yang solleh.
Saudara dan saudari
Di kesempatan ini juga saya ingin membawa sedikit ulasan tentang kematian oleh Prof Dr Yusuf Al Qardhawi. Ia mempunyai kaitan dengan peristiwa di atas dan boleh kita jadikan sebagai bahan didikan hati dan motivasi kepada kita untuk meneruskan kehidupan kita yang sementara ini dengan lebih berhati-hati….
Prof Dr Yusuf Al Qardhawi mengingatkan kita supaya perlu sangat kita memikirkan tentang kematian yang akan merubah kehidupan kita. Ia datang dengan tiba-tiba tanpa amaran atau peringatan. Kita perlu jadikan mengingati mati sebagai jalan untuk membersihkan hati kita daripada karat kelalaian dan melembutkan hati yang keras sepertimana yang disebut di dalam hadith Rasulullah SAW yang bernmaksud
“ Sesungguhnya hati berkarat saperti karatnya besi. Baginda ditanya, apakah benda yang boleh mengilatkannya? Baginda menjawab; membaca Al Quran dan mengingati mati”
Saudara dan saudari
Tidak seorang pun diantara kita yang tahu bila mati akan datang dan di mana ia akan berlaku….peristiwa kemalangan di atas menjelaskan kenyataan ini..
Allah SWT berfirman yang bermaksud.....
“Seseorang itu tidak tahu (dengan pasti) apa yang akan dilakukan nya esok dan tidak tahu di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah maha Mengetahui lagi Maha Meliputi ilmuNya” [Luqman:34]
Sesaorang itu juga tidak tahu di dalam peringkat usia mana dia akan mati. Adakah peringkat usia muda, peringkat usia tua atau peringkat terlalu tua. Akan tetapi natijahnya adalah satu.
Hiduplah sekehendak mana yang kita mahu, kita akan tetap mengalami mati. Cintailah sesiapa yang kita kehendaki, kita akan tetap berpisah dengannya. Lakukan apa-apa kerja yang kita mahu, sesungguhnya kita tetap akan diberi pembalasan dan akan di tanya tentangnya.
Saudara dan saudari
Sesungguhnya mati tetap mati dan tidak akan diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Allah berfirman yang bermaksud…
“Apabila tiba ajal mereka maka mereka tidak akan ditangguhkan walaupun sesaat dan tidak juga dipercepatkan.” [ Al Araf: 4]
Prof Dr Yusuf Al Qardhawi mengingatkan bahawa tanda-tanda kematian ialah apabila berlakunya kelahiran. Apabila manusia dilahirkan, maka ia merupakan alamat bahawa ia akan mati. Setiap hari yang dihabiskannya menyebabkan tempoh ajalnya semakin hampir. Setiap tahun yang berlalu bermakna ia telah meruntuhkan satu binaan umur.
Dalam realiti, kita dapati manusia tidak ingat kepada mati. Mereka merasakan seolah-olah mereka akan hidup kekal di dunia ini. Ia merupakan kelalaian. Ia merupakan cita-cita yang panjang. Cita-cita untuk hidup lama merupakan satu perkara yang membinasakan manusia.
Perlu kita ingatkan hati kita bahawa mati amat hampir dengan kita. Ia lebih hampir dari apa yang dibayangkan oleh manusia. Boleh jadi kita sempat bertemu dengan petang tetapi tidak sempat bertemu dengan pagi. Kadang-kadang kita memakai pakaian tetapi tidak sempat menanggalkannya dan hanya ditanggalkan oleh orang yang memandikan mayat.
Saudara dan saudari
Mati terlalu dekat terutama di zaman kita sekarang ini. Orang sihat disambar maut dengan pelbagai sebab masakini. Kita disambar maut melalui kemalangan jalanraya atau sebab lain. Sebab kematian adalah banyak tetapi kematian hanyalah satu.
Berapa banyak mati telah merampas ayah dan ibu dari anak, suami dari isteri, isteri dari suami, guru dari muridnya dll. Tidak ada seorang pun yang berupaya menahan mati dari mendatangi dirinya dan tak dapat berbuat dimikian samada menggunakan hartanya atau kedudukannya.
Ingatlah…mati pasti tiba dan tidak seorang pun boleh lari daripadanya. Firman Allah yang bermaksud…
“Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya maut yang kamu lari daripadanya akan menemui kamu juga. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha mengetahui perkara ghaib dan perkara nyata” [ Al Juma’ah:2]
Saudara dan saudari
Jadi, perkara penting yang perlu kita lakukan sekarang ini ialah membuat persediaan untuk menghadapi maut sebagaimana yang disebut di dalam sebuah hadith yang bermaksud…
“ Orang yang beruntung ialah orang yang mengenali dirinya dan beramal untuk kehidupan salepas mati”
Gunakan umur kita yang ada, gunakanlah waktu yang ada untuk melakukan amal soleh sebelum waktu ajal tiba. Kita berdoa kepada Allah agar menjadikan kita dikalangan mereka yang hatinya khusuk dan lembut, dan sentiasa ingat kepada Akhirat. Ya Allah perkenankanlah doa kami.
Cubalah berusaha supaya dapat kita elakkan diri dari berbuat maksiat dan dosa kepada Allah SWT. Sesungguhnya kita tidak akan mati, InsyaAllah sekiranya kita meninggalkan maksiat dan dosa tetapi kita takut kita mati di dalam keadaan kita berbuat maksiat dan dosa……Na’uzubillah..
Sekian, maaf dipinta dan Wasalam
Rujukan : Kitab Prof Dr Yusuf Al Qardhawi
No comments:
Post a Comment