Friday, February 6, 2015

Rintihan anak …‘Saya tetap sayang ayah’..Marilah kita belajar untuk menjadi ayah yang baik..



Assalamu’alaikum wm

Alhamdullillah, bertemulagi di alamsiber. Mudah-mudahan di berkati Allah SWT kehidupan kita pada hari ini.

Saudara dan saudari yang di muliakan

Berita sedih yang menyentuh dan mendidik hati….

Seremban: “Saya masih sayang ayah meskipun dipukul berkali-kali,” kata kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera bapanya sejak setahun lalu di rumah mereka di Taman Jujur Kiri, Sikamat, di sini.
Dakwanya, dia sering dipukul bapa berusia 37 tahun yang juga kaki mabuk sejak kematian ibunya, namun abang dan adik perempuannya berusia sembilan dan tiga tahun tidak didera.
Difahamkan, kanak-kanak malang itu melarikan diri dari rumahnya jam 10.30 pagi kelmarin, sebelum mendapatkan bantuan seorang jiran yang kemudian membuat laporan polis.
Lebih menyayat hati, mangsa dikatakan turut dipaksa mengemis untuk membeli sekotak rokok dan sekiranya gagal dia akan dipukul menggunakan tali pinggang.
“Ayah pukul dengan tali pinggang di muka dan seluruh badan serta halau saya keluar beli rokok, tetapi tidak beri wang. Apabila balik tanpa rokok, saya kena pukul.
“Saya menangis setiap kali dipukul, tetapi ayah masih pukul berkali-kali. Abang dan adik tidak dipukul, saya tidak tahu kenapa diperlakukan begitu,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, semalam.
RUJUKAN HARIAN METRO 6/2/15

MUSLIM SIHAT RUH, AKAL DAN BADAN:Awasi pengambilan GARAM kita…peringatan dari Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha


Assalamualaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Marilah kita mengambil peringatan yang berguna ini sebelum terlambat....

Kuala Lumpur: Seorang dari tiga rakyat Malaysia mengalami masalah tekanan darah tinggi disebabkan pengambilan garam berlebihan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, berdasarkan kajian pada 2008 tidak semua menyedari mereka mengalami masalah berkenaan sehingga dirujuk kepada doktor.
“Kebanyakan kita mengambil garam melebihi apa yang badan kita perlukan menerusi makanan yang dimakan. Garam sama ada berbentuk serbuk putih biasa atau tersembunyi di dalam bahan perasa tambahan mempunyai kandungan sodium yang tinggi dan ia boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Kesedaran Garam di Institut Pengurusan Kesihatan, semalam.
Dr Feisul berkata, mengikut Panduan Pemakanan Malaysia (2010) pengambilan garam yang disarankan adalah lima gram bersamaan 2,000 miligram (mg) sodium saja dalam sehari.
“Jika mengikut ukuran biasa, jumlah pengambilan yang disarankan tidak boleh melebihi satu sudu teh sehari.
Artikel ini disiarkan pada HM : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:48 AM

Isu semasa…Hari Kekasih salahi syarak: sama-sama lah kita mendengar nasihat Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri



Assalamu’alaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Illahi kerana masih lagi memberi kita nikmat hidayah dan barakah dan masih mengekalkan iman dan Islam pada kita…Kita juga bersyukur kerana Allah SWT  masih mudahkan usaha-usaha kita mendidik hati dan suka kepada kebaikan..

Marilah kita teliti saranan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri..di atas ISU SEMASA…

Kuala Lumpur: Umat Islam di negara ini sekali lagi diingatkan supaya tidak menyambut Hari Kekasih pada setiap 14 Februari kerana perbuatan itu menyamai sambutan agama lain bertentangan dengan hukum syarak.
Saranan itu dibuat Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menasihatkan semua umat Islam terutamanya remaja supaya menjauhi sambutan terbabit.
“Saya ingin menegaskan bahawa isu ini sudah pun difatwakan menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 yang memutuskan bahawa amalan meraikannya tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
“Perbuatan itu juga mengundang beberapa perkara tidak elok sekali gus membuka jalan ke arah maksiat dan hal ini perlu dielakkan oleh setiap umat Islam bagi menjaga batas pergaulan seperti yang sudah ditetapkan Syarak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Zulkifli berkata, semua umat Islam harus menjauhkan diri daripada merayakan sambutan Hari Kekasih kerana ia jelas bertentangan dengan hukum Islam.
Beliau turut menyarankan kepada ibu bapa supaya menasihatkan anak-anak supaya tidak terikut-ikut dengan budaya barat kerana perkara itu mampu mencemarkan akidah umat Islam terutamanya golongan muda.
Sementara itu, larangan terhadap umat Islam menyambut Hari Kekasih sudah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang antara lain membincangkan Hukum Umat Islam Menyambut Perayaan Hari Kekasih dan majlis memutuskan amalan meraikannya tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Menerusi muzakarah itu, biarpun pelbagai helah licik digunakan untuk memperdayakan umat Islam, tetapi sejarah membuktikan sambutan itu mempunyai unsur budaya agama lain dan ia turut bertentangan dengan Syarak.
Artikel ini disiarkan pada BM : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:56 AM

Tuesday, January 27, 2015

Renungan hati: Tanda-tanda Lemahnya Iman….



Assalamu’alaikum wm

Saudara dan saudari yang dimuliakan.
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merenungi bahan didikan hati yang baik ini..InsyaAllah.
Mengapakah iman kita lemah…..antaranya
ialah….
1. Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa.

Di kalangan orang-orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu boleh menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu.
Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini (yang bermaksud):
“Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rab-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.” [Riwayat Bukhari]

2. Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati.

Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. Allah Subhanahuwta’ala berfirman:
“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” [Al-Baqarah: 74]

Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya di antara longgokan-longgokan batu.
3. Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah.

Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Qur’an, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan.
Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith (yang bermaksud):
“Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” [At-Termizi]

4. Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah.

Orang yang lemah iman, kalau pun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya:
“Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas.” [An-Nisa’: 142]

Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Pada masa yang sama tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah dan menangguh-nangguh ikut solah berjamaah.
Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solah wajib. Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah.
Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” [An-Anbiya’: 90]

Bermacam-macam lagi tanda-tanda kemalasan seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solah malam, solah dhuha, solah-solah nafilah dan melengah-lengahkan usaha datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.
5. Dada terasa sesak dan terbelenggu.

Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mensifati iman sebagai berikut:
“Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.” [As-Silsilah As-Sahihah]

6. Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran.

Hati yang lemah tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pengisahan kiamat dan lain-lain di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk membuka dirinya agar berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan tidak diberikan perhatian.
7. Lalai daripada mengingati Allah Subhanahuwata’ala sewaktu berzikir dan berdo’a.

Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdo’a, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya:
“Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” [An-Nisa’: 142]

8. Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam.

Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk menyebarkan Islam dan menolongnya. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.
Seorang pemuda, Ibnu Amr Radhiallahu‘anhu, terus beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam. Namun majoriti orang-orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meski pun sudah sekian lama menjadi muslim.
Rujukan: Website HALUAN………fikrah untuk disebarkan seluas mungkin….
Muhammad Sholih Al-Munajjid, Obat Lemahnya Iman.

Friday, November 21, 2014

Elemen pekerja terbaik 3: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi- Sentiasa berusaha untuk lakukan kebaikan



Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita ucapkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Selawat serta salam juga kita tujukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, Keluarga Baginda, Ahlul Bait , sahabat-sahabat awal saterusnya mereka yang mengikuti mereka itu sehinggalah kehari Kiamat. Oh ya, samada kita sedar tak sedar bulan Muharram telah pun pergi meninggalkan kita. Baru sangat kita menyambut tahun baru Hijrah…kini sudah masuk bulan kedua, bulan safar. Jadi bagi kita yang ingin mendidik hati kita untuk kembali kepada cara hidup Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah maka seharusnya kita muhasabah diri tentang amalan kita sebulan yang pantas berlalu. Adakah kebaikan banyak dari kemaksiatan atau sebaliknya. Maka sudah semestinya kita teruskan bertaubat dan berusaha untuk kembali berusaha bersungguh untuk mengambil Islam sebagai cara hidup kita. Lebih-lebih lagi umur kita yang tergolong di dalam kategori empat, lima, enam atau tujuh series ini….sudah menghampri garisan penamat.

 Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pada kali ini saya ingin membawa kita bersama meneliti nasihat yang diberikan oleh Ustaz  Pahrol mengenai elemen terakhir kita sebagai pekerja. Tak kiralah kita bekerja di mana dan apa jua pekerjaan kita, nasihat diberikan ada baiknya untuk kita mengambil pengajaran.

Hendaklah sentiasa berusaha untuk lakukan kebaikan

Sabenarnya, bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunahtullah.
Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.
Jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,
tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Dr Yusof al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam.
Etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.
Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati, keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika melaksanakannya.
Jawatan, kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi.
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Oleh itu saya ingin mengajak diri saya dan saudara saudari untuk berusaha meningkatkan amalan kebaikan di dalam apa saja pekerjaan yang kita lakukan. Setiap amalan atau aktiviti kita wajiblah ikhlas kerana Allah SWT dan mengikut lunas-lunas syarak…barulah Allah ikhtiraf  amalan kita sebagai amal soleh. Sekian semoga peringatan Ustaz Pahrol ini kita jadikan sebagai bahan didikan hati kita bersama.
Maaf jua dipinta.

Sumber rujukan :* Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Khamis, 11 September 2014 @ 5:28 AM

Thursday, November 6, 2014

Elemen pekerja terbaik 2: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya juga dapat kita bersua kembali di alam siber ini. Semoga teknologi yang ada ini kita sentiasa gunakan kearah kebaikan. Berkongsilah maklumat dan peringatan yang mudah dan berguna untuk kita semua.  Secara umumnya, cuba elakan penggunaan platform umum ini untuk mencetuskan atau membincangkan perkara yang kontroversi yang akan mengeruhkan lagi suasana persaudaraan kita.

Sebagai menyambung kembali apa yang terkandong di dalam “post” saya yang lepas dimana kita masih lagi membincangkan aspek elemen penting di dalam kita bekerja mencari rezeki. Elemen kedua yang juga tidak kurang pentingnya ialah sudut Gabungan sudut al-quwwah (kekuatan).

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Menurut Ustaz Pahrol kita perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Mempunyai amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan.

Inilah sifat umat Islam dalam bekerja dimana ada di sana gabungan kepakaran juga keimanan, cantuman integriti dan kecekapan kita. Jika ada semuanya, dengan izin Allah SWT segala yang direncana menjadi dan diberkati.
Pekerja juga perlu melakukan kerja dengan acuan Allah SWT bukan terapan manusia jika ingin melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja tinggi.

Terdapat tiga criteria/elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama, capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak. Kedua, kuantiti yang lebih baik dan ketiga ialah akhlak, etika serta adab terpuji yang membangun jati diri, sahsiah peribadi seorang Mukmin.

Ustaz membawa kita kisah Imam Malik yang menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat itu dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu, jadi apakah perbezaan hasil tangan Imam Malik?

Lalu Imam Malik menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itulah yang akan berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya ituBeliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta' kita hanya terbayang Kitab Muwatta' milik Imam Malik dan terpadam kitab muwatta' yang terdahulu sebelum beliau.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Ini lah hebatnya keikhlasan akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Jadi bagi kita yang mempunyai kesedaran yang sabenarnya ia jua hidayah dari Allah SWT perlu sangat-sangat meneliti setiap tindakan yang kita lakukan seharian termasuklah di dalam hal mencari rezeki di tempat kerja kita. Teliti dulu niat kita dan ini lah permulaan yang Wajib betul supaya urusan seterusnya berjalan dengan arah yang betul dan syarie sehingga boleh di ikhtiraf sebagai amal soleh. Walaupun kita berkerja di mana-mana sahaja, di makmal, di pejabat, di sekolah di ladang dan lain-lain…ingatlah antara elemen penting di sini ialah niat ikhlas semata-mata kerana Allah dan mengikut amalan syarie/syarak..iaitu tidak membuat sesuatu yang bertentang dengan kehendak Allah SWT dan jalan–jalan yang telah di tunjuki oleh Rasulullah SAW kepada kita…sekiranya ada juga kesilapan cepat-cepatlah kita muhasabah dan kembali kepada kehendak Allah. Insya Allah, mudah-mudahan Allah SWT akan memudahkan urusan kehidupan kita yang sementara ini….

Sekian, maaf di pinta..
Antara rujukan : rencana BH 

Thursday, October 16, 2014

Elemen pekerja terbaik 1: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara Allah dan pelbagai nikmat yang lain…masih boleh bangun, berjalan , bercakap, melihat, makan minum, solah, pergi mesjid, jumpa kawan, bermesra dengan keluarga dan beribu-ribu lagi nikmat yang Allah berikan..termasuklah nikmat bekerja atau mencari rezeki yang halal ini…kita lihat telah ramai kawan-kawan kita yang dulu cukup sihat dan bertenaga kita terlantar di hospital atau di rumah kerana keuzuran kesihatan dan lain-lain lagi ..

Namun begitu kita perlu ingat kita perlu berusaha dan menjaga nikmat yang Allah bagi kepada kita ini ..contoh pada kali ini ialah menjadi pekerja muslim yang Allah kehendaki dimana antaranya kita perlu melihat kembali  asas kenapa kita bekerja supaya usaha kita ini dapat  diterima Allah sebagai ibadah…

Marilah kita merenungi sebahagian daripada penulisan yang diterbit di dalam berita harian melalui ceramah Ustaz Pahrol Mohd Juoi di radio IKIMfm untuk kita fahamkan dan sampai kepada sahabat-sahabat kita…

Saudara dan saudari yang dimuliakan
Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).

Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain, bukan sekadar mendapat laba, tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata-mata makan gaji, tetapi menghadam sebanyak-banyaknya kebaikan dan reda Ilahi.

Ustaz mengajak kita melihat pekerjaan daripada perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan.
Katanya, pegang kata kunci 'beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik' untuk membezakan pekerjaan manusia dengan makhluk Allah SWT yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di dunia, manusia diberi tanggungjawab bekerja sebagai cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk menang dalam menyahut ujian itu. Caranya dengan melaksanakan pekerjaan pada tahap terbaik.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2).

Setiap pekerjaan datang dengan ujian, kecekapan, kesungguhan, keikhlasan dan akhlak semuanya diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang Mukmin.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26).

Sekian sebahagian daripada peringatan daripada Ustaz Pahrol Mohd Juoi ini untuk kita ambil sebagai panduan dan mudah-mudahan kita dapat jadikan nikmat bekerja ini sebagai amal soleh…
Ya Allah mudahkan urusan hidup kami..
Amiin
Maaf di pinta
Wassalam

Sumber rujukan :Penulis  Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Khamis, 11 September 2014 @ 5:28 AM
Berita Harian 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...