Friday, July 29, 2011

Peringatan Menyambut Ramadhan Al Mubarak siri 3: 5 RAHSIA RAMADHAN MENURUT DR.YUSUF QARDHAWI


Assalamu’alaikum wm
Bismilahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan

Sedikit peringatan semoga membantu kita untuk memasukki Ramadhan dengan hati yang bersih……yang di petik dari blog GB Seri Dusun…semoga Allah memberkati usaha beliau..    

Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.
1. Menguatkan jiwa

Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa nafsu. Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya. Bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi.

Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku. Perkara ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabdiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia kepada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firmanNya bermaksud :
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya." (Surah Al-Jaathiyah : 23)

Dengan berpuasa, manusia akan berjaya menguasai hawa nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi." (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

2. Mendidik keinginan ke arah kebaikan

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud : "Puasa itu sebagai benteng." (daripada serangan keburukan)

Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan melupakan diri, meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi.

Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

3. Menyihatkan badan

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

4. Mengenal nilai keknikmatan dan bersyukur.

Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Maka, denganberpuasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperoleh, malah diminta merenungi nikmat Allah kepada kita.

Di sini, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita mnejadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah berfirman bermaksud :
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kami mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih." (Surah Ibrahim : 7)

5. Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain.

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir.

Dari sini puasa akan melahirkan dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.

Oleh itu, sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum Ramadhan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Hal ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah berfirman bermaksud :
"Ambillah zakat daripada sebahagian harta merekan dengan zakat itu, kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
(Surah At-Taubah : 103)

Semoga sebahagian peringatan dari Dr Yusuf Qardhawi   dan petikan dari blog GB Seri Dusun ini dapat memberi manafaat  kepada kita. Berdoalah semoga Allah memudahkan urusan ibadah kita bersama.
Maaf di pinta sepanjang kita bersama di alam siber…..
Selamat menghayati Ramadhan Al Mubarak
Wasalam….

Wednesday, July 27, 2011

Peringatan Menyambut Ramadhan Al Mubarak siri 2: Pesanan Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusuf: Ikrar jauhi maksiat bersungguh-sungguh


Assalamu’alaikum wm

Bismilahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang di muliakan

Sedikit peringatan semoga membantu kita untuk memasukki Ramadhan dengan hati yang bersih……oleh Datuk  Mohd Zawawi Yusuf 

BUAT dosa memang seronok. Lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh dalam golongan yang mengunjungi konsert liar di tepi pantai, dataran, pusat membeli-belah dan kelab malam.

Tidak kurang juga yang melakukan maksiat di rumah sendiri iaitu dengan menonton televisyen, radio, Internet, SMS, MMS, sumbang mahram dan sebagainya. 

Majlis ilmu di masjid tidak diikuti, kitab suci al-Quran tidak dibuka dan dibaca tetapi peribadi dan akhlak semakin jauh dari landasan sebenar.

Beberapa bulan lalu, di Indonesia berlakunya letupan gunung berapi. Lihat saja bagaimana penduduknya bertempiaran lari kerana takut kepada lava panas yang keluar daripada Gunung Merapi.

Malah, ada yang tidak sempat melarikan diri, terkorban dengan kesan yang cukup menyayat hati apabila mendapat kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat terkena debu panas.

Panasnya lava tidak sama dengan kepanasan api neraka. Sebagaimana disebut dalam hadis panas api neraka melebihi 70 kali ganda kepanasan dan tahap bakaran api di dunia.

Bayangkan kalau Allah percikkan satu asap api neraka apalah agaknya berlaku kepada kita? Ya Allah selamatkan kami semua.

Kita semua melakukan dosa. Apalagi penulis yang sangat banyak silap dalam hidup ini, sudah banyak kali kita berjanji hendak tinggalkan dosa, sudah tidak mahu buat lagi, sudah menangis dan hendak tinggalkan dosa tetapi yang berlaku kadang-kadang hanya bertahan beberapa hari, bulan atau tahun.

Bagi mereka yang diberi sedikit kekuatan kemudian mengulangi lagi, mengulang dan mengulang, malah makin berselera selepas berpantang.

Yang jahil biasa bergurau kasar dengan kata "Aku buat dosa sebab Allah sudah takdirkan aku macam ni nak buat macam mana lagi".

Ada pula yang berkata, "Kita buat dosa tidak apa, tetapi jangan lupa kita kena buat baik banyak-banyak nanti kebaikan akan dapat menghapus dosa kita.

Pernah berlaku pada zaman Saidina Umar, seorang lelaki mencuri dan apabila diadili dia di dapati bersalah dan dihukum potong tangan. Dia kemudian membela diri dengan berkata, "Aku buat ini (mencuri) kerana Allah yang sudah tentukan". Kemudian Saidina Umar menyatakan hukuman kepada lelaki ini disamping potong tangan dia juga kena sebat 40 rotan, sahabat hairan kenapa ditambah hukuman terhadapnya? Umar berkata hukuman sebat 40 rotan itu di tambah kerana menyalahkan dan membuat tuduhan palsu terhadap Allah.

Sebenarnya syurga disediakan untuk mereka yang berjaya, dan orang yang berjaya ialah orang yang mampu mengalahkan nafsu dan mengatasi ujian hidup.

Dosa laksana soalan hidup yang kita kena jawab. Jawapan pula kena ikut skrip al-Quran dan hadis, manakala pemeriksa amalan di akhirat nanti ialah Allah Yang Maha Adil.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang telah takdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah Al-Mulk ayat 2)

Kalau ada yang kata, aku sudah banyak pahala tak apalah buat dosa sekali sekala, memang bohong, bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua.

Hatta ada manusia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin benar kita sudah buat baik dan pahala, tetapi yang patut juga kita tanya adakah kebaikan yang kita buat itu diterima Allah?

Sebab kalau sudah memang kebaikan yang kita buat tentu hati kita sudah terisi dengan makruf dan kalau hati sudah terisi dengan kebaikan bagaimana pula mungkar boleh masuk?

Tulisan ini bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi mahu mengajak kita sama-sama bermuhasabah berkenaan waktu terluang dan peluang yang sangat banyak untuk kita lakukan ketaatan.

Benarlah firman Allah yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah
Al-'Asr ayat 1-3).

Ada banyak cara untuk kita hindari dosa dan maksiat di kesempatan terbatas ini marilah kita berprinsip, bermati-matian untuk menjauhi dosa.

Selama ini kita banyak bermain-main dalam menjauhi dosa dan maksiat, banyak main dalam beribadat dan taat kepada perintah Allah. Bermati-matianlah dalam bersolat, bermati-matian dalam berdakwah, bermati-matian dalam berzikir dan bermati matian dalam mencari cinta Allah serta mengamalkan sunnah Rasul.

Sekian, semoga peringatan kita jadikan panduan
Maaf di pinta
Wasalam
Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Tuesday, July 26, 2011

Peringatan Menyambut Ramadhan Al Mubarak siri 1: Pesanan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman... Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan


Bismillahirahmanirahim

Assalamu'alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan.

Marilah sama-sama kita meneliti panduan menghadapi bulan Ramadhan Al Mubarak ini..InsyaAllah panduan ini akan cuba di muatkan sepanjang bulan Ramadhan ini...artikel siri 1 ini telah di ambil dari Shukri PFS)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).
 Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
 Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.
 Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
 Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari
dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur

Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram,
 samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.

 Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Sekian, semoga kita sama dapat memberi perhatian kepada panduan ini....

Maaf di pinta

Wasalam

Friday, July 22, 2011

Pesanan Prof Dr Yusuf Al Qardhawi : Sedikit peringatan di bulan Syaaban…persediaan untuk memasuki Ramadhan


Assalamu’alaikum wm

Bismilahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdullillah sekali lagi kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini..walaupun ramai manusia menyalahgunakan kemudahan ini tetapi bagi kita cubalah kita gunakan ke arah kebaikan…Mudah-mudahan Allah mudahkan juga segala urusan kehidupan kita dan dapat kita jadikan segala aktiviti saperti berkeluarga atau bekerja mencari rezeki ini sebagai ibadah ….dan Allah SWT terima amalan kita sebagai amal soleh..Kita tidak mahu masa 8-10 jam yang kita habiskan di tempat kerja kita berlalu tanpa mendapat ganjaran dari Allah SWT. Oleh itu marilah kita betulkan niat kita dari awal-awal lagi supaya apa yang kita lakukan hanyalah kerana Allah SWT semata-mata. Dan pastikan juga jalan-jalannya juga  tidak bertentangan dengan syarak..

Saudara dan saudari…..

Pada kali ini marilah sama-sama kita melihat peringatan daripada Prof Dr Yusuf Al Qardhawi  mengenai perkara-perkara yang kita patut beri perhatian di bulan syaaban ini di dalam rangka kita berusaha untuk memasuki bulan Ramadhan dengan hati yang bersih. Antara nya ialah kita diminta untuk memperbaiki kembali hubungan kita sesama manusia supaya jangan ada permusuhan, perkelahian dan memutuskan tali persaudaraan  kerana ini menghalang kita dari pengampunan dari Allah SWT. Disebutkan bahawa pada hari Isnin dan Khamis atau pada malamnya Allah akan mengampunkan semua manusia (yang betul-betul bertaubat) melainkan mereka yang ada permusuhan dengan saudaranya. Allah berfirman:
Perhatikan kedua-dua orang ini sehingga mereka berbaik”. Maksudnya di sini ialah Allah menangguhkan keampunan dari kedua orang yang bermusuhan itu.

Keampunan dari Allah berterusan dan ini juga berlaku di bulan Syaaban tetapi pintu keampunan masih juga tertutup bagi mereka yang mengotorkan hati mereka dengan perasaan dengki.  Mereka itu tidak kenal erti hati yang bersih dan suci.  

Prof Dr Yusuf Al Qardhawi juga mengingatkan bahawa hati yang bersih dari dengki dan kesumat merupakan perkara asasi di dalam Islam. Islam sabenarnya membina kehidupan manusia di atas dua asas iaitu manusia perlu mengelokkan hubungannya dengan Allah SWT dan juga di atas asas manusia hendaklah memperbaiki hubungan sesama manusia dengan persaudaraan dan kasih sayang. Jadi cubalah tingkatkan hubungan kita dengan Allah dan dalam waktu yang sama kita baiki hubungan kita dengan manusia sebelum kita melangkah masuk ke bulan Ramadhan. Hubungan kita sesama manusia ini termasuklah ibubapa, suami isteri, anak-anak, jiran, saudara terdekat, sahabat-sahabat dan lain-lain lagi….. 

Kita di peringatkan  oleh Allah SWT bahawa  yang paling terbaik ialah kita mengutamakan saudara kita saperti yang Allah firmankan  di dalam surah Al Hasyar: 9 yang bermaksud…
“ Dan mereka mengutamakan saudara mereka ke atas diri mereka sekali pun mereka sangat berhajat kepada keperluan itu”

Rasullullah SAW juga mengingatkan kita ….
“ Tidak beriman sesaorang kamu selagi dia tidak mengasihi saudaranya saperti mana dia mengasihi diri nya sendiri” [HR Bukhari , Muslim…]

Sekiranya kita tak mampu lagi melaksanakan suruhan di atas maka sekurang-kurangnya kita perlulah berlapang dada daripada sifat dengki, kesumat, hasad dan marah.

Saudara dan saudari

Di bulan syaaban yang mulia dan di ambang Ramadhan ini  kita tidak mahu sekiranya Allah menangguhkan keampunanNya ke atas kita. Prof Dr Yusuf Al Qardhawi mengatakan bahawa Allah SWT akan menangguhkan pengampunan bagi orang yang dengki, orang yang bermusuhan yang hati mereka tidak dapat di bersihkan oleh peristiwa dan hari-hari yang berlalu. Mereka tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain dan tidak mahu berlebih kurang dengan saudaranya yang lain. Renungilah firman Allah antaranya bermasuk
“ Adakah kamu tidak suka Allah mengampunkan dosa-dosa kamu?” [An Nur:22]

Jadi, tawaran Allah ini jangan lah kita ketepikan dan inilah peluang terbaik sebelum kita memasuki Ramadhan.

Saudara dan saudari

Semoga sedikit peringatan di atas daripada  Prof Dr Yusuf Al Qardhawi ini dapat memberikan kita sedikit panduan persediaan di dalam kita membuat persediaan menuju ke bulan Ramadhan yang penuh barakah. Sabenarnya banyak lagi perkara yang di sentuh oleh  Prof Dr Yusuf Al Qardhawi tentang amalan yang patut kita lakukan di bulan Syaaban ini. Untuk penulisan yang ringkas ini saya cuma fokuskan kepada hubungan kita sesama manusia…cubalah  memaafkan mereka terutama kepada mereka yang rapat dan yang kita sayangi. Manusia sentiasa melakukan kesilapan…bumi mana yang tidak di timpa hujan…semakin rapat kita dengan manusia yang kita sayangi semakin banyak ujian yang Allah beri kepada kita…Dengan peringatan dari Prof Dr Yusuf Al Qardhawi di atas tentang dua asas kehidupan iaitu hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia sudah cukup dijadikan panduan…sekiranya hubungan kita dengan manusia menyebabkan kita semakin engkar dengan Allah dan bertambah maksiat kita maka jauhilah manusia saperti itu. Sekiranya dengan kita memaafkan manusia yang bersalah dan merapatkan kembali hubungan dan ini dapat menepati kehendaki Allah SWT maka laksanakan dan usah bertangguh lagi kerana kita mungkin tidak mempunyai masa apatah lagi Ramadhan sudah hampir. Itupun kita tidak pasti lagi adakan Allah izinkan kita bertemu dengan bulan yang barakah itu.

 Sekian, sekiranya  ada kebaikan, semuanya dari Allah SWT…kelemahan yang ada ini adalah dari manusia…maaf di pinta
Wasalam
Rujukan: Kitab Prof Dr Yusuf Al Qardhawi.

Jaga lah kesihatan kita dan berdoalah....sedikit panduan


Assalamualaikum wm

Saudara dan saudari

Sedikit panduan (bahasa Inggeris) daripada email kawan lama...
Tetapi ingat Allah lah jua yang memberikan kita kesihatan satelah kita berusaha....
CLEAN YOUR KIDNEYS IN Rs. 1.00
Years pass by and our kidneys are filtering the blood by removing salt, poison and any unwanted entering our body. With time, the salt accumulates and this needs to undergo cleaning treatments and how are we going to overcome this?
It is very easy, first take a bunch of parsley (MALLI Leaves) KOTHIMBIR (DHANIYA)and wash it clean
Then cut it in small pieces and put it in a pot and pour clean water and boil it for ten minutes and let it cool down and then filter it and pour in a clean bottle and keep it inside refrigerator to cool.
Drink one glass daily and you will notice all salt and other accumulated poison coming out of your kidney by urination also you will be able to notice the difference which you never felt before.
Parsley is known as best cleaning treatment for kidneys and it is natural!


Wednesday, July 13, 2011

Pesanan Ustaz Fathi Yakan: Hamba Allah yang suka beribadah…

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT  kerana dengan izin kurniaNya  jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan dari masa kesemasa dapat kita tingkatkan hubungan kita dengan pencipta kita …Kita tidak akan lemah sekiranya  kita mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah yang Maha Kuasa …Berusaha dan berdoalah..Berdoalah juga supaya kita dapat bertemu dengan Ramadhan Al Mubarak yang kurang lebih 2 minggu lagi, InsyaAllah….

Saudara dan saudari

Pada kali ini marilah kita sama-sama meneliti pesan Ustaz Fathi Yakan mengenai satu tajuk berkaitan dengan hamba Allah yang suka beribadah kepada Allah SWT. Menurut beliau, manusia-manusia yang ‘abid ini adalah mereka-mereka yang beribadah kepada Allah dalam setiap gerak-geri dan tindak-tanduk, begitu juga dengan perkataan dan perbuatan mereka supaya dengan itu mereka dapat memenuhi tujuan utama hidupnya segaimana Allah berfirman yang bermaksud…
“Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu” [AzZariat: 56]

Apabila Allah SWT  telah menjadi matlamat kita,  sasaran ibadah kita , arah dan matlamat hidup kita, maka kita akan berpegang teguh dengan  segala perintahnya dalam setiap urusan hidup kita. Dengan tindak tanduk kita saperti ini, maka ia memenuhi dan mengisi pengertian untuk menjadikan keseluruhan hidup kita sebagai ibadah kepada Allah SWT. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud…
“ Katakanlah : Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidup ku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan semesta Alam” [Al An’am: 162]

Walau pun perkara di atas sukar untuk kita laksanakan tetapi kita wajib cuba berusaha semaksima mungkin untuk memenuhi tuntutan Allah itu. Teruslah mendidik jiwa kita……

Saudara dan saudari

Apabila kita berhadapan dengan keterangan yang pasti dan jelas dari nas Al Quran umpamanya, maka tidak ada ruang untuk kita berijtihad lagi.  Di hadapan ketentuan syariaat yang pasti,  tidak ada tempat untuk hawanafsu kita. Sesuatu hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tidak wajar untuk kita berdolakdalik menghadapinya.  Firman Allah SWT yang bermaksud…
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” [ AnNur: 51]

Jadi,  apa yang dimaksudkan disini ialah sesuatu perkara atau perbuatan kita itu hendaklah Islam.  Segala sesuatu itu hendaklah  kita mengikut neraca syarak, syariat Islamiah.
Ini juga bererti bahawa segala tindak tanduk dalam kehidupan kita samada dalam kontek individu atau dalam hubungan kita dengan orang lain hendaklah mengikut syariat yang telah ditetapkan Allah ke atas hambaNya.

Saudara dan saudari

Dengan kefahaman yang menyeluruh ini Ustaz Fathi Yakan mengingatkan kita supaya menjadikan seluruh urusan hidup kita sebagai beribadah kepada Allah.  Dengan pengertian ini bermakna tidur kita menjadi ibadah, bekerja menjadi ibadah, berumahtangga menjadi ibadah, berjalan ,mengajar, dan apa saja yang kita akn lakukan menjadi ibadah. Jadi, kita wajib berusaha supaya amalan kita itu sentiasa mengikut peraturan yang di redhai oleh Allah SWT.

 Sempena bulan yang mulia ini tingkatkanlah iman, ilmu dan amal kita. Sekiranya kita terlalu sibuk dengan urusan duniawi, ambillah masa sejenak untuk muhasabah, menilai kehidupan harian kita…adakah cukup amalan baik kita untuk kita bawa bila kita bertemu Allah nanti…atau adakah kita sibuk dengan perkara-perkara yang tidak pasti dapat membantu kita di padang mahsyar kelak…berdepan bersendirian dengan Allah SWT.
Ayuh…bangun lah segera kerana masa berbaki hanya sedikit yang tinggal….
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap DIRI itu melihat serta memerhatikan apa yang telah disediakan (dari amalan-amalannya) untuk untuk hari esuk (Kiamat) [ Al Hasyr:18]

Sekian, semoga kita sama-sama dapat mengambil peringatan, InsyaAllah…..
SELAMAT MEMBUAT PERSEDIAAN UNTUK MASUK KE  BULAN RAMADHAN.
Maaf di pinta.
Wasalam
Rujukan Ustaz Fathi Yakan dan Sheikh Said Hawa

Thursday, July 7, 2011

Pesanan Datuk Mohd.Zawawi Yusoh: Batasan pergaulan lelaki, wanita bukan mahram

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Marilah sama-sama kita meneliti pesanan Datuk Mohd Zawawi Yusof mengenai masalah yang penting ini….

ALAM remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’” 
Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’

Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.

Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.

Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:

1) Pandangan
2) Pertemuan
3) Percakapan
4) Berjabat tangan
5) Bersentuhan badan

Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.

Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka...”

Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka...” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.

Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong mereka ke arah kancah maksiat.

Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.

Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.

Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja.

Larangan itu dibuat semata-mata untuk menghindari pandangan serong atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.

Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka, perlakuan itu meliputi lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan atau sebaliknya.

Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “...demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.

Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”

Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah s.w.t.

Sekian , Wasalam

Sunday, July 3, 2011

Saudaraku...bersedialah untuk hari yang pasti kita kesana....


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Di dalam tazkirah ringkas ini saya ingin membawa saya dan saudara merenung tentang perjalanan kita menuju ke satu hari kepastian iaitu hari kiamat....

Hari itu  merupakan hari bangkitnya semua untuk menghadapkan diri kepada Rabb, pencipta Alam semesta, hari perhintungan dan hari kebangkitan. Saat itulah manusia akan melihat semua tindakannya di dunia. Manusia akan jelas , dilihatkan dalam pelbagai rupa sesuai dengan amal perbuatan kita. Ada yang wajahnya putih berseri-seri dan ada pula yang berwajah hitam. Pada hari itu segala tipu daya dan pertolongan tidak lagi berguna, sehingga tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita kecuali amal perbuatan kita sendiri. Semua kita akan memperoleh balasan amal baik dan amal buruknya selama kita hidup di dunia yang tak seberapa hari ini.

Ingatlah peringatan Allah SWT yang bermaksud...
"(Iaitu ) pada hari ketika bumi diganti dengan bumi yang lain dan dimikian pula langit. dan mereka semua di padang Masyar berkumpul menghadap kehadrat Allah yang Maha Perkasa" [Ibrahim: 48]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud...

"Pada hari kiamat , matahari didekatkan kepada seluruh manusia sehingga sejarak satu batu di atas kepala, lalu mereka akan tergenang  di dalam peluh mereka berdasarkan kadar amalan di dunia. Di antara mereka ada yang tergenang setinggi kedua mata kaki, kedua lutut, pinggang, dan ada pula setinggi mulut" [HR Muslim]

Saudara dan saudari..

Merenung peringatan di atas, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dan jadikan motivasi untuk kita mendidik hati kita untuk untuk terus berusaha meningkat iman, ilmu dan amalan kita...Sedarlah bahawa masa sabenarnya bergerak begitu pantas sehingga kita tidak sempat merancang...lebih-lebih lagi merancang untuk pulang ke kampung Akhirah yang kekal abadi. 

Jika selama ini kita banyak memberi masa untuk perancangan dunia yang hanya untuk bergembira sekitar lebih kurang enam puluh tahun, kita sedarkan hati kita untuk memikirkan perkara yang lebih besar dan lebih penting ini...Usah bertangguh lagi dengan pelbagai alasan yang dalam banyak hal hanya di atas dorongan emosi dan nafsu shahwat kita..Carilah suasana yang baik untuk mendidik hati untuk kembali mengambil Allah sebagai Rabb dan Illah di dalam kehidupan kita....

Ya Allah ya Tuhan kami , bantulah kami untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup kami, jauhilah kami daripada ketamakan kami terhadap dunia......Selamatkan kami dari siksaan api neraka dan azab kuburMu...Berikan kami kebahagiaan di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat...Ameen

Sekian, wasalam

Antara rujukan Kitab Mahmudin.. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...