Monday, November 8, 2010

Motivasi: Tiga persoalan asas di dalam kehidupan kita


Assalamualaikum wm

Alhamdullillah, sekali lagi marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah SWT  kerana dengan izin KurniaNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini.  Sabenarnya suasana sebegini amat  kita perlukan  sebagai sumber alternatif untuk mendidik hati-hati  kita. Hati inilah yang perlu kita bagi perhatian di dalam kehidupan ini. Hatilah yang mengawal akal dan fikiran kita. Hati lah ibarat raja. Hati juga lah yang memerintah seluruh anggota badan supaya bertindak sesudah mendapat arahan.

“ Hati adalah umpama raja dan anggota tubuh badan sebagai pengawalnya.  Apabial raja memerintah dengan baik, pengawalnya tentulah bertugas dengan baik.  Apabila  rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, sudah tentu pengawalnya pun begitu juga.” (Hadith)

Saudara dan saudari yang dimuliakan.

Sebagai seorang manusia kadang-kadang kita lupa tentang tugas hakiki kita di ciptakan Allah SWT di muka bumi ini.  Malah kita tidak sedar tentang asal usul kejadian kita.  Yang paling parah lagi kita tidak tahu kemana kita akan pergi selepas kehidupan yang singkat  ini. Kefahaman tentang perkara asas ini bukanlah kita tidak sedar secara tiorinya tetapi dalam amalan kita seharian baik sebagai pelajar, pekerja , bujang mau pun berkeluarga seolah-olah menunjukkan yang kita tidak memahami asal usul kita, tugas kita dan kemana kita akan pergi selepas kehidupan sementara ini. Pada kali ini saya ingin mendidik hati saya dan saudara saudari tentang tiga persoalan asas;

  1. Dari mana kita datang?
  2. Mengapa kita di datangkan atau mengapa kita di jadikan Allah SWT?
  3. Kemana kesudahan kita ?

Saudara dan saudari

Jawapan kepada perkara di atas bukanlah kita boleh fikirkan secara logik akal sahaja. Kita mesti merujuk kepada Al Quran, kalam Allah yang terkandung segala jawapan untuk kehidupan makhloknya....

Persoalan pertama: Dari mana kita datang?

Persoalan ini di jawab oleh Allah SWT : Allah berfirman di dalam surah Al Hajj ayat 5

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah SWT) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian dari air mani, dari air mani menjadi darah sampai menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka kami keluarkan kamu dari kandongan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi dewasa.  Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu memngetahui”

Dengan kita meneliti ayat di atas baru kita kita sedar tentang kejadian asal kita. Kita dicipta Allah dengan cara yang cukup rapi melalui perantaraan ayah dan ibu kita. Jadi kita perlu sangat-sangat bersyukur dengan Allah yang menjadikan kita dan juga ibu bapa kita.

Manusia dijadikan Allah SWT dengan bentuk yang amat baik. Allah memberikan kita ilmu pengetahuan dan kemahuan, dijadikan khalifah di bumi dan segala apa yang ada di langit dan di bumi semuanya bekerja untuk kepentingan manusia.

Firman Allah SWT
“Dia (Allah) yang menciptakan apa yang di bumi ini seluruhnya untuk kamu” (Al Baqarah : 56)

Jadi ingat bahawa Allah telah memberi terlalu banyak nikmat dan keistimewaan kepada kita. Bersyukurlah dan cara bersyukur yang terbaik ialah dengan memahami tugas asasi kita di dunia ini dengan melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangannya.....Ini membawa kita kepada persoalan yang seterusnya....

Saudara dan saudari

Persoalan kedua: Mengapakah kita didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah SWT?

Sekali lagi kita mestilah merujuk kepada Al quran untuk menjawab persoalan tentang perkara yang tersangat penting ini. Allah berfirman di dalam surah Az Zariyat ayat 56
“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku”

Kefahaman yang jelas tentang konsep ibadah amatlah kritikal. Di sini perlu kita faham bahawa pengertian ruang lingkup ibadah adalah luas dan sempurna  dan tidak terhad dengan fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja.

Tugas atau kewajipan kita di dunia yang sementara ini ialah untuk beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah SWT berdasarkan Firman Allah di atas.  Sebagai seorang hamba kita mesti patuh kepada tuannya. Jadi kita sebagai hamba  Allah kita mesti patuh tanpa memberi alasan logik akal kita untuk memperhambakan diri kita kepada Allah SWT. Untuk kita menepati kehendak tuntutan ibadah, maka setiap perbuatan manusia mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan mengikut syariat Allah.  Maka segala perbuatan yang diharuskan syariat saperti makan, minum, belajar, bekerja, beriadhah, berkahwin dan mendidik anak adalah ibadah apabila dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Apabila kita memahami konsep ibadah yang luas, maka semua tempat saperti rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang permainan, gedung perniagaan dan sebagainya adalah tempat untuk beribadah kepada Allah SWT. Bahkan seluruh bumi Allah SWT ini merupakan “masjid” tempat menunaikan ibadah kepada Nya. Ini lah kefahaman yang nak kita didik pada jiwa kita, anak kita, suami atau isteri kita , rakan kerja kita supaya apa yang kita buat tidak sia-sia dan di ber keberkatan oleh Allah SWT.  Kalau ada keberkatan dari Allah semua pekerjaan kita menjadi mudah dan sentiasa mendapat bimbingan dari Allah SWT. Kalau ada masalah pun kita dapat kaitkan semula  dengan Allah samada ia merupakan nikmat atau musibah dari Allah. InsyaAllah Allah akan campakkan ketenangan ke dalam hati kita.  Sama-sama lah berusaha kearah ini....

Saudara dan saudari

Ibadah meliputi apa sahaja yang di redhai oleh Allah SWT samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku. Akhlak yang baik juga ibadah.  Didiklah hati kita supaya kita dapat menjaga akhlak kita samada bersaorangan atau dengan manusia lain dirumah maupun di tempat kerja kita..

Juga tidak dikira ibadah kepada Allah  SWT bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid atau surau, tetapi apa yang keluar dari masjid dan menceburkan diri daalm bidang-bidang kehidupan lain, dia yang menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah SWT.

Oleh kerana itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah membetulkan kefahamannya dan kembali mengenali Islam dan ibadah kepada Allah SWT.  Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah SWT.

Cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah SWT di muka bumi untuk menjalankan tugas dan arahan Allah SWT semata-mata.  Memadailah dia berbuat demikian untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi ibadah kepada Allah SWT. 

Satelah kita memahami tugas kita di dunia ini maka ingatkan hati kita bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara atau persinggahan saja  di satu tempat di dalam menuju perjalanan yang jauh. Carilah bekalan amal yang soleh yang dapat membantu kita untuk kehidupan yang kekal dan janganlah  kita membawa beban keduniaan yang tidak membantu kita apabila kita bertemu dengan Allah SWT nanti.

 Kemana kita selepas ini.....

Saudara dan saudari

Persoalan Ketiga:  Kemanakah kesudahan kita?

Sekali lagi kita mesti merujuk kepada peringatan Allah SWT kepada kita dan di antara lain Allah SWT berfirman... di dalam surah An Najm ayat 42-44. 
  
”Sesungguhnya kepada Rab (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kembali.” 

Memang betullah manusia itu di lihat dari umurnya dalam kehidupan dunia ini, seolah-olah satu titik kecil dari perjalanan masa yang panjang.  Bagi mereka yang beriman memandang bahawa kematian bukan sebagai destinasi terakhir kehidupan manusia malah ia merupakan satu perhentian, untuk perpindahan dalam perjalanan yang sangat jauh, menuju satu tempat yang kekal abadi....Jadi sedarlah kita  tentang hakikat ini dan kita selalulah  berdoa semoga kita medapat tawaran Allah di Akhirat nanti sapertimana di dalam surah Az Zumar ayat 73 yang bermaksud

” Keselamatan untuk kamu! Kamu telah menjadi orang baik, maka masuklah kamu kedalam syurga untuk selama-lamanya.”  Jadi perlu lah kita menurut segala perintah Allah dengan melakukan nya dengan sebaik-mungkin..

Kita tidak mahu kesudahan kita di akhirat akibat kita hanya menurut hawa nafsu dan iblis semasa di dunia ini dan mendapat balasan dari Alalh SWT....saperti yang Allah gambarkan di dalam surah Shad : 85 yang bermaksud..

” Nanti Aku penuhi neraka jahanam dengan engkau (iblis) dan seluruh orang-orang yang mengikuti  engkau”


Saudara dan saudari

Marilah kita sama-sama memahami persoalan yang saya bincangkan di atas, semoga ia menjadi bahan didikan hati kita untuk melaksanakan perintah Allah SWT di dunia ini dengan penuh ilmu, kesedaran dan kefahaman yang betul....

Segala kebenaran dari Allah jua dan kesilapan dari diri kita yang lemah...maaf di pinta

Sudahi lah dengan Tasbih Kafarah dan Surah Al Ars


Wasalamualaikum wm



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...