Assalamualaikumwarahmatullah...
Sekali lagi, marilah kita
sama-sama mengucapkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana masih lagi
dizinkan Nya untuk kita bersama di Majlis ilmu siber…Usrah siber…Bersyukur juga
kerana masih lagi kita dapat bangun, menghias diri, memandu seterusnya sampai
ke tempat yang kita tujui. Jadi bersyukurlah sebanyak-banyaknya di atas
pemberian nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas kita jika di bandingkan dengan
musibah yang Allah uji kepada kita..
Sesungguhnya ramai lagi
saudara kita yang tidak mendapat apa yang Allah beri kepada kita pada hari ini.
Ada yang sakit tak dapat bangun, ada yang matanya buta tak dapat menghias diri,
tak dapat memandu kenderaan, ada yang memandu tetapi terlibat di dalam
kemalangan…tak sampai ketempat yang di rancang dan pelbagai lagi….sekali lagi
syukur lah kepada Allah terhadap pemberian Nya kepada kita.
Saudara dan saudari
Marilah kita bersyukur
dengan berusaha bersungguh-sungguh mengerjakan apa yang Allah suruh kita
laksanakan sebagai hamba kepada Nya.
“Tidak Aku ciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku. [ Az-Zariyat :56]
Jadi kehidupan kita dimana sahaja kita berada perlu lah
menjurus kepada pengabdian hanya sanya kepada Allah. Kenali lah Allah dan
ikatkan hati kita dengan Allah. Didiklah
hati kita kerana apabila hati atau jiwa kita hanya berharap dan takut hanya
pada Allah kita tidak akan rasa ada kuasa makhluk yang lebih kuat yang dapat menguasai
kita. Kita akan sentiasa merasa Allah bersama dengan kita dimana saja kita
berada dan InsyaAllah kita akan rasa di situ ada kekuatan untuk menghadapi apa
saja pengaruh luar. Kesan daripada ini,
barulah kita mampu untuk menyerahkan kehidupan ini secara total kepada Allah. Rendahkan hati dan berdoalah
bersungguh-sungguh…..
Selawat dan Salam kepada junjungan Besar kita Nabi
Muhammad SAW, keluarga Baginda dan sahabat-sahabat…
Saudara dan saudari yang di
muliakan....
Pada kali ini saya masih hendak mengingatkan saya dan kita semua
tentang kaitan dengan usaha kita mencari rezeki atau melakukan sebarang pekerjaan di bumi
Allah ini iaitu tentang mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan sebaik-baiknya.
Sebagai seorang Islam yang
mengaku beriman kepada Allah perlulah kita berusaha supaya setiap pekerjaan
yang kita lakukan hanyasanya kerana
Allah dan meyakini Allah sentiasa melihat kita.
Apa sahaja yang kita lakukan mestilah di dalam rangka mencari keredoan
Allah. Kita sentiasa mencuba sesuatu dengan memberikan yang terbaik. Bermula kepada niat
kita kerana Allah, mulakan pekerjaan dengan Bismillah…Semasa melaksanakan
aktiviti sentiasa ingat dan patuh arahan Allah, memberi usaha yang terbaik, menjaga
akhlak diri, jaga mata, mulut dan telinga dan pelbagai lagi..akhirnya berserah
kepada Allah disamping berdoa mengharapakan pertolongan Allah. Lebih-lebih lagi sekiranya
pekerjaan yang kita lakukan itu melibatkan nyawa kehidupan saperti manusia ,
pokok, binatang, mikrob ..perlulah sangat-sangat memohon bantuan Allah…sebab kehidupan adalah
di bawah kuasa Allah.
Apabila kita dapat
melaksanakan adab-adab di atas, barulah menepati apa yang diajarkan kepada kita oleh
Rasulullah SAW, Sabda Baginda
” Sesungguhnya Allah
menyukai, apabila seseorang kamu mengerjakan suatu pekerjaan, supaya
dikerjakan dengan baik dan sempurna [Riwayat Baihaqi]”
Jadi, untuk mendapat
kesempurnaan sesuatu pekerjaan dan supaya memberikan hasil yang baik, diperlukan
kejujuran dan keikhlasan. Kedua sifat ini bertemu di dalam jiwa orang yang
beriman. Kita melaksanakan pekerjaan
bukan hanya untuk mendapatkan hasil atau untuk menyenangkan hati manusia tetapi
kita mengharapkan balasan yang baik dari Allah di Akhirat nanti..Allah
berfirman di dalam surah At Taubah 105.
“ Dan katakan! Bekerjalah
kamu! Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan
kamu. Dan nanti kamu akan di pulangkan kepada Yang Maha Tahu tentang hal yang
tersembunyi dan yang terang, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah
dikerjakan”
Saudara dan saudari
Sekali lagi saya mengajak
diri dan kita bersama-sama agar dapat mengaitkan pekerjaan di dunia sementara
ini dengan Akhirat yang kekal abadi dan menepati kehendak Allah..
Masa yang kita berikan untuk
aktiviti belajar atau mencari rezeki dapat
di gunakan dengan sebaik-baik nya dan cuba kita laksanakan dengan
sebaik-baiknya. Mudah-mudahan amalan dan usaha kita ini , Allah terima sebagai
amal solleh dan mendapat pahala disisi Allah…Beruntunglah mereka-mereka yang
dapat menukarkan masa, tenaga dan harta yang ada kepada bentuk pahala dan
mendapat balasan baik dari Allah dan rugilah mereka yang menggunakan masa,
tenaga dan harta yang Allah beri ini kejalan maksiat dan mendapat balasan siksa
dari Allah.
Sama-sama kita berdoa agar
Allah berikan kita hidayah dan kekuatan untuk melaksanakan sesuatu yang terbaik
untuk Allah dan dapat memberi sumbangan walau pun sedikit ini kepada Islam.
Kebenaran itu dari Allah,
kelemahan yang ada maaf jua dipinta.
Tangguh dengan tasbih kafarah
dan suratul Ars
Wassalam
Antara rujukan: Prof Dr Yusuf Al
Qardawi
No comments:
Post a Comment