Thursday, December 13, 2012

Sedikit catatan Datuk Mohd Zawawi Yusof yang boleh dikongsi bersama berkaitan masa dan kehidupan….



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wm

Alhamdullillah, bertemu kita sekali lagi  di medan siber ini dan di doakan saudara dan saudari sentiasa di rahmati Allah SWT. 

Saudara dan Saudari yang dimuliakan

Di sini saya ingin berkongsi catatan Ustaz Datuk Mohd Zawawi Yusof berkaitan dengan masa dan kaitannya dengan kehidupan kita. Input sebegini boleh kita murnikan dengan kefahaman yang sedia ada…

IMAM Hassan al-Banna ada menyebut, “Masa adalah kehidupan”. Ertinya, orang yang tidak mempedulikan masanya seolah-olah mereka membuang kehidupannya.
Dalam erti lain, orang yang membuang masa sama seperti membunuh kehidupannya. 

Islam sebagai agama yang mempelopori kecemerlangan sejak awal-awal lagi iaitu ribuan tahun dulu menyerang dan mencela mereka yang alpa dalam mengurus masa.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran”. 

Hebatnya masa menurut Allah SWT sehingga banyak perkataan ‘sumpah’ dalam al-Quran dikaitkan dengan masa. Seperti demi waktu malam, demi waktu Duha, demi waktu siang dan banyak lagi. 

Generasi silam yang mencipta kecemerlangan kerana mereka bijaksana dalam mengisi masa. Mereka bukan hanya membaca, tetapi mengkaji dan menganalisis.

Mereka bukan hanya menjadi pengguna, tetapi pencipta, mereka bukan saja penulis ,tetapi menterjemah dalam bentuk perbuatan. Tidak hairanlah jika mereka menjadi tokoh di usia muda.

Saudara dan saudari
Kenapa kita tidak boleh jadi seperti mereka? Mereka manusia, kita pun manusia. Jumlah hari dalam setahun masih sama 365 hari, sebulan masih juga 30 hari dan tujuh hari seminggu pun masih tidak berubah sehari semalam 24 jam tetap seperti dulu.

Cuma berbeza ialah cara mereka mengisi ruang masa. Lihatlah Imam Al-Jauzi berkata, dia pernah membaca sebanyak 20,000 buku.

Ibnu Sina ketika merawat Sultan memilih untuk membaca semua buku di perpustakaan diraja daripada menerima pangkat kebesaran.

Imam Syafie mempunyai lebih daripada 1,000 guru. Cerita seumpama itu sepatutnya menjadi sumber motivasi kepada kita.

Bayangkan jika kita menghabiskan masa sejam sehari tanpa faedah dalam setahun kita membuang 365 jam kehidupan kita.

Dengan jumlah masa sebegitu banyak jika kita gunakan untuk mempelajari bahasa sudah berapa bahasa kita boleh faham?

Jika kita gunakan masa sebanyak itu untuk menghafal ayat al-Quran sudah berapa surah kita hafal? Itu baru sejam satu hari.

Bayangkan berjam-jam kita bersembang, melepak di tepi jalan, membuang masa di depan komputer, melayari face book tanpa kawalan, berborak tanpa tujuan, merayau-rayau, apa lagi lumba haram dan pulang dari pusat hiburan ketika Subuh menjelang.

Malang sekali jika kita termasuk dalam senarai mereka yang diisytihar Allah sebagai orang yang paling rugi. Hidup ini mempunyai tiga masa saja, iaitu masa yang sudah lalu, masa sekarang dan masa yang akan datang atau masa kita adalah semalam, hari ini dan esok.

Kehidupan kita hari ini sebenarnya ditentukan masa silam dan bagaimana kehidupan esok ditentukan sikap kita hari ini. Sekiranya sifat malas yang kita ‘semai’ nescaya kegagalan yang akan kita tuai kelak.

Jiwa yang besar menghiasi diri dengan ilmu manakala jiwa sederhana bercakap soal peristiwa saja dan jiwa yang rendah asyik bercakap mengenai orang saja.

Orang yang berfikiran cetek pula hanya sibuk bercakap mengenai dirinya saja. 

Malah, berkaitan masa juga, Rasulullah memberikan peringatan kepada kita untuk memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu: 
  Masa muda sebelum tua. 
  Masa sihat sebelum sakit. 
  Masa kaya sebelum miskin. 
  Masa lapang sebelum sibuk. 
  Masa hidup sebelum mati.


Kecergasan fizikal dan mental ketika muda sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sebab apa yang akan terjadi pada hari tua ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda.

Nikmat kesihatan juga amat berharga. Seluruh anggota badan kita adalah milik Allah yang wajib kita jaga amanah itu. Ramai yang tidak menghargai nikmat sihat yang mana terbabit dalam aktiviti yang membawa kemusnahan dan kesengsaraan pada diri.

Kekayaan tidak kekal, malah ia boleh bertambah dan hilang musnah sekelip mata. Justeru kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.

Kita boleh mencari harta sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan dilaknat dan diazab atau pun tidak menjadi Tha’labah yang kaya tetapi bakhil.

Jadilah kekayaan harta yang kita miliki untuk menjadi seorang dermawan. Terakhir sekali yang amat penting masa hidup sebelum mati.

Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”

Saudara dan Saudari yang dimuliakan

Sekian, semoga catatan dan nasihat di atas dapat membantu kefahaman kita dan kaitkan penjagaan masa dengan segala aktiviti harian kita…Marilah muhasabah diri kita untuk tahun 2012 yang akan berlalu beberapa hari lagi…jika ada amalan baik yang kita lakukan bersyukurlah…tingkatkan pada tahun hadapan InsyaAllah..tetapi sekiranya perbuatan maksiat dan dosa yang banyak..bertaubatlah dengan sabenar-benar taubat…

Wassalam dan maaf di pinta..
Rujukan catatan Datuk Mohd  Zawawi Yusof HM

Wednesday, December 12, 2012

Carilah pasangan berdasarkan kehendak syarak….jadikan pengalaman pahit sebagai panduan kita…


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wm


Saudara dan saudari yang dimuliakan

Berita hari ini antaranya berkaitan dengan rumahtangga pasangan muda sekarang ini amat menyedihkan. Peristiwa sebegini merupakan bahan didikan hati yang praktikal untuk kita muhasabah diri kita dan ahli keluarga.  Bagi mereka yang telah berumahtangga dan bahagia bersyukurlah kepada Allah dengan meningkatkan lagi  ibadah kita  kepada Allah SWT…inilah jalan untuk mengekalkan kita untuk mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah untuk meneruskan kehidupan yang penuh ujian ini.  Gangguan di perjalanan kehidupan yang berterusan juga oleh syaitan, iblis dan nafsu juga perlukan pertolongan dan kekuatan dari Allah SWT…Sekiranya berlaku juga sebagaimana yang terdapat di dalam berita semasa ini…cepat-cepatlah muhasabah diri tentang kesalahan-kesalahan kita yang lalu yang tidak syarak yang telah kita lakukan dan bertaubatlah dengan sabenar benar  taubat…Allah sangat suka dan sayang kepada kita lebih dari manusia yang kita sayangi di dunia ini…yakinlah dengan pertolongan Allah dengan kembali menyerah diri secara total kepada Allah SWT dan bukannya kepada makhluk yang lemah….

Marilah kita renungan ingatan Allah SWT di dalam surah Fathir ayat 5 yang bermaksud…
“ Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah(membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah syaitan yang menjadi sabesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)…..  

Semoga peristiwa di bawah yang dilaporkan oleh  Harian Metro pada 121212 ini….menjadi ikhtibar bagi kita…carilah pasangan dan jagalah pasangan kita supaya terikat dengan Allah di dalam apa jua tindakan kita…

1.  Pokai judi sepak isteri
GOMBAK: Seorang lelaki tergamak menendang perut isterinya yang sedang tidur di kediaman mereka di Aman Puri, di sini semata-mata untuk meminta wang bagi membolehkannya berjudi selain mengugut akan membunuh mangsa jika enggan memenuhi permintaannya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, wanita berusia 19 tahun yang sedang tidur mengerang kesakitan selepas ditendang suaminya berusia 20-an yang baru pulang ke rumah. 
Menurut sumber, mangsa yang kesakitan mempersoalkan tindakan suaminya itu yang tiba-tiba mengamuk dan memukulnya sebelum lelaki terbabit meminta mangsa menyerahkan wang kepadanya.

“Mangsa bagaimanapun memberitahu tidak mempunyai wang pada masa sekarang menyebabkan suaminya itu terus mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat.

“Suami mangsa juga turut memukul dan memaksa mangsa menyerahkan wang selepas duit yang diberikan sebelum ini habis digunakan di meja judi,” katanya.

2.  Suami lewat balik naik hantu

KUALA LUMPUR: Angkara menegur suami, seorang wanita berusia 29 tahun cedera di badan dan kepala selepas disepak terajang lelaki terbabit dalam kejadian di rumah mereka di Cheras, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa dipukul suaminya berusia 29 tahun selepas menegur lelaki terbabit yang sering pulang lewat ke rumah.

Menurut sumber, mangsa yang menunggu kepulangan suaminya sejak jam 8 malam berang selepas lelaki terbabit tidak pulang ke rumah.
“Sebaik suaminya tiba di rumah jam 11 malam, mangsa menegur suaminya yang sering pulang lewat malam dan mula mempersoalkan aktiviti luar lelaki terbabit.

“Tindakan mangsa menimbulkan kemarahan suaminya menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya.

Katanya, suami mangsa yang gagal mengawal kemarahan mula bertindak agresif dengan memukul mangsa. “Lebih malang, suami mangsa yang bagaikan dirasuk terus menyepak terajang mangsa hampir 10 minit,” katanya.
Sumber berkata, ketika disepak terajang itu, mangsa hanya mampu menutup kepalanya menggunakan tangan.

“Suami mangsa hanya berhenti memukul mangsa selepas mendengar tangisan anak lelaki mereka berusia dua tahun sebelum lelaki terbabit keluar daripada rumah,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras, di sini, menuntut siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap lelaki terbabit.

Sekian, Wassalam dan maaf di pinta…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...