Assalamu’alaikum wm
Bismilahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan
Pertama sekali marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurnianya dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Walau pun kita tidak bertemu wajah tetapi dengan keimanan dan keyakinan kita untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup kita maka Allah akan berikan kita taufik dan hidayah kepada kita untuk seronok mendengar atau membaca peringatan dari pelbagai pihak yang kita yakin sumbernya. Sabenarnya bukan mudah kita nak asuh hati kita supaya mengikut jalan Allah kerana jalan itu hanya satu sedangkan jalan lain yang dijaga oleh syaitan terlalu banyak yang sentiasa menunggu kita dan hendak menyesatkan kita....jadi berhati-hati dan berwaspadalah sentiasa..Jagalah Allah maka Allah akan menjaga kita……InsyaAllah.
Suadara dan saudari
Pada kali ini ingin saya bawakan peringatan oleh ibnu Qayyim tentang kesan maksiat ke atas kita supaya dapat kita berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak terlibat atau terjebak dengannya. Sempena kita menyambut tahun baru 1433 hijrah ini marilah sama-sama kuatkan azam kita untuk bersunguh-sungguh meninggalkan maksiat atau dosa kepada Allah SWT. Ibnu Qayyim menegaskan bahawa maksiat mempunyai kesannya sapertimana taat juga mempunyai kesannya. Ketaatan menjadi sesuatu yang manis bagi simukmin manakala maksiat adalah satu kelazatan bagi penderhaka kepada Allah SWT.
Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan di akhirat. Mukmin sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan.
Suadara dan saudari
Sabenarnya menurut Ibnu Qayyim kesan-kesan kemaksiatan yang dilakukan oleh sesorang hamba dapat dilihat semasa hidupnya di dunia ini lagi. Antara kesan-kesannya itu ialah:
1. Tidak mendapat ilmu yang sabenarnya.
Ilmu adalah sinar yang diletakkankan Allah SWT ke dalam hati. Sedangkan maksiat pula memadamkan sinar tersebut. Di dalam satu peristiwa imam Malik menasihatkan imam Syafie yang belajar dengannya….
“Saya melihat Allah telah meletakan sinar di dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat.”
Imam syafie juga pernah mengeluh “Saya mengeluh kepada wakii' bahawa hafazan ku jelek lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Sambung wakii..ketahuilah bahawa ilmu itu adalah anugerah Allah dan Allah tidak akan memberikan kepada pelaku maksiat.”
Jadi renungilah diri kita…. kadang kadang ilmu kita tak ada keberkatan malah sangat sukar untuk mengamalkan ilmu yang ada pada kita.
2. Tidak mendapat rezeki yang diberkati
Didalam Musnad imam Ahmad ada menyebut
"sesungguhnya seorang hamba tidak mendapat rezeki kerana dosa yang diperbuat"
Sabenarnya jelas bahawa taqwa kepada Allah SWT itu akan membawa kepada kemurahan rezeki yang diberkati sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan yang sebenar.
3. Kerisauan dan kesepian hati
Hati seorang pelaku maksiat kepada Allah SWT tidak ada keseimbangan dan kenikmatan, malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya tetap tidak dapat mengimbangi keresahan tersebut.
Tidak ada yang lebih pahit bagi hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang-orang lain, lebih-lebih lagi dengan orang yang sebelumnya ini baik dengannya. Apabila perasaan keterasingan ini menjadi kuat ia akan akan menjauhkan dirinya dari lingkungan orang-orang tadi.
Akhirnya, jika hati yang terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan dan jauh dari kelompok yang dekat dengan Allah SWT. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan ini akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa asing dari keluarga dan anak-anaknya, dan ini akan terus menambah kerisauan dan rasa tertekan dalam dirinya.
4. Banyak mendapat kesulitan
Orang yang tidak bertakwa akan mendapat kesukaran dalam pelbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.
5. Kegelapan di dalam hati
Kegelapan dalam hatinya akan sungguh dia rasakan saperti gelap pekatnya malam. Apabila dia diberi petunjuk, maka kegelapan naksiatnya itu akan menutupi hatinya.
Berkata ibnu Abbas
“Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati , kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai terhadap dirinya. Ada pun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan pada badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang”
6. Melemahkan hati dan badan
Orang mukmin itu kekuatannya terletak pada hatinya. Apabila hatinya kuat maka badannya pun akan menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat namun hatinya sangat lemah.
7. Kehilangan ketaatan kepada Allah SWT
Tidak ada hukuman bagi sesuatu dosa kecuali hukuman nya adalah terhalangnya sesaorang dari pada ketaatan terhadap Allah SWT. Juga terputuslah jalan-jalan kebaikan baginya. Ketaatan itu lebih baik daripada dunia seisinya.
8. Mengurangi umur dan mengikis keberkatan.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa kurangnya umur orang yang melakukan maksiat bermakna hilangnya keberkatan umur. Hidup ini sbenarnya kehidupan hati.
Umur manusia beriman ialah apabila hatinya hidup bersama samanya dan bersama-sama Allah SWT. Itulah umur yang sabenarnya. Apabila hidupnya berpaling dari Allah SWT dan sibuk dalam kemaksiatan, maka hilanglah kehidupan yang hakiki. Sehingga pada akhirnya (di akhirat nanti) pelaku maksiat akan berkata saperti Firman Alllah SWT yang bermaksud…..
“Dia mengatakan:” Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu mengerjakan (amal soleh) untuk hidupku ini” [Surah Al Fajr:24]
Suadara dan saudari
Semoga peringatan dari ibnu Qayyim ini akan memberikan kita kesedaran untuk berusaha meninggalkan maksiat kita kepada Allah SWT ..mungkin dengan kita membuat maksiat sekarang ini kita akan mendapat keseronokan dan kelazatan yang sementara di dunia ini tapi ketahuilah bahawa kita akan di azab dan disiksa di Akhirat kelak. Ingatlah bahawa Akhirat adalah kehidupan kita yang kekal dan sebagai seorang muslim kita kena yakin akan kehidupan selepas mati ini. Dan perlu bersedia.....setiap masa.
Sekian, Sekira ada kesilapan maaf dipinta.....
Rujukan: Ibnu Qayyim (Kitab Attakrif)
No comments:
Post a Comment