Wednesday, May 25, 2011

Marilah kita berfikir dan bersyukur di atas segala pemberian Allah SWT ke atas kita…


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT  kerana dengan izin kurniaNya  jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan dari masa kesemasa dapat kita tingkatkan hubungan kita dengan pencipta kita …Allah SWT yang Maha mengetahui tentang kejadian kita, jasmani kita, ruh kita dan juga fikiran kita.  Kita tidak akan lemah sekiranya  kita mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah yang Maha Kuasa …Berusaha dan berdoalah..

Saudara dan saudari

Pada kali ini marilah kita sama-sama memikirkan tentang nikmat yang terlalu banyak yang Allah telah berikan kepada kita. Dengan hanya memerhatikan tubuh badan kita dari hujung kaki ke hujung rambut sudah cukup untuk kita bersyukur tentang nikmat yang kurniakan ini. Memang tepatlah sapertimana Firman Allah SWT  yang bermaksud…..
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya” [HR Ibrahim: 34]

Kesihatan badan kita, keamanan,  suasana kehidupan sekeliling, suasana aman di tempat kerja kita, makanan, pakaian, udara, kawan yang baik, keluarga dan sebagainya, semuanya itu adalah nikmat Allah SWT kepada kita.  Allah SWT berfirman yang bermaksud…..
“Dan menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir dan batin” [ Lukman:20]

Kita memiliki dua mata , satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki, serta  banyak lagi nikmat Allah SWT yang kita perolehi.  Itu antara nikmat pancaindera yang Allah SWT kurniakan untuk memudahkan kita menjalani kehidupan ini. Semua pemberiaan ini adalah nikmat yang kita tak dapat nafikan…
Firman Allah SWT yang bermaksud…
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”[Ar Rahman:13]

Saudara dan saudari

Fikirkan juga bahawa Allah mudahkan  kita berjalan dengan kemudahan kaki yang Allah berikan kepada kita.  Bayangkan sekiranya lutut kita sakit atau lumpuh….barulah kita dapat rasai nikmat kaki yang sempurna…tetapi apa yang berlaku kita tidak gunakan untuk menambah kebaikan kita saperti berjalan menolong orang, berjalan pergi ke mesjid, berjalan ke majlis ilmu, jalan pergi menziarahi sahabat dan taulan…..sama-sama lah kita fikirkan…

Fikirkan juga nikmat tidur dan makan yang Allah SWT berikan kepada kita…lihatlah disekeliling kita…terdapat ramai manusia tidak dapat makan kerana sakit terpaksa menggunakan tiub dan sebagainya….ramai yang tak dapat tidur kerana kesakitan ….syukurlah dan hargailah nikmat Allah dengan kita tambahkan amal ibadah kita.

Renungilah pula nikmat pendengaran yang sihat, penglihatan yang normal dan terhindar dari kecacatan. Juga  nikmat kulit dan juga akal yang waras yang dikurniakan Allah kepada kita. Ramai manusia di luar sana yang ditempatkan di hospital pesakit mental dan sebagainya. Maka gunakan akal yang waras ini untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Sungguh bernilai nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Sekarang kita persoalkan diri kita…adakah kita mahu sebelah mata kita diganti dengan emas sebesar gunung? Adakah kita sanggup mengantikan telinga yang sempurna ini dengan gunung perak? Apakah kita juga sanggup untuk lidah kita diganti dengan istana megah dan kemudian dapat kita tinggal di dalam nya tanpa boleh bercakap! Banyak lagi yang kita boleh kita catitkan tetapi kita sengaja tidak memikirkan  apa yang kita miliki yang  mempunyai nikmat dan nilai yang cukup tinggi dan besar yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Biasanya, kita selalu memikirkan  apa yang kita tidak miliki. 

Saudara dan saudari

Oleh kerana nikmat Allah SWT yang tidak ternilai yang Allah berikan kepada kita, maka marilah kita menjadi manusia yang selalu bersyukur di dalam kehidupan ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud….
“Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan” [Az-Dzariyat:21]

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud…
Siapa yang bangun dari tempat tidurnya dalam keadaan tenang, tubuhnya sihat dan kuat serta memiliki kekuatan untuk melakukan aktiviti kehidupan dalam hari itu, maka ia telah menggengam kehidupan dunia” [HR Tarmizi]
Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud
“Redalah dengan keputusan Allah maka anda akan menjadi orang yang paling kaya” [HR Tarmizi]

Saudara dan saudari

Sebagai tanda kesyukuran, marilah kita berusaha untuk mengerahkan segala pemberian Allah kepada kita  kepada jalan yang di redhai dan di cintaiNya, sesuai dengan apa yang disyariatkan bukan dengan cara mengabaikan perintahNya.  Tinggalkan laranganNya dan jalankan kewajiban dan yang disunahkan Nya dengan penuh syukur kepadaNya.  Inilah puncak perjalanan dalam agama Allah SWT.

Sekian, semoga kita sama-sama dapat mengambil peringatan.
Maaf di pinta.
Wasalam
Rujukan Dr Ibrahim Fiqhy dan Sheikh Said Hawa

Thursday, May 19, 2011

Hadith Qudsi: Rahmat Allah SWT terhadap kita…


Assalamualaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang dimuliakan….

Sedikit renungan…..

“Apabila seorang hambaKu merancang untuk melaksanakan satu kejahatan, janganlah kamu tuliskan dosa atasnya. Tetapi apabila dilaksanakan, barulah tuliskan satu kejahatan.  Dan apabila ia merancang melakukan satu kebajikan, lalu tidak dilaksanakannya, tulislah satu kebajikan.  Tetapi jika dilaksanakan, maka tulislah sepuluh kebajikan”
[HR Bukhari dan Muslim dari Abu Darda’]

Rasullullah SAW  juga bersabda

“Malaikat berkata: “ Ya Tuhanku, ada seorang hambaMu yang hendak melakukan maksiat.” (pada hal Allah Maha melihat).  Firman Allah:” perhatikanlah dirinya. Jika ia telah melakukannya, tulislah baginya kejahatan sapertinya.  Jika tidak melakukannya serta meninggalkannya tulislah baginya satu kebajikan.  Dia hanya meninggalkan (rancangan itu) kerana Aku” [HR Ahmad dan Muslim]

Semoga kita dapat mengambil  pengajaran mengenai belas kasihan dan rahmat Allah SWT terhadap kita  ini..
Wasalam
Rujukan Hadith Qudsi

Monday, May 16, 2011

Marilah kita iringi keburukan kita dengan kebaikan


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran kita yang tak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan limpah izin kurnianya dapat kita bertermu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan  kemudahan siber pemberian Allah ini dapat kita gunakan untuk terus mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.  Mudah-mudahan Allah jauhkan kita dari  menggunakan kemudahan ini untuk lalai dan melakukan maksiat terhadap Allah SWT. Sempena Hari GURU di Malaysia ini, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru kerana pengorbanan  mereka yang mendidik kita sehinggalah kita keperingkat yang kita berada sekarang ini. Semoga niat ikhlas para guru di dalam mendidik masyarakat Allah terima sebagai satu ibadah….

Saudara dan saudari

Setiap daripada kita  pasti mempunyai masa lalu , baik yang menyenangkan mau pun yang menyedihkan. Semua yang berlaku telah ditakdirkan Allah ke atas kita dan penyusunan Allah sekali pun pahit dan kita tidak sukai bukan diluar pengetahuan Allah. Allah.  Allah Maha Sempurna dan tidak pernah tersilap.  Semuanya penuh dengan hikmah dan ada kebaikan dan juga pengajaran untuk kehidupan manusia.

 Terkadang sebagai manusia biasa kita terasa ingin ke masa lalu agar kita tidak ingin berbuat salah atau sesuatu yang menyedihkan. Tetapi ini merupakan perkara yang mustahil. Kita boleh saja menyesali kesalahan ynag berlaku pada masa lalu, asalkan tidak berlebihan hingga merosakkan jiwa dan jasad kita. Sabenarnya Allah sangat sayang kepada kita dan masih memberikan kita peluang untuk meneruskan kehidupan kita.   Untuk kita menyesali  kesalahan yang telah kita lakukan, kita memohon ampun kepada Allah, meningkatkan amal soleh, memperbanyakan melakukan kebaikan dan menjalinkan silaturahim dengan orang lain.  Allah berfirman yang bermaksud …

Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan –perbuatan yang buruk….[Hud: 114]

Begitulah pentingnya berbuat baik dan sentiasa berusaha berbuat baik untuk menghapuskan dosa yang kita telah lakukan. Rasulullah SAW menjelaskan kembali di dalam sabda Baginda yang bermaksud………

“Bertaqwalah kamu di mana pun kamu berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan  menghapuskannya. Selain itu jalinlah sailatul rahim dengan orang lain” [ HR Ahmad, Tarmizi, Baihaqi, Hakim dan Ibnu Asakir]

Ayat dan hadith di atas menjelaskan kepada kita bahawa cara yang paling baik untuk memperbaiki kesalahan yang telah  kita lakukan.  Sehingga kesalahan tersebut boleh berganti dengan kebaikan yang melimpah.  Inilah bukti kekuasan dan penyayang  Allah yang menghapuskan  kesalahan hambanya.

Saudara dan saudari

Oleh itu marilah sama-sama kita mendidik hati kita supaya selalu ingin berusaha menambah ilmu dan amal kebaikan kita.  Kabaikan akan sentiasa membawa ketenangan kepada jiwa kita…Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud…

“Kabaikan (yang halal) itu ialah suatu yang tetap oleh diri dan tenang oleh jiwa dalam menghadapinya, dan dosa itu ialah suatu yang tidak tetap oleh diri dan tidak tenang oleh hati, sekalipun orang telah berfatwa kepada engkau” [HR Ahmad]

Jadikan juga hati kita sebagai penunjuk kepada sesuatu pekerjaan yang akan kita lakukan. Renungilah Wasiat Nabi Adam AS kepada anak-anaknya. Antaranya ialah
1.  Jika kamu hendak berbuat sesuatu tetapi hati kamu gelisah kerananya, maka janganlah kamu perbuat. Kerana aku sewaktu aku  memakan buah kayu, hatiku telah tergoncang dan gelisah.
2.  Jika kamu hendak mengerjakan sesuatu, lihatlah kesudahanya. Kerana kalau aku lihat dan fikir tentang akibat daripada makan buah tersebut, tentu tidak aku makan.
3.  Jika kamu hendak melakukan sesuatu perkara, maka berundinglah dengan orang-orang yang tertentu.  Kerana kalau sekiranya aku berunding dengan malaikat, tentu diberitahu kepada ku supaya jangan memakan buah terlarang itu.
 [Riwayat di dalam kitab Syarah Al arba’in al Nawawiyah]

Sekian, semoga kita dapat mengambil pengajaran dan amalkan bersama-sama di dalam kehidupan kita yang sementara ini…

Wasalam
Rujukan: Sebahagian penulisan Mahmudin dan Abu Qamar

Sunday, May 8, 2011

Wahai manusia: sedarilah bahawa Malaikat sentiasa mencatat amalan kita...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran kita yang tak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Bersyukurlah kerana Allah masih meminjamkan nyawa kepada kita untuk kita terus hidup dan dapat melaksanakan kehidupan harian kita. Mudah-mudahan kita dapat memilih jalan taqwa untuk melayari kehidupan kita yang penuh dengan cabaran ini.

Saudara dan saudari

Untuk kita berusaha mendidik hati kita supaya terus terikat dengan pengawasan Allah ialah kita kena merasai dan meyakini kehadiran Malaikat dalam mencatat segala amal baik dan buruk kita. Maka pada kali ini saya ingin mengajak saya dan saudara untuk merasai hakikat keyakinan ini dan ini adalah sebahagian daripada rukum iman yang wajib kita yakini.

Kita perlu yakini bahawa Allah SWT telah mengutuskan dua malaikat untuk mencatat semua amalan manusia, baik amal buruk mahu pun amalan baik. Amalan buruk kita akan di catit oleh Malaikat Raqib yang sentiasa berada disebelah kiri kita manakala amalan baik kita pula akan dicatit oleh Malaikat 'Atiq yang berada disebelah kanan kita. Yakinilah bahawa tidak ada satu amal pun yang boleh disenyembunyikan dari Malaikat. Segala tingkahlaku kita sentiasa diawasi dan dicatat setiap saat. Firman Allah yang bermaksud…

"Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada padanya Malaikat pengawas  yang selalu hadir" [Qaf: 18]
Allah berfirman lagi yang bermaksud…

"Dan sesungguhnya bagi kamu ada (Malaikat-malaikat yang mengawasi (pekerjaanmu).  Yang mulia (disisi Allah}) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan" [Al-Infitar: 10-12].

Ibnu Abbas ada mengatakan bahawa " Malaikat menulis semua perkataan manusia, baik perkataan yang baik maupun yang buruk. Malaikat mencatat perkataan, 'Aku makan,aku minum, aku pergi,aku datang,aku melihat dan sebagainya". Hal itu berlanjutan hingga hari khamis, ketika ucapan dan perbuatan itu ditayangkan."

Rasulullulah SAW ingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud…

"Jika seseorang berbicara dengan keredaan Allah, maka Allah akan mencatatkan perkataan tersebut saat perhintungan kelak, meskipun ia tidak menyangka bahawa hal itu dicatat oleh Allah. Sebaliknya jika seseorang itu berbicara dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan mencatat perkataan tersebut saat perhintungan kelak, walaupun ia tidak menyangka bahawa hal itu ditulis oleh Allah." [HR Ahmad]

Saudara dan saudari

Ingatkan selalu hati kita bahawa Malaikat tidak melepaskan satu amal pun, malah rintihan manusia juga akan dicatat oleh Malaikat. Imam Ahmad berkata" Pada suatu hari, aku merintih kesakitan. Lalu datanglah Tawus. Ia berkata,"Malaikat menulis segala hal, termasuk rintihan." Setelah mendengar perkataan Tawus, aku tidak lagi merintih."

Saudara dan saudari

Hasan Al Basri ada mengingatkan kita “Wahai anak Adam, sesungguhnya di sekeliling kamu ada dua Malaikat yang mulia.  Salah satu malaikat berada di sabelah kanan kamu.  Ia mencatat amal baik kamu. Malaikat lainnya berada disebelah kiri kamu dan mencatat amalan burukmu. Maka buatlah sesuka kamu.  Ketika kamu mati, dilipatkan buku catatan amalan kamu itu, lalu digantungkan dileher kamu hingga hari Kiamat tiba”

Allah berfirman yang bermaksud..
“ Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya.  Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka” [Al-Isra’: 13]

Sabenarnya Malaikat tidak hanya mencatat semua tingkah laku dan perbuatan kita. Mereka juga mecatat niat di dalam hati kita  samada niat baik atau buruk.

Malaikat Raqib dan ‘Atiq juga menulis semua jejak atau bekas yang ditinggalkan oleh manusia satelah mati, baik jejak yang baik atau pun buruk. 

Firman Allah SWT yang bermaksud…
“ Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami menulis apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan  di dalam kitab besar yang nyata (Lauh Mahfuzh).” [Yassin: 12]  

Saudara dan saudara yang dimuliakan

Oleh yang dimikian, marilah sama-sama kita mendidik hati kita supaya merasai diri kita sentiasa diapit oleh Malaikat Allah. Walau pun ibu, ayah, suami isteri, anak, ketua pejabat  kita tidak berada disisi kita tetapi ingatlah bahawa Malaikat Raqib dan ‘Atiq ada bersama kita untuk mencatat segala amal perbuatan kita.  Samada kita berada di dalam bilik, rumah, sekolah,  pejabat, makmal, ladang, laut atau dimana saja,  kita tak dapat lari dari diiringi Malaikat Allah. Berdolak dalihlah pada sesama manusia secara terangan  atau bersendirian, gunalah apa saja teknologi cagih saperti talipon bimbit, SMS, email, internet, facebook, blog dan sebagainya untuk menipu atau berbuat maksiat tapi kita tak akan terlepas dari catatan Malaikat Raqib dan ‘Atiq. Catatan di dunia boleh dipadamkan, disorok  atau dibuang tetapi catatan atau amalan yang sama akan ditayangkan kembali di Akhirat nanti. Amat dibimbangi lagi sekiranya semasa maksiat dilakukan Malaikat maut pula datang menjemput kita….takutlah wahai manusia…

Saudara dan saudari

Sekali lagi marilah kita sama-sama berfikir semasak mungkin sekiranya kita ingin mengikut nafsu dan melakukan maksiat. Tidak ada ruang kita dapat lari dari pengawasan Allah. Allah pinjamkan anggota badan kepada kita tetapi kita gunakan pula untuk melakukan perkara yang Allah larang. Sungguh kita tergolong di dalam golongan orang yang zalim dan tidak bersyukur! 

Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami disebabkan kami tidak takut kepadaMu dan MalaikatMu di dalam amalan harian kami…Ya Allah selamatkan kami dari azab kubur dan api neraka MU..Ya Allah .Ameen….
Sekian, maaf jua dipinta.
Rujukan: Antaranya Tulisan Mahmudin 

Wednesday, April 27, 2011

Bersyukurlah kita sebagai Muslim: ulasan Ustaz K.H. Abdullah Gymnastiar


Assalamu'alaikum wm.
Bismillahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang di muliakan

Sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya dapat kita bertemu sekali lagi di alam siber ini. Berdoalah mudah-mudahan Allah panjangkan umur kita dan di berikan  kita kesihatan untuk kita terus beribadah kepada Nya.  Hanya Allah SWT sahaja yang tahu bila kita akan di panggil pulang untuk bertemu dengan Nya.

Saudara dan saudari

Pada kesempatan kali ini saya inngin kongsikan satu ulasan Ustaz Aa (penceramah Indonesia) yang selalu ada di kaca TV kita. Beliau mengajak kita berfikir dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.

Sesungguhnya, betapa agungnya Allah SWT yang maha penyayang menjadikan kita sebahagian daripada limpah kasihsayang Nya. Kita dilahirkan sebagai seorang muslim walau pun tidak di minta. Ini adalah bukti kasih sayang Allah kepada kita. Apa yang akan terjadi sekiranya Allah tetapkan kita bukan seorang Islam ? Jadi bersyukurlah kita…

Kita juga mengucapkan salam sejahtera dan selawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW kerana melalui dakwahnya umat  manusia dan kita  dapat mengenal kebenaran.  Melalui dakwahnya kita dapat mememahami  hakikat kehidupan yang sementara ini.  Semoga Allah  SWT memberikan  kita  kemudahan dan kemampuan supaya dapat kita mencontohi Rasul yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW di dalam kehidupan ini.

Saudara dan saudari

Tiada sikap yang begitu baik yang dapat kita lakukan selain kita bersyukur kepada Allah SWT  di atas limpahan kurniaNya di atas kehidupan ini. Kita sebaik-baiknya bersyukur ke atas beberapa perkara asas yang Allah kurniakan kepada kita.

Petama,  marilah kita bersyukur kerana  Allah SWT ciptakan kita  sebagai manusia. Makluk yang begitu sempurna.  Sebagai manusia,  kita mempunyai berbagai kelebihan dan kemudahan jika di bandingkan dengan makluk lain.  Manusia adalah makhluk yang begitu mulia yang diberikan kesenangan lebih daripada makhluk yang lain.  Dalam hal ini kita sebaik-baiknya  bersyukur  atas berbagai kelebihan yang kita mikliki.  Bagaimana kah kita mensyukurinya? Itulah masalah yang perlu kita fahami secara mendalam. Kita perlu berfikir kejadian tubuh badan kita yang sempurna ini..semuanya diberi Allah SWT tanpa bayaran…

Keduanya, kita patut sangat-sangat bersyukur  di atas pemberian anugerah terbesar di dalam hidup ini iaitu nikmat iman dan Islam. Faktanya tidak semua manusia lahir sebagai umat Islam.  Tidak semua manusia beriman. Ini bererti keimanan dan keislaman adalah anugerah sebaik-baiknya untuk kita syukuri.  Keislaman dan keimanan menjadi modal demi mencapai kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat.  Apabila kita mensia-siakan anugerah itu, kita mengalami kerugian yang begitu besar.

Saudara dan saudari

Ingatlah keimanan dan keislaman merupakan nikmat yang begitu mahal, melebihi semua benda yang yang bernilai di dunia ini. Begitu ramai orang yang sibuk mencari dan mempertahankan harta dan jawatan kerana menganggap kedua-duanya begitu berharga. Bagi kita yang memahami betapa mahalnya keimanan dan keislaman, keperluan kepada harta dan jawatan tidak melalaikan dirinya dari keteguhan iman dan Islam. Apabila kita perlu memilih di antara keduanya, tentu kita memilih keimanan dan keislaman. Tidak mungkin keimanan dan keislaman di tukar dengan harta dan jawatan.

Sekian, semoga nasihat daripada Ustaz Aa ini dapat kita jadikan panduan untuk meneliti kehidupan yang berliku ini.

Maaf di pinta, Wasalam
Rujukan : AA Gym

Friday, April 22, 2011

Sedikit Seerah mengenai keadilan Allah SWT di Akhirat kelak: Prof Yusof Al-Qardhawi

Assalamu'alaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan
Disini diceritakan sedikit petikan seerah mengenai keadilan Allah SWT di Akhirat kelak.

Seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah SAW telah datang berjumpa Baginda dan bertanya: " Aku mempunyai dua orang hamba yang membohongi aku,  mengkianati dan tidak mengikut arahan aku. Aku telah mencerca dan memukul mereka. Bagaimana keadan aku terhadap dua orang hamba itu?"

Baginda menjawab: " Apabila tiba hari kiamat akan dihitung jumlah dosa mereka mengkianat, ingkar dan pendustaan mereka terhadap engkau dengan hukuman yang telah engkau kenakan keatas mereka.  Sekiranya nya hukuman yang engkau kenakan ke atas mereka adalah sama dengan kadar dosa kesalahan mereka, maka engkau tidak akan dikenakan apa-apa dan mereka juga tidak di kenakan apa-apa.  Jika hukuman yang engkau berikan melebihi kesalahan yang telah mereka lakukan maka mereka akan menerima pahala kebaikan engkau sebagai balasannya". Lelaki itu tunduk dan menangis.  Rasulullah SAW telah berkata kepadanya: " Tidakkah engkau membaca firman Allah SWT yang bermaksud.....

" Dan Kami akan meletakkan timbangan dengan adil pada hari kiamat kelak.  Tidak ada seorang pun akan di zalimi.  Sekali pun amalan itu seberat bijian, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk ditimbang. Cukuplah dengan Kami sebagai penghisab [Al Anbia': 47]

Lelaki itu berkata" Wahai Rasulullah SAW, aku tidak ada jalan lain untuk mendapat kebaikan daripada mereka melainkan  dengan aku membebaskan mereka. Dengan itu aku bersaksikan engkau bahawa mereka telah merdeka.[HR: Ahmad dan Tarmizi daripada Aisyah RA]

Demikian lah keadilan Allah SWT di Akhirat kelak tentang amalan kita di dunia ini. Di dunia kita mungkin boleh terlepas dengan helah alasan kita tetapi kita tidak akan terlepas di depan Allah SWT. Contoh sahabat yang di didik oleh Rasulullah jelas ada rasa sensitif dengan kesalahannya apabila di tegur dan diingatkan oleh Rasulullah SAW. Ia cepat sedar dan cepat-cepat melakukan sesuatu kebaikan supaya kembali di ampunkan Allah SWT.

Ambillah pengajaran dan amalkan di dalam kehidupan kita.

Wallahu'alam
Maaf di pinta ,
Wasalam





Wednesday, April 20, 2011

Makanan hati yang sihat: Keimanan kepada Allah, sedikit peringatan oleh Ibnu Qayyim


Assalamu’alaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Illahi kerana dengan izinNya kurniaNya dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati kita dan memberkati kita di dalam setiap urusan hidup kita. Mulakan setiap amalan kita dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pada kali ini marilah kita memerhati satu aspek  permasalahan hati yang kita rasakan amat penting di dalam kaedah pendidikan atau tarbiyah Islamiyyah. Sekiranya hati kita baik maka baiklah keseluruhan aktiviti kehidupan kita. Sebagaimana kita menjaga kekuatan tubuh kita, dimana ia memerlukan makanan yang berzat dan vitamin, menjaga kesihatan hati juga memerlukan kaedah yang sama. Cuma perlu kita ketahui bahawa makanan bagi hati adalah iman, zikir, solah, bersedekah atau pun segala perbuatan yang merupakan ketaatan kepada Allah. Jadi, perlulah sangat kita memberikan makanan hati supaya ia tidak lemah yang mana akhirnya tak mampu melawan penyakit hati yang datang menyerang kita di dalam pelbagai bentuk.

Sapertimana tubuh badan kita, hati kita mesti dijaga kesihatannya supaya tidak mudah diserang penyakit.  Caranya adalah dengan menjauhi perbuatan yang mendatangkan dosa saperti maksiat pada Allah, berdusta dan lain-lain lagi.

Dalam usaha kita untuk memastikan hati kita benar-benar bebas dari sebarang penyakit , kita mesti berusaha untuk bertaubat, beristighfar , mendekati dan memahami Al Quran kemudian memohon keampunan dari Allah..  Sekiranya hati kita sentiasa di hiasi dengan taubat,zikir, wirid, bersedekah, dan seumpamanya  sudah tentu tidak mudah diserang sebarang kuman penyakit hati.
Firman Allah SWT yang bermaksud….” Hai manusia sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran (Al Quran) dari Tuhan Mu dan penyembuh bagi penyakit-penuakit hati dan petunjuk serta rahmat bagi mereka yang beriman” [surah Yunus: 57]

Jarang sekali kita melihat orang yang beriman, taat kepada suruhan Allah, selalu berkata benar, bersifat dengan akhlak mulia dan seumpamanya terkena penyakit hati saperti  suka berdusta, cemburu, sombong, hasad dengki, suka mengumpat atau memandang rendah pada orang dan sebagainya. Ini di sebabkan oleh kerana hati telah kebal oleh unsur-unsur yang  menyebabkab penyakit hati.

Perlulah kita ketahui bahawa hati yang lemah mudah dihinggapi penyakit hati. Ini disebab oleh kerana mereka tiada daya ketahanan bagi menghalang penyakit itu dari menyerang mereka. Oleh itu kita perlu menjaga kesihatan hati supaya tidak mudah di hinggapi kekotoran saperti hawa nafsu , bisikan syaitan dan lain-lain.

Saudara dan saudari

Oleh itu marilah kita melihat keadaan hati kita dan sekira kita dapati kita menghadapi penyakit hati, penawarnya adalah kembali bertaubat secara berterusan selain meningkatkan ketaatan kita kepada Allah SWT. Membersih hati hendaklah kita kembali mengingati Allah SWT dan bertaqwa. Semoga dengan taqwa hati kta sentiasa ada pelindung atau penutup dan sudah tentulah hati kita tidak mudah dihinggapi dengan debu-debu kotoran yang akan meyebabkan penyakit hati dan memudahkan kita membuat kemungkaran atau perkara-perkara yang di larang Allah SWT.

Sekian, kelemahan yang ada maaf jua di pinta.
Wasalam
Rujukan: Bahagiakan hatimu…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...