Tuesday, November 16, 2010

Selamat Hari Raya Korban: masa untuk melakukan pengorbanan

Assalamualaikum warahmatullah wm

Alhamdullillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama di alam siber ini. Pada hari ini merupakan hari yang istimewa dimana kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Hari Raya Aidil Adha iaitu hari raya korban.  Mudah-mudahan kita sama-sama muhasabah kembali perjalanan kehidupan kita selama setahun yang berlalu. Bersyukurlah kepada Allah SWT sekiranya kita dapat menggunakan masa yang Allah berikan kepada kita itu untuk mendidik hati kita, mempertingkatkan kefahaman, keyakinan, keimanan dan amalan kita. Alhamdullillah....TETAPI sekiranya kita masih banyak melakukan perkara-perkara terlarang dan maksiat kepada Allah sepanjang tahun yang berlalu...maka kita perlulah bertaubat segera dan mengorbankan kehendak-kehendak nafsu yang tidak selari dengan kehendak Allah SWT.  Inilah masa untuk berkorban.

Saudara dan saudari yang di muliakan

Tiada satu pun kejayaan yang dapat di capai melainkan di sana perlunya satu pengorbanan.  Untuk berjaya di dunia yang sementara ini pun kita perlu berkorban...sebagai pelajar contohnya perlu mengorbankan masa rihat, tenaga dan wang ringgit untuk lulus dengan cemerlang..Bagi kita pekerja juga terpaksa mengorban masa bersama keluarga, memerah tenaga dan fikiran kita, masa lapang dan seronok kita untuk membuat kerja-kerja yang disuruh ketua kita..barulah kita mendapat nilai kerja yang baik...

Kini kita fikirlah sedalam-dalamnya sekiranya kita inginkan kejayaan di Akhirat dan mendapat ganjaran dari Allah SWT untuk kehidupan yang kekal sudah tentunya kita perlu berkorban yang sebaik mungkin  untuk kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Kita tidak rugi sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengorbankan kehendak diri kita demi memenuhi kehendak Allah SWT.

Walaubagaimana pun kita perlu ingat godaan nafsu dan syaitan, iblis yang sentiasa akan mengganggu usaha pengorbanan kita untuk menuju kepada Allah SWT.  Seerah Nabi Allah Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS di dalam perjalanan menuju ke kawasan bukit di Mina untuk melaksanakan suruhan Allah SWT iaitu penyembelihan Nabi Ismail AS. Iblis yang menyerupai manusia sebanyak tiga kali cuba menggagalkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Mereka membaling batu kepada iblis tersebut....Jadi kita juga tidak terlepas dari pelbagai godaan di dalam usaha-usaha kita untuk membuat kebajikan dan menuju kepada Allah SWT.  Tewaskan syaitan dengan iman kita.
Berusaha dan berdoalah bersungguh-sungguh....

Akhirnya sekali lagi, saya mengucapkan selamat menyambut hari raya korban dengan penuh penghayatan saperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Maaf Zahir Batin

Wasalam


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...