Friday, September 19, 2014

Peringatan untuk kita…berhati-hati di mana sahaja kita berada…namun yakinlah ajal maut di tangan Allah


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara Allah dan pelbagai nikmat yang lain…malah kita masih di berikan nyawa oleh Allah SWT. Bersyukurlah dan lahirkan tanda kesyukuran kita kepada Allah…Maka perlulah kita ingat bahawa semua apa yang ada pada kita ini adalah pinjaman belaka dan Allah akan ambil kembali pada bila-bila masa sahaja. Inilah hakikat kehidupan hatta nyawa yang Allah pinjamkan ini juga akan di ambil kembali dengan pelbagai sebab musabab saperti yang berlaku setiap hari dan dilaporkan oleh media massa. Petikan akhbar di bawah ini cukup sudah untuk menjadi bahan renungan dan didikan hati kita. 

Ingatlah Firman Allah SWT di dalam  Surah An-Nisa ayat ke 78…..
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (78)”
Semoga kita dapat mengambil pengajaran, InsyaAllah.

Alfatihah untuk saudara kita..Ajal rakam gambar
Shah Alam: Kegembiraan seorang penuntut wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, yang sedang merakam gambar bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di kawasan kampusnya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Fatin Farah Farradia Yusof, 20, maut selepas mengalami kecederaan dalaman.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri kuliah bersama dua lagi rakannya sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah wanita berusia 54 tahun.

Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dari bukit pada ketinggian kira-kira lima meter.

Mangsa adalah penuntut Diploma Sains Sukan dan Rekreasi tahun kedua dan berasal daripada Dungun, Terengganu.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, mangsa dikatakan sedang berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh kereta menyebabkan mangsa tercampak.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kerana mengalami pendarahan dalaman kira-kira jam 7.30 malam.

“Pensyarah yang merempuh mangsa dikatakan mengalami masalah kesihatan sebelum kejadian sehingga menyebabkan beliau gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.

“Pensyarah terbabit kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk mendapat pemantauan doktor,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR, semalam.

Jenazah Fatin akan dibawa ke kampung halamannya di Dungun untuk dikebumikan sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

ALFATIHAH…..
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Kita di akhir zaman, pelbagai peristiwa sesat berlaku……Masjid songsang rasmi hari ini


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wm

Peristiwa yang berlaku di bawah ini amat menyayat hati dan mencabar kita semua umat Islam..terlalu pedih untuk kita harungi pelbagai perkara akhir-akhir ini. Islam diserang dari semua sudut kerana musuh-musuh Islam siang malam berusaha menghancurkan kita.  Ya Allah bantulah kami yang lemah ini…
Bacalah.....
Cape Town: Seorang ahli akademik akan meneruskan rancangan merasmikan apa yang dipanggilnya ‘masjid terbuka’ hari ini.
Masjid berkenaan, menurut pengasasnya, Dr Taj Hargey, profesor di Pusat Pendidikan Islam Oxford di Britain, akan dibuka kepada semua orang termasuk yang bukan Islam dan gay.

Menurutnya, dia tetap meneruskan rancangan membuka masjid itu walaupun menerima ancaman daripada pelbagai pihak. Dalam kenyataannya kepada akhbar The Cape Times, Hargey berkata, sudah tiba masanya untuk melancarkan ‘revolusi agama’ sesuai dengan revolusi demokrasi di Afrika Selatan dan masjid itu akan dibuka kepada semua orang, termasuk gay untuk bersembahyang di situ.
Ceramah yang akan diadakan bersifat progresif, berilmu dan sama rata.

Wanita akan dibenarkan menjadi imam sementara golongan gay dan bukan Islam dialu-alukan datang.

“Ada yang ancam membunuh saya kerana masjid ini. Tetapi saya tak peduli,” katanya.

Masyarakat Islam Cape Town menyelar masjid itu dengan sebahagiannya menyifatkan Hargey sesat dan menyesatkan.

Majlis Islam Afrika Selatan (MJC) tidak mempunyai kuasa terhadap masjid itu. Timbalan Presidennya, Riad Fataar memberitahu wartawan, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap masjid berkenaan. Riad juga memberitahu, dia menganggapnya tempat ibadah, bukan masjid.
“Apa juga yang bertentangan dengan Islam, akan mendapat kecaman daripada MJC,” kata Riad.

Sementara itu, Hargey berkata, masjid yang terletak di Wynberg itu, tempat dia dilahirkan, akan dirasmikan jam 1 petang hari ini. Azan akan dilakukan dalam bahasa Inggeris dan Arab sementara khutbah dalam bahasa Inggeris keseluruhannya. Wanita pula dipelawa solat sama saf dengan lelaki. Menurut Hargey, dia akan membaca khutbah sulung dan topiknya berkait dengan kewujudan bersama Kristian dan Islam. Dia menjangka 300 orang akan hadir pada majlis pembukaan itu.

Umat Islam Afrika Selatan bercadang berarak ke masjid berkenaan untuk mendesaknya ditutup sama sekali. - Agensi

YA ALLAH BERILAH HIDAYAH DAN KEKUATAN IMAN KEPADA KAMI SEMUA....




Monday, July 7, 2014

Sedutan berita menyedihkan: Bakar isteri nikah seminggu......



Assalamualaikum wm
Saudara dan saudari yang dimuliakan

Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana masih di panjangkan umur di bulan  Ramadhan yang mulia ini..semoga sama-sama dapat kita gunakan ruang dan peluang untuk tingkatkan ibadah kita…
Berita di bawah ini…mengingatkan kita bahawa mendirikan rumah tangga bukan lah perkara yang mudah…apatah lagi bagi kita yang ingin mendirikan rumah tangga muslim..”Baitul muslim” sudah tentulah perlu persedian rapi dari segi ruh dan fizikal….pelbagai ujian rumah tangga akan datang dan kita tak sanggup melihat apa yang berlaku di bawah ini….. Semoga kita dapat mengambil pengajaran…

Kangar: “Abang! Tolong, tolong sayang.” Itu jeritan seorang isteri selepas disimbah dengan petrol sebelum dibakar suaminya sendiri akibat cemburu buta di Kampung Abi Padang Machang, di sini, semalam.
Akibat tindakan di luar batas kemanusiaan suaminya pada jam 9.30 pagi itu, tubuh mangsa terbakar 85 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Difahamkan, pasangan itu baru seminggu bernikah di negara jiran, namun mangsa yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-23 semalam dibakar suami kerana didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Jeritan sayu mangsa, Shafikah Ismail meminta tolong dari dalam bilik didengari nenek kepada suaminya yang ketika itu baru pulang dari pasar.

Nenek suspek yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa ke-23, semalam, tetapi dikejutkan dengan kejadian di luar jangkaan.

Menceritakan kembali kejadian, wanita itu berkata, sejurus mendengar jeritan mangsa dia meluru ke bilik berkenaan dan terkejut melihat badan mangsa sedang terbakar.

“Cucu saya (suspek) juga cuba memadamkan api dengan mengambil air dan mencurahkan ke badan isterinya, dia juga mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Johor dipercayai melecur hampir keseluruhan badan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

“Mereka berkenalan di sebuah kolej swasta di Perak sebelum bertunang setahun lalu dan mendirikan rumah tangga lebih awal dengan bernikah di Thailand, seminggu lalu.

“Saya tidak mengetahui punca kejadian itu kerana mereka berdua dilihat mesra dan tidak mempunyai masalah. Kejadian yang berlaku mengejutkan semua ahli keluarga termasuk ibu dan bapa cucu saya yang bekerja di Langkawi,” katanya.

Rujukan: Shamsul Munir Safini
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/07 

Friday, July 4, 2014

Bayi dibuang di tepi longkang....inikah harga sebuah kemajuan?


Assalamualaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Marilah kita sama-sama berdoa semoga peristiwa kejam tak berperikamanusiaan ini tidak menjadi perkara rutin di dalam masyarakat kita...

IPOH: Seorang bayi lelaki cukup sifat yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran rumah kedai baru di Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia , di sini pagi tadi.
Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru dibuang di tepi longkang di sebuah kawasan rumah kedai sebelum dijumpai oleh orang awam.
Bayi itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

HM

Tuesday, July 1, 2014

Marilah kita sama-sama mengenal ALLAH.......


Assalamualaikum wm

Saudara dan saudari yang di muliakan

Sekali lagi kita panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan limpah izin kurniaNya dapat kita bertemu lagi di alam siber ini..Mudahan sedikit nota tarbiyah mengenai Pencipta kita ini…akan meningkatkan lagi keimanan, keyakinan seterusnya amalan harian kita…Ingatlah ...Kita ada segala-galanya sekiranya Allah bersama dengan kita…


Marilah mengenal Allah……e

Allah SWT Pencipta dan Pemilik Alam Semesta
Allah Subhanahuwata’ala adalah Pencipta alam semesta (langit, bumi dan segala isinya).
Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui (Ar-Rum, 30:20-22)

Dialah Pemilik bagi alam ini. Firman-Nya:
Katakanlah: “Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi.” Katakanlah: “Kepunyaan Allah.” (Al-An’am, 6:12)
Seluruh alam dan isinya (bahkan alam akhirat juga) tertakluk kepada penguasaan Allah Subhanahuwata’ala dan berada dalam genggaman-Nya. Maka manusia berkewajipan mengagungkan-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya, pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya, Maha Suci Dia dan Maha Tinggi Dia daripada apa yang mereka persekutukan. (Az-Zumar, 39:67)

Allah Subhanahuwata’ala juga sebagai Pengurus bagi alam ini. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Allah, tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang ada di langit dan di bumi, tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.(Al-Baqarah, 2:255)

Selain daripada Allah Subhanahuwata’ala, sama sekali tidak mampu mencipta. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu, amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.(Al-Hajj, 22:73)

Manusia di bumi hanya mengguna, merubah dan mengeksploitasikan ciptaan-ciptaan Allah Subhanahuwata’ala, contohnya besi menjadi kereta, gandum menjadi tepung, tanah dan batuan menjadi kaca dan kayu menjadi perabut. Manusia dan jin sekali-kali tidak mampu menciptakan sesuatu yang asalnya tidak wujud kepada wujud. Ringkasnya selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tidak mampu mencipta kewujudan. Manusia hanya pengguna terhadap pelbagai kewujudan yang diciptakan oleh Allah Subhanahuwata’ala.
DALIL-DALIL YANG MEMBUKTIKAN KEWUJUDAN DAN PENCIPTAAN ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA
Dalil wahyu telah membuktikan kewujudan dan keEsaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:
Katakanlah: “Siapakah yang lebih kuat persaksiannya?” Katakanlah: “Allah”. Dia menjadi saksi antara aku dan kamu, dan Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengan dia aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran (kepadanya). “Apakah sesungguhnya kamu mengakui bahawa ada tuhan-tuhan (ilah-ilah) lain di samping Allah?” Katakanlah: “Aku tidak mengakui.” Katakanlah: “Sesungguhnya Dia adalah Ilah yang Maha Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu persekutukan (dengan Allah)”. (Al-An’am, 6:19)

Dalil aqli juga membuktikan kewujudan dan penciptaan-Nya. Firman-Nya:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (Ali-Imran, 3:190)

Dalil fitrah juga membuktikan kewujudan dan penciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Fitrah manusia yang diciptakan Allah Subhanahuwata’ala, sememangnya mengakui akan Pemilikan dan Penciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:
Dan (ingatlah), ketika Rabmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Rabmu?” mereka menjawab: “Betul (Engkau Rab kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lalai terhadap ini (Penciptaan dan Pemilikan Allah )” (Al-A’raf, 7:172)
Firman-Nya lagi:
Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri. Meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya. (Al-Qiyamah, 75:14-15)



HASIL DARIPADA MENGENALI ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA

Apabila seseorang hamba mengenali Allah Subhanahuwata’ala, maka hasil daripada pengenalannya itu akan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Rab-nya. Kesan-kesan yang diperolehi bagi dirinya ialah:
1) Kemerdekaan yang sebenar
Jiwanya hanya berharap (raja’) dan takut (khauf) kepada Allah Subhanahuwata’ala sehingga tidak ada lagi kuasa makhluk yang dapat menguasainya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-An’am, 6:82)

2) Ketenangan jiwa
Jiwanya yakin bahawa Allah-lah yang menjamin kehidupannya dan melindungi keselamatannya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra’d 13:28)

3) Keberatan daripada Allah Subhanahuwata’ala
Setiap amalnya sentiasa diredhai dan dicintai Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:
Kami tidaklah mengutus seseorang nabi pun kepada sesuatu negeri, (lalu penduduknya mendustakan nabi itu), melainkan kami timpakan kepada penduduknya kesempitan dan penderitaan supaya mereka tunduk dengan merendahkan diri. (Al-A’raf, 7:94)

4) Kehidupan yang baik
Allah membimbing langkah-langkah dalam hidupnya bagi mencapai kebaikan. Firman-Nya:
Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (An-Nahl 16:97)

5) Mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala
Ia mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata’ala di dunia dan akhirat. Firman-Nya:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.
 Balasan mereka di sisi Rab mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepadanya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rabnya. (Al-Bayyinah, 98:7-8)

6) Mendapat syurga
Di akhirat ia mendapat syurga kurniaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:
Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga), dan menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus (Islam).
 Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya, dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan, mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya. (Yunus, 10:25-26)

----------

Rujukan:

1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Al-Qur’an dan terjemahan.

Nota tarbiyah HALUAN……..

Tuesday, June 24, 2014

Ramadhan medan melahirkan peribadi bertaqwa, bebas dan merdeka...marilah kita menghayatinya..


Assalamualaikum wm
Saudara dan saudari yang dimuliakan

Di kesempatan ini saya ini memgucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada semua kenalan di alm siber ini...Mudah-mudahan latihan puasa yang kita akan lalui ini dapat membentuk peribadi kita supaya menjadi hamba yang sentiasa berusaha meningkatkan amal soleh kita. Nota di bawah ini merupakan ulangan  peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya persediaan kita untuk memasuki bulan tarbiyah (pendidikan) ini. Gagal jayanya kita semuanya bergantung kepada kesungguhan kita untuk menggunakan setiap ruang dan peluang yang diberikan Allah kepada kita di bulan yang penuh barakah ini, InsyaAllah.

Segala pujian bagi Allah s.w.t. yang telah memilih hambanya berada di madrasah yang cukup indah dan istimewa. Inilah dia Madrasah Ramadhan. Institusi tarbiyah dan peningkatan Iman. Firman Allah bermaksud:
“Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku” (Az-Zariyat:56)
Berdasarkan maksud firman Allah s.w.t. yang dinyatakan di atas ketahuilah kita bahawa tiada tujuan lain Allah s.w.t. menjadikan kita di muka bumi ini melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Begitu juga kita disediakan dengan bulan Ramadhan ini di mana diwajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan. Namun tidak sepatutnya kita melihat bulan Ramadhan ini secara terpencil dan merasakan ia sekadar medan untuk kita menjalankan ibadah puasa dan lain-lain sahaja. Namun ia dilakukan dalam rangka agar mampu memberi kesan yang berterusan pada bulan-bulan yang seterusnya hingga penghujung hayat kita.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah:183)
Ibadah puasa yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. dan galakan melakukan ibadah sunat yang lain ini sebenarnya adalah suatu latihan untuk melahirkan seorang insan yang lebih bertakwa. Di samping ibadah ini akan mampu melahirkan individu yang mampu memenuhi tuntutan rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. dalam masa yang sama ia menjadi suatu persiapan dan usaha untuk berbekal dengan sebaik-baik bekalan sepeti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“... bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa...” ( Az-Zariyat:197)
Apakah yang dimaksudkan denga takwa? Menurut Ali Bin Ali Talib, takwa adalah takut dari ancaman Allah s.w.t., beramal sesuai dengan al-Quran, bersyukur dengan nikmat yang banyak, ridha dengan yang sedikit dan bersiap-siap untuk masa yang panjang. Ini selaras dengan perintah Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang  telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr:18)
Dalam firman Allah s.w.t. yang lain pula:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” (Ali- Imran:102)
Individu yang bertakwa adalah insan yang mampu mewujudkan nilai Islam secara menyeluruh dalam dirinya. Pada dirinya terpadu nilai Islam yang akan melaksanakan segala tuntutan Islam, nilai Iman yang sempurna keislamannya iaitu membenarkan segala nilai Islam secara total dari sudut hati, fikiran dan fizikal dan nilai Ihsan yang mempunyai nilai iman yang sempurna iaitu menghambakan diri hanya kepada Allah s.w.t, merasa kehadiran dan pengawasan Allah s.w.t. serta kebersamaan dengan-Nya. Kemudian nilai-nilai Islam ini akan mampu diserapkan dalam keluarga, masyarakat dan umat keseluruhan.
Individu yang bertakwa adalah individu yang mempunyai tahap kematangan yang sempurna. Sifat takwa ini wujud dari amal ibadah yang disertai oleh hati, fikiran dan anggota badan dan menyerah diri secara menyeluruh kepada Allah s.w.t. Apabila benar ibadahnya maka tertingkatlah kualiti takwanya.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Wahai manusia sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelummu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah:21)
Individu yang bertakwa adalah individu yang bebas dan merdeka. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat bertuah kerana dapat merasai nikmat kemerdekaan yang telah dicapai sejak tanggal 31 Ogos tahun 1957 dan kini kita berpeluang meraikannya pada kali yang ke-52. Sebagai muslim, lagilah kita sangat bertuah kerana pada tahun ini kita berkesempatan merasai nikmat dan menghayati hakikat kemerdekaan pada bulan yang amat mulia ini iaitu bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan ini merupakan suatu peluang untuk kita benar-benar memahami dan merasai serta menyebarkan kefahaman berkaitan hakikat kemerdekaan yang sebenar iaitu bukan sekadar kita bebas dari penjajahan Negara asing sahaja, bahkan yang dikatakan merdeka ialah pembebasan dari perhambaan kepada hamba, makhluk dan dunia yang bersifat sementara.
Masyarakat yang bebas dan merdeka adalah masyarakat yang benar-benar menjadi hamba kepada Allah s.w.t. dan beramal untuk kepentingan akhirat dan bukannya nafsu yang meruntun jiwa untuk tunduk kepada kepentingan dunia dan harta benda. Seluruh fizikal, fikiran dan hatinya apabila melakukan sesuatu amal hanyalah menjurus semata-mata untuk mencapai redha Allah s.w.t. iaitu melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan larangan-Nya. Inilah yang dinamakan sebagai individu yang berjiwa bebas dan merdeka serta berjiwa besar dan berkepimpinan kerana mampu memimpin dirinya dan menahan diri dari desakan yang bersifat sementara dan mengarahkan  tujuan kepada matlamat yang lebih kekal.
Sekiranya hakikat ini benar-benar difahami, sudah tentu tiada yang terlepas pandang berkaitan hakikat kemerdekaan ini. Ada yang memahami hakikat merdeka ini sebagai suatu pembebasan yang tiada kena-mengena dengan nilai Islam yang dikehendaki Allah s.w.t. Merdeka difahami sebagai bebas dan boleh berbuat apa sahaja. Pada malam kemerdekaanlah ada sesetengah golongan remaja dan pemuda-pemudi yang mengambil kesempatan berkumpul dan keluar berpasang-pasangan lelaki perempuan tanpa mahram dengan niat untuk meraikan kemerdekaan yang mereka fahami. Apa yang menyedihkan, pada malam itu juga ada yang telah tewas dek tawanan nafsu dan syaitan hingga ada para pemudi yang sanggup menggadaikan maruah kewanitaannya, para pemuda sanggup mempertaruh nyawa menonjolkan kehebatan di jalan raya, minuman syaitan berbotol-botol dihabiskan dan banyak lagi, nauzubillahiminzalik. Apakah generasi begini yang akan terus memimpin dunia, mengekalkan rahmat kemerdekaan Negara, dan merealisasikan kemerdekaan hakiki?
Menurut Ibnu Taimiyah:
“Orang yang terpenjara adalah orang yang hatinya dihalangi dari Tuhannya, sedangkan orang yang ditawan adalah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya”
 Oleh kerana itulah seharusnya kita mengambil kesempatan di bulan Ramahan ini untuk menghayati dan menyampaikan hakikat kemerdekaan yang sebenar kepada seluruh masyarakat khususnya umat Islam. Mari kita mengajak manusia agar kembali kepada fitrah dan hidup dalam acuan Islam sebenar secara menyeluruh.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“... iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”(Ar-Rum:30)
Seharusnya kita juga mengambil peluang pada bulan Ramadan ini untuk mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kepada kemungkaran. Di samping kita berpuasa, bertarawikh, bertadarus dan lain-lain lagi, amalan mengimarahkan masjid dengan program tazkiah an-nafs dan suasana peringatan dimana jua berada perlu dipertingkatkan.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Dan siapakah lebih baik perkataannya daripada yang mengajak kepada Allah dan beramal soleh dan berkata sesungguhnya aku adalah antara orang yang merendah diri.” (Fussilat: 33)
Ibadat puasa itu sendiri merupakan sumber penting motivasi Ramadan dalam membina potensi, semangat dan kekuatan kepada Muslim. Sekiranya puasa itu  dilaksanakan dengan baik proses pembebasan jiwa daripada kongkongan nafsu yang bersifat keduniaan dan kebendaan mudah-mudahan dapat dicapai. Proses ini seterusnya akan melahirkan individu yang bergelar hamba Allah s.w.t. dan bukannya hamba kepada nafsu. Oleh kerana itulah ulamak menyifatkan Ramadhan sebagai satu madrasah iaitu suatu institusi yang mana berperanan dan mampu melahirkan graduan yang bertakwa apabila individu itu benar-benar melalui sistem kurikulum dan ko-kurikulum selama berada di madrasah ini. Menyedari bahawa madrasah Ramadhan ini sebenarnya menyediakan sistem kurikulum dan ko-kurikulum yang bersepadu dan sangat berkesan sekali jika berjaya dilalui dan dipatuhi, maka perlulah kita menelitinya dan saling berusaha bagi memperlengkapkan lagi kesempurnaan amal ibadah kita. Mari kita melihat perinciannya di bawah ini.
1. Perancangan (Wahtisaaban) dan persiapan
Persediaan iman merupakan pra-syarat bagi melayakkan individu muslim menerima amanah Ramadhan ini. Ini penting bagi menentukan matlamat, strategi, pelan tindakan, kawalan dan terus menerus untuk memastikan berlakunya peningkatan berbanding dengan Ramadhan yang lalu. Kita seharusnya mengulang kembali pelajaran yang berkaitan dengan puasa dan berdoa agar diberi peluang, kelapangan dan kesempatan mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna dan hati yang ikhlas. Berusaha menguatkan kehendak dan cita-cita bagi melaksanakan ibadah puasa ini sebagai suatu latihan dan jihad. Ini supaya dapat menghindarkan diri kita sebagaimana hadis Nabi s.a.w. bermaksud:
Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw bersabda: “Berapa banyaknya orang yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah lapar dahaga, dan berapa banyaknya orang yang bangun beribadah, dan yang diterimanya tiada lebih dari keletihan sahaja.” (Diriwayat oleh An-Nasai’e dan ibnu Majah)
2. Puasa
Takrif puasa (shiam) pada ulamak syariah ialah menahan diri dari makan, minum dan bersetubuh, mulai dari fajar hingga maghrib kerana menghadap akan Allah dan dan bersiap untuk Allah dan membuat persiapan untuk bertakwa kepada-Nya dengan jalan memperhatikan Allah dan mendidik kehendak.
Puasa merupakan medan untuk membulatkan keazaman, kesabaran dan ketabahan hati kepada Allah s.w.t. Ia menjadi salah satu rukun Islam yang kelima dan pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda.  Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku” Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
Menurut Professor Muhamad Qutb dalam (Falsafah Ibadah Dalam Islam), puasa ini difardhukan pada tahun diwajibkan berjihad kepada kaum muslimin iaitu dalam perang badar. Puasa ini merupakan latihan ketenteraan yang memerlukan ketabahan dalam menanggung kesusahan dan menghadapi kesulitan. Latihan ini juga terlibat secara menyeluruh ke atas setiap muslim lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua.
Menurut Profesor Yusof Al-Qardhawi pula dalam (Ibadah Dalam Islam), puasa merupakan amalan positif kepada jiwa dan  pencegahan diri terhadap runtunan nafsu untuk taqarrub (dekat) kepada Allah s.w.t. Amalan ini mampu menguatkan jiwa yang mana kejadian manusia terdiri daripada ruh tinggi (latifah rabbaniyah) dan jasad rendah (tanah), seperti rumah dan penghuninya, kenderaan dan pemandunya. Ia membebaskan diri dari dominasi gharizah (desakan naluri) dan mengalahkan kerakusan nafsu.
3. Al-Quran
Al-Quran merupakan jalan pembersihan, hikmah, hidayah, penawar dan menghidupkan hati. Seharusnya kita memperuntukan masa harian kita dengan membaca, meneliti, menghafal dan mentadabburi al-Quran.
Daripada Utsman ibn Affan r.a. berkata,  Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran lalu mengajarnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah s.w.t. (Al-Quran) maka baginya pahala satu hasanah (satu kebajikan) dan satu hasanah itu berganda sepuluh. Tidak aku katakan Alif-Lam-Mim adalah satu huruf, melainkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat Tirmizi dari Abdullah bin Mas’ud)
4. Solat Terawih
Solat Terawih hukumnya sunat mu’akadah dan boleh dikerjakan sendiri atau berjemaah. Solat ini merupakan syiar islam dan seharusnya kita bersemangat dalam menunaikannya. Ibadah ini merupakan suatu peluang bagi menjalin interaksi dengan Allah s.w.t. dan menikmati kitabullah.
5. Muhasabah dan Mujahadah
Muhasabah: Menghisab dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t. Adakah kita benar-benar melaksanakan kewajipan, suruhan dan meninggalkan larangan Allah s.w.t. Menghisab dan memperbaiki hubungan kita dengan makhluk di samping menjaga hak dan kewajipan ke atas mereka. Begitu juga yang berhubung dengan tugasan rasmi.
Mujahadah: Perjuangan memerangi kerakusan nafsu. Apabila kita menang dalam pertarungan ini, ia menjadi bekalan kekuatan untuk menghindari yang haram selepas Ramadhan. Hasil mujahadah ini ialah kita akan mampu melaksanakan tuntutan Ramadhan dengan kelainan, perubahan dan peningkatan. Seterusnya mudah-mudahan keluar dari Madrasah Ramadhan ini seperti insan baru.
6. Menanti-nanti Lailatul Qadar
Lailatul qadar adalah malam yang penuh keberkatan yang mempunyai keistimewaan malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Rabnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”(Al-Qadr: 1-5).

Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a., yang bercerita, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir. Jika salah seorang di antara kalian tidak mampu atau lemah, maka hendaklah dia tidak ketinggalan untuk mengejar tujuh malam yang tersisa.” (HR Bukhari dan Muslim).

7. Taubat
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.” (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan menyerulah Malaikat katanya: “Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka dari memasukinya'. Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan tersebut).” (Tirmizi dan al-Nasa'i)
Dalam sabda Baginda s.a.w. yang lain pula bermaksud: “Wahai manusia, Bertaubatlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya Aku bertaubat kepadanya setiap hari 100 kali.” (Riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t. bermaksud:“Dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ” (an-Nisa’:106)

8.  Sedeqah – Zakat, infaq, derma
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra. ia berkata : “Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang shaum dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan keji dan untuk memberi makan orang miskin. Barang siapa yang mengeluarkannya sebelum shalat, maka ia berarti zakat yang diterima dan barang siapa yang mengeluarkannya sesudah shalat 'ied, maka itu bererti shadaqah seperti shadaqah biasa (bukan zakat fitrah).” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Daaruquthni).
Di antara hikmah disyariatkan zakat fitrah adalah:
1. Zakat fitrah merupakan zakat diri, di mana Allah s.w.t. memberikan umur panjang sehingga dapat merasai akan nikmat-Nya.
2. Membantu umat Islam, baik kaya mahupun miskin sehingga sama-sama dapat menikmati konsentrasi penuh untuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan merasai anugerah nikmat-Nya.
3. Tanda syukur orang yang berpuasa kepada Allah s.w.t. atas nikmat ibadah puasa.
9. Sabar
Hadis nabi yang bermaksud: “Tiap sesuatu ada zakatnya, zakatnya badan adalah puasa, puasa separuh daripada kesabaran.” (Hadis Riwayat  Ibnu Hibban)
Latihan puasa ini mampu melemahkan kekuatan syahwat dan kemarahan. Dalam masa yang sama, puasa mendidik kesabaran dan bagaimana mengendalikan nafsu di samping sanggup menanggung derita lapar, sabar dalam ketaatan, sabar untuk menjauhi maksiat dan sabar menghadapi kesusahan.
Hadis Nabi s.a.w. bermaksud:“Puasa bulan sabar (Ramadhan) dan tiga hari pada setiap bulan, dapat menghidarkan keras hati.” (Hadis Riwayat Ahmad)
10. Doa dan Munajat
Firman Allah bermaksud: “Berdoalah kpd Tuhanmu dengan merendah diri dan suara perlahan.” (Al-A’raf:55)
Bulan ini merupakan bulan yang mustajab untuk berdoa. Terutamnya menjelang fajar, selepas qiamullail dan tahajjud. Keadaan yang sepi dan hening memberi peluang untuk kita  bertadarru’ (merayu-rayu kepada Allah s.w.t.) yang mana tidak didengar oleh makhluk lain. Kita disunnahkan untuk membaca doa sekaligus membanyakkannya.
Telah diriwayatkan dari Aisyah r.a., dia bercerita: “Pernah kutanyakan: Wahai Rasulullah, bagaimana pandanganmu jika aku mendapatkan Lailatur Qadar, apa yang mesti aku ucapkan? Beliau bersabda: Bacalah, Allaahumma innaka ‘afuwun, tuhibbul 'afwa fa'fu 'annii (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, yang mencintai maaf. Karena itu, berilah maaf kepadaku)”. (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah).
Setelah melalui sistem kurikulum dan ko-kurikulum selama berada di madrasah Ramadhan yang penuh berkah, Allah menyediakan bulan Syawal dan dinamakan Hari Raya atau ‘Eidulfitri. Diriwayatkan dari Jubair Ibnu Nufair, bahawa:
“Sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berjumpa satu sama lain di hari raya, mereka akan mengucapkan “Taqabbalallahi minna waminkum (semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian.” (menurut Ibnu Hajar dalam Fathul Bari-Syarah hadis Bukhari –hadis ini Hasan)
Hari raya atau ‘Eidulfitri merupakan saat-saat gembira bagi kaum muslimin. Khususnya mereka yang Berjaya melalui madrasah Ramadhan beserta dengan kurikulum dan ko-kurikulum yang telah disediakan. Bulan ini adalah bulan yang Allah s.w.t. sediakan sebagai hadiah untuk meraikan keperluan manusia secara fitrahnya. Setelah umat Islam dilatih agar tertingkat darjat ketakwaan kepada Allah s.w.t. maka seharusnya hari raya ini diraikan dengan penuh ketakwaan juga. Meniti segala sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam meraikan bulan yang indah ini dan menjaga batasan dan kehendak Allah s.w.t. dalam setiap tindakan dan perbuatan.
Di samping menunaikan kewajipan dan tuntutan yang lain seperti zakat, solat hari raya, bermaafan, ziarah-menziarahi, hadiah-menghadiahi dalam rangka membina silaturahim, seharusnya amalan ini tidak dirasakan seperti aktiviti tahunan yang rutin berlaku pada setiap kali tibanya bulan Syawal. Amalan yang baik seharusnya diteruskan dalam rangka ketaatan dan jiwa yang lahir dari bulan Ramadhan sebagai insan yang bertakwa ini seharusnya mampu membina benteng dari perkara yang membawa kemaksiatan.
Jiwa individu yang layak berhari raya adalah individu yang merdeka. Individu yang bebas dari kongkongan nafsu dan hanya menjadi hamba kepada Maha Pencipta. Individu inilah seterusnya yang dikatakan layak untuk menjadi seorang pemimpin. Mampu memimpin diri dan sifat takwa yang ada pada dirinya mampu menerapkan nilai Islam, Iman dan Ihsan kepada orang lain iaitu keluarga, masyarakat dan umat. Ini kerana individu inilah juga yang mampu menahan diri dari ujian, cabaran, kesusahan dalam mendidik kesabaran demi mengharapkan keredhaan, kejayaan dan kebahagiaan yang panjang.
Diadalam buku Hambatan-Hambatan Di Jalan Dakwah, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid memetik kata-kata Abdul Wahhab Azzam berbunyi:
“Seorang merdeka membelenggu diri dengan senang hati. Dia tidak rela terbelenggu kecuali oleh belenggunyang satu ini. Sedangkan seorang hamba, rela dengan semua belenggu. Kecuali belenggu hawa nafsu terhadap dirinya.”


Rujukan: laman web HALUAN


Friday, May 16, 2014

Peringatan semula bagi mereka yang terlalai: awasi penipuan siber...


Assalamualaikum wm
Alhamdulillah sedikit peringatan bagi kita yang sering terlupa..peristiwa di bawah ini sekali lagi mempaparkan bahawa manusia mudah sangat  di tipu oleh manusia penipu yang menggunakan kaedah penipuan yang sama. Mengapakah kita ingin sangat untuk mendapatkan wang cara mudah…? Mana ada manusia di dunia ini yang mahu memberikan wang sebegitu banyak dengan begitu cepat…pun begitu manusia terutama kaum wanita yang mudah tergoda…berjaga-jaga setiap tawaran daripada orang yang tidak dikenali..terutama lelaki “buaya” yang sentiasa membuka mulut untuk menangkap mangsa…semuanya boleh di makan oleh manusia yang berperangai buaya ini….
Bagi mereka yang berugama Islam…kita sentiasa diajar bagaimana untuk berhati-hati di dalam setiap aktiviti kita…mohon kepada Allah  sekiranya kita buntu kerana Allah sentiasa bersama kita…


‘Rezeki terpijak’ bertukar malang
Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Impian seorang wanita untuk mendapat rezeki terpijak melalui perkenalan dengan seorang lelaki warga Kanada di Facebook berakhir dengan kerugian apabila dia terpedaya dengan sindiket penipuan didalangi warga Afrika.
Mangsa yang berusia 20-an dikatakan terpedaya selepas lelaki yang dikenali selama sebulan itu mendakwa mahu memberikan wang simpanannya iaitu £10,000 (RM50,000) kepada mangsa sebagai hadiah.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, suspek juga meminta nombor akaun serta telefon mangsa dan berjanji membuat pemindahan wang dalam tempoh dua hari.
“Selepas dua hari, mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai perunding lalu meminta dia memasukkan wang RM1,350 sebagai yuran pelepasan urusan pemindahan wang ke dalam akaun mangsa.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan jumlah wang yang diminta ke dalam akaun tetapi menyedari ditipu selepas tidak pernah menerima wang yang dijanjikan menyebabkan dia membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, susulan laporan itu, polis Bahagian Operasi dan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melakukan operasi bagi mengesan suspek.
“Dalam operasi itu, kami ke sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras pada jam 1 tengah hari semalam (kelmarin) dan menahan lima lelaki warga Nigeria berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Hasil pemeriksaan, semua suspek adalah pelajar di beberapa kolej swasta sekitar Lembah Klang.

Kami merampas enam komputer riba dan sembilan telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...