Friday, November 21, 2014

Elemen pekerja terbaik 3: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi- Sentiasa berusaha untuk lakukan kebaikan



Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita ucapkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Selawat serta salam juga kita tujukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, Keluarga Baginda, Ahlul Bait , sahabat-sahabat awal saterusnya mereka yang mengikuti mereka itu sehinggalah kehari Kiamat. Oh ya, samada kita sedar tak sedar bulan Muharram telah pun pergi meninggalkan kita. Baru sangat kita menyambut tahun baru Hijrah…kini sudah masuk bulan kedua, bulan safar. Jadi bagi kita yang ingin mendidik hati kita untuk kembali kepada cara hidup Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah maka seharusnya kita muhasabah diri tentang amalan kita sebulan yang pantas berlalu. Adakah kebaikan banyak dari kemaksiatan atau sebaliknya. Maka sudah semestinya kita teruskan bertaubat dan berusaha untuk kembali berusaha bersungguh untuk mengambil Islam sebagai cara hidup kita. Lebih-lebih lagi umur kita yang tergolong di dalam kategori empat, lima, enam atau tujuh series ini….sudah menghampri garisan penamat.

 Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pada kali ini saya ingin membawa kita bersama meneliti nasihat yang diberikan oleh Ustaz  Pahrol mengenai elemen terakhir kita sebagai pekerja. Tak kiralah kita bekerja di mana dan apa jua pekerjaan kita, nasihat diberikan ada baiknya untuk kita mengambil pengajaran.

Hendaklah sentiasa berusaha untuk lakukan kebaikan

Sabenarnya, bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunahtullah.
Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.
Jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,
tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Dr Yusof al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam.
Etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.
Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati, keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika melaksanakannya.
Jawatan, kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi.
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Oleh itu saya ingin mengajak diri saya dan saudara saudari untuk berusaha meningkatkan amalan kebaikan di dalam apa saja pekerjaan yang kita lakukan. Setiap amalan atau aktiviti kita wajiblah ikhlas kerana Allah SWT dan mengikut lunas-lunas syarak…barulah Allah ikhtiraf  amalan kita sebagai amal soleh. Sekian semoga peringatan Ustaz Pahrol ini kita jadikan sebagai bahan didikan hati kita bersama.
Maaf jua dipinta.

Sumber rujukan :* Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Khamis, 11 September 2014 @ 5:28 AM

Thursday, November 6, 2014

Elemen pekerja terbaik 2: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya juga dapat kita bersua kembali di alam siber ini. Semoga teknologi yang ada ini kita sentiasa gunakan kearah kebaikan. Berkongsilah maklumat dan peringatan yang mudah dan berguna untuk kita semua.  Secara umumnya, cuba elakan penggunaan platform umum ini untuk mencetuskan atau membincangkan perkara yang kontroversi yang akan mengeruhkan lagi suasana persaudaraan kita.

Sebagai menyambung kembali apa yang terkandong di dalam “post” saya yang lepas dimana kita masih lagi membincangkan aspek elemen penting di dalam kita bekerja mencari rezeki. Elemen kedua yang juga tidak kurang pentingnya ialah sudut Gabungan sudut al-quwwah (kekuatan).

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Menurut Ustaz Pahrol kita perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Mempunyai amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan.

Inilah sifat umat Islam dalam bekerja dimana ada di sana gabungan kepakaran juga keimanan, cantuman integriti dan kecekapan kita. Jika ada semuanya, dengan izin Allah SWT segala yang direncana menjadi dan diberkati.
Pekerja juga perlu melakukan kerja dengan acuan Allah SWT bukan terapan manusia jika ingin melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja tinggi.

Terdapat tiga criteria/elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama, capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak. Kedua, kuantiti yang lebih baik dan ketiga ialah akhlak, etika serta adab terpuji yang membangun jati diri, sahsiah peribadi seorang Mukmin.

Ustaz membawa kita kisah Imam Malik yang menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat itu dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu, jadi apakah perbezaan hasil tangan Imam Malik?

Lalu Imam Malik menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itulah yang akan berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya ituBeliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta' kita hanya terbayang Kitab Muwatta' milik Imam Malik dan terpadam kitab muwatta' yang terdahulu sebelum beliau.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Ini lah hebatnya keikhlasan akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Jadi bagi kita yang mempunyai kesedaran yang sabenarnya ia jua hidayah dari Allah SWT perlu sangat-sangat meneliti setiap tindakan yang kita lakukan seharian termasuklah di dalam hal mencari rezeki di tempat kerja kita. Teliti dulu niat kita dan ini lah permulaan yang Wajib betul supaya urusan seterusnya berjalan dengan arah yang betul dan syarie sehingga boleh di ikhtiraf sebagai amal soleh. Walaupun kita berkerja di mana-mana sahaja, di makmal, di pejabat, di sekolah di ladang dan lain-lain…ingatlah antara elemen penting di sini ialah niat ikhlas semata-mata kerana Allah dan mengikut amalan syarie/syarak..iaitu tidak membuat sesuatu yang bertentang dengan kehendak Allah SWT dan jalan–jalan yang telah di tunjuki oleh Rasulullah SAW kepada kita…sekiranya ada juga kesilapan cepat-cepatlah kita muhasabah dan kembali kepada kehendak Allah. Insya Allah, mudah-mudahan Allah SWT akan memudahkan urusan kehidupan kita yang sementara ini….

Sekian, maaf di pinta..
Antara rujukan : rencana BH 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...