Assalamu’alaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdullillah , sekali lagi kita mengucapkan kesyukuran
kepada Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu sekali lagi di
Usrah siber di penghujung 2010. Tanpa
kita sedari umur yang Allah berikan kepada kita setahun telah berlalu dan perlulah kita muhasabah diri
dan menentukan halatuju kita untuk tahun 2011 yang akan datang. Gunakan umur berbaki kita ini untuk kita tingkatkan iman
dan berusaha untuk menambah ilmu dan amal. Berdoalah supaya kita di berikan kekuatan oleh
Allah kerana doa inilah senjata yang ada
pada pada diri kita. Doa adalah ibadah. Selawat serta salam kepada junjungan
besar kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA….
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Pada kali ini saya ingin mengajak diri saya dan saudara untuk
muhasabah diri di sepanjang 2010 yang akan pergi meninggalkan kita,
InsyaAllah. Terlalu banyak pengalaman yang telah kita lalui dan tidak mungkin
kita boleh berbincang di kesempatan yang singkat ini. Banyak peristiwa pahit manis yang telah berlaku kepada kita. Untuk peristiwa manis dan gembira tidak lah
susah sangat untuk kita uruskan, cuma kita sambut atau raikannya di dalam
batas-batas yang diizinkan Allah di
dalam rangka kita hendak bersyukur kepada Allah SWT. Tetapi sekiranya peristiwa
pahit dan sedih berlaku kepada kita, di sini kita perlu sedikit panduan
bagaimana kita nak menguruskan jiwa kita ini berpandukan kepada saranan ulamak
supaya kehidupan kita kembali bersemangat untuk menghadapi masa hadapan yang
lebih mencabar ini.
Sebagai manusia biasa sudah semestinya ada kalanya kita di
timpa dengan pelbagai masalah samada masalah peribadi, rumahtangga, di tempat
kerja dan lain-lain lagi di sepanjang tahun 2010. Kita kenalah menerima hakikat
ini dan inilah antara tujuan kita di ciptakan
oleh Allah SWT di muka bumi ini……
sebagai medan ujian untuk mengenalpasti siapa yang beriman dan apabila teruji
dan ditimpa musibah dapat menghubungkan diri dengan Allah SWT. Renungilah Firman Allah di dalam surah Al
Ankabut ayat 2-3
“Apakah manusia mengira
bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: kami telah beriman, sedangkan
mereka tidak di uji terlebih dahulu?”Dan sesungguhnya Kami telah menguji
orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang
benar dan sesungguhnya Dia mengetahui oarng-orang yang dusta”
Saudara dan saudari
Di saat kita ditimpa kesulitan, sudah tentunya kita akan
merasakan tekanan, serangan perasaan dan kesedihan yang berlebihan. Di sini
kadang-kadang timbul keinginan untuk menyendiri dan jauh dari orang lain. Kita
rasakan dengan tidak bergaul dengan orang lain akan boleh mengembalikan
ketenangan kepada jiwa. Sabenarnya langkah ini akan mendekatkan diri kita dengan kegagalan. Oleh itu carilah sahabat atau kawan kita atau
saudara kita yang kita percaya untuk kita mendapat nasihat dan bantuan untuk
meringankan masalah yang kita hadapi .
Kita juga harus menggunakan waktu yang kita berada sekarang
ini dengan sebaik mungkin agar tidak ada lagi waktu luang untuk merasakan
kesedihan yang sedang membelit perasaan kita. Jangan kita biarkan waktu luang
itu menghayutkan kita di lautan
kesedihan dan penuhilah waktu terluang dengan aktiviti yang bermanafaat yang
boleh menutup segala ruang kesedihan di hati. Berzikirlah dan berdoalah
banyak-banyak agar Allah jauhi kita dari gangguan syaitan yang sentiasa
menganggu dan menambahlagi kesulitan yang kita hadapi.
Saudara dan saudari
Cuba fikirkan berapa banyak waktu yang telah kita habiskan
untuk mengenang dan meratapi masa atau peristiwa lalu. Ketahuilah orang yang berjaya
tidak akan berlebihan dalam mengingat apa yang pernah menimpanya di masa
lalu.Sebab menghabiskan waktu untuk
mengingatkan masa lalu hanya akan
membangkitkan kesedihan. Walau bagaimana
pun kita di bolehkan mengingati masa lalu untuk tujuan mengambil
pengajaran,hikmah, mengambil nilai-nilai positif yang ada dan meninggalkan
segala nilai negatif. Tanamkan di dalam
fikiran kita bahawa masa depan atau di tahun hadapan ini harus lebih baik dari
sekarang. Jangan habiskan waktu kita pada perkara-perkara yang tidak berguna.
Sebagai seorang muslim kita sepatutnya selalu tersenyum dan senyuman kita sabenarnya adalah nikmat
daripada Allah SWT. Senyuman yang kita berikan dapat memberikan kesejukan pada lawan
bicara dan orang yang kita temui.
Cubalah melatih diri untuk tersenyum dan mudah-mudahan dapat membantu kita
dalam menghilangkan kesedihan dan kekusutan kita dan memberikan keceriaan dan
kesihatan yang lebih baik pada tahun 2011 yang datang ini, InsyaAllah .
Saudara dan saudari
Marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadikan kehidupan
kita ini lebih bermafaat kepada diri, keluarga dan
masyarakat pada tahun 2011 yang akan datang ini. Sekiranya kita tertekan dengan masalah
pelajaran atau pekerjaan kita masa lalu dan semasa cubalah tenangkan dan
rehatkan fikiran dengan cara yang
dibolehkan oleh syarak. Bersihkan fikiran kita dan lapangkan dada kita sebelum
kita melaksanakan tugas harian kita.
Kitalah doktor yang terbaik untuk diri kita dan mengadulah terus kepada
Allah, pencipta kita, memohon pertolongan dengan ikhlas untuk kita mengatasi
masalah di dunia ini dengan melihat dari kacamata akhirat. Tingkatkan usaha dan
kemampuan kita dalam pelbagai bidang yang
dapat memberi sedikit sebanyak sumbangan kepada kejayaan Islam. Yakinlah Allah
akan membantu kita sekiranya kita membantu Agama Allah.
Firman Allah
“Allah kelak akan
memberi kelapangan sesudah kesempitan” [At Thalaq: 7]
Sekian, segala kebenaran itu datang dari Allah jua, kelemahan
adalah milik kita sebagai manusia biasa….maaf di pinta.
Tangguh dengan tasbih Kafarah dan Surah Al Asr
Wasalam
Rujukan: Dr Ibrahim Fiqhy
No comments:
Post a Comment