Friday, July 22, 2011

Pesanan Prof Dr Yusuf Al Qardhawi : Sedikit peringatan di bulan Syaaban…persediaan untuk memasuki Ramadhan


Assalamu’alaikum wm

Bismilahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdullillah sekali lagi kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini..walaupun ramai manusia menyalahgunakan kemudahan ini tetapi bagi kita cubalah kita gunakan ke arah kebaikan…Mudah-mudahan Allah mudahkan juga segala urusan kehidupan kita dan dapat kita jadikan segala aktiviti saperti berkeluarga atau bekerja mencari rezeki ini sebagai ibadah ….dan Allah SWT terima amalan kita sebagai amal soleh..Kita tidak mahu masa 8-10 jam yang kita habiskan di tempat kerja kita berlalu tanpa mendapat ganjaran dari Allah SWT. Oleh itu marilah kita betulkan niat kita dari awal-awal lagi supaya apa yang kita lakukan hanyalah kerana Allah SWT semata-mata. Dan pastikan juga jalan-jalannya juga  tidak bertentangan dengan syarak..

Saudara dan saudari…..

Pada kali ini marilah sama-sama kita melihat peringatan daripada Prof Dr Yusuf Al Qardhawi  mengenai perkara-perkara yang kita patut beri perhatian di bulan syaaban ini di dalam rangka kita berusaha untuk memasuki bulan Ramadhan dengan hati yang bersih. Antara nya ialah kita diminta untuk memperbaiki kembali hubungan kita sesama manusia supaya jangan ada permusuhan, perkelahian dan memutuskan tali persaudaraan  kerana ini menghalang kita dari pengampunan dari Allah SWT. Disebutkan bahawa pada hari Isnin dan Khamis atau pada malamnya Allah akan mengampunkan semua manusia (yang betul-betul bertaubat) melainkan mereka yang ada permusuhan dengan saudaranya. Allah berfirman:
Perhatikan kedua-dua orang ini sehingga mereka berbaik”. Maksudnya di sini ialah Allah menangguhkan keampunan dari kedua orang yang bermusuhan itu.

Keampunan dari Allah berterusan dan ini juga berlaku di bulan Syaaban tetapi pintu keampunan masih juga tertutup bagi mereka yang mengotorkan hati mereka dengan perasaan dengki.  Mereka itu tidak kenal erti hati yang bersih dan suci.  

Prof Dr Yusuf Al Qardhawi juga mengingatkan bahawa hati yang bersih dari dengki dan kesumat merupakan perkara asasi di dalam Islam. Islam sabenarnya membina kehidupan manusia di atas dua asas iaitu manusia perlu mengelokkan hubungannya dengan Allah SWT dan juga di atas asas manusia hendaklah memperbaiki hubungan sesama manusia dengan persaudaraan dan kasih sayang. Jadi cubalah tingkatkan hubungan kita dengan Allah dan dalam waktu yang sama kita baiki hubungan kita dengan manusia sebelum kita melangkah masuk ke bulan Ramadhan. Hubungan kita sesama manusia ini termasuklah ibubapa, suami isteri, anak-anak, jiran, saudara terdekat, sahabat-sahabat dan lain-lain lagi….. 

Kita di peringatkan  oleh Allah SWT bahawa  yang paling terbaik ialah kita mengutamakan saudara kita saperti yang Allah firmankan  di dalam surah Al Hasyar: 9 yang bermaksud…
“ Dan mereka mengutamakan saudara mereka ke atas diri mereka sekali pun mereka sangat berhajat kepada keperluan itu”

Rasullullah SAW juga mengingatkan kita ….
“ Tidak beriman sesaorang kamu selagi dia tidak mengasihi saudaranya saperti mana dia mengasihi diri nya sendiri” [HR Bukhari , Muslim…]

Sekiranya kita tak mampu lagi melaksanakan suruhan di atas maka sekurang-kurangnya kita perlulah berlapang dada daripada sifat dengki, kesumat, hasad dan marah.

Saudara dan saudari

Di bulan syaaban yang mulia dan di ambang Ramadhan ini  kita tidak mahu sekiranya Allah menangguhkan keampunanNya ke atas kita. Prof Dr Yusuf Al Qardhawi mengatakan bahawa Allah SWT akan menangguhkan pengampunan bagi orang yang dengki, orang yang bermusuhan yang hati mereka tidak dapat di bersihkan oleh peristiwa dan hari-hari yang berlalu. Mereka tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain dan tidak mahu berlebih kurang dengan saudaranya yang lain. Renungilah firman Allah antaranya bermasuk
“ Adakah kamu tidak suka Allah mengampunkan dosa-dosa kamu?” [An Nur:22]

Jadi, tawaran Allah ini jangan lah kita ketepikan dan inilah peluang terbaik sebelum kita memasuki Ramadhan.

Saudara dan saudari

Semoga sedikit peringatan di atas daripada  Prof Dr Yusuf Al Qardhawi ini dapat memberikan kita sedikit panduan persediaan di dalam kita membuat persediaan menuju ke bulan Ramadhan yang penuh barakah. Sabenarnya banyak lagi perkara yang di sentuh oleh  Prof Dr Yusuf Al Qardhawi tentang amalan yang patut kita lakukan di bulan Syaaban ini. Untuk penulisan yang ringkas ini saya cuma fokuskan kepada hubungan kita sesama manusia…cubalah  memaafkan mereka terutama kepada mereka yang rapat dan yang kita sayangi. Manusia sentiasa melakukan kesilapan…bumi mana yang tidak di timpa hujan…semakin rapat kita dengan manusia yang kita sayangi semakin banyak ujian yang Allah beri kepada kita…Dengan peringatan dari Prof Dr Yusuf Al Qardhawi di atas tentang dua asas kehidupan iaitu hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia sudah cukup dijadikan panduan…sekiranya hubungan kita dengan manusia menyebabkan kita semakin engkar dengan Allah dan bertambah maksiat kita maka jauhilah manusia saperti itu. Sekiranya dengan kita memaafkan manusia yang bersalah dan merapatkan kembali hubungan dan ini dapat menepati kehendaki Allah SWT maka laksanakan dan usah bertangguh lagi kerana kita mungkin tidak mempunyai masa apatah lagi Ramadhan sudah hampir. Itupun kita tidak pasti lagi adakan Allah izinkan kita bertemu dengan bulan yang barakah itu.

 Sekian, sekiranya  ada kebaikan, semuanya dari Allah SWT…kelemahan yang ada ini adalah dari manusia…maaf di pinta
Wasalam
Rujukan: Kitab Prof Dr Yusuf Al Qardhawi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...