Friday, November 21, 2014

Elemen pekerja terbaik 3: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi- Sentiasa berusaha untuk lakukan kebaikan



Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita ucapkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita bertemu lagi di alam siber ini. Selawat serta salam juga kita tujukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, Keluarga Baginda, Ahlul Bait , sahabat-sahabat awal saterusnya mereka yang mengikuti mereka itu sehinggalah kehari Kiamat. Oh ya, samada kita sedar tak sedar bulan Muharram telah pun pergi meninggalkan kita. Baru sangat kita menyambut tahun baru Hijrah…kini sudah masuk bulan kedua, bulan safar. Jadi bagi kita yang ingin mendidik hati kita untuk kembali kepada cara hidup Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah maka seharusnya kita muhasabah diri tentang amalan kita sebulan yang pantas berlalu. Adakah kebaikan banyak dari kemaksiatan atau sebaliknya. Maka sudah semestinya kita teruskan bertaubat dan berusaha untuk kembali berusaha bersungguh untuk mengambil Islam sebagai cara hidup kita. Lebih-lebih lagi umur kita yang tergolong di dalam kategori empat, lima, enam atau tujuh series ini….sudah menghampri garisan penamat.

 Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pada kali ini saya ingin membawa kita bersama meneliti nasihat yang diberikan oleh Ustaz  Pahrol mengenai elemen terakhir kita sebagai pekerja. Tak kiralah kita bekerja di mana dan apa jua pekerjaan kita, nasihat diberikan ada baiknya untuk kita mengambil pengajaran.

Hendaklah sentiasa berusaha untuk lakukan kebaikan

Sabenarnya, bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunahtullah.
Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.
Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.
Jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,
tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Dr Yusof al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam.
Etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.
Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati, keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika melaksanakannya.
Jawatan, kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi.
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Oleh itu saya ingin mengajak diri saya dan saudara saudari untuk berusaha meningkatkan amalan kebaikan di dalam apa saja pekerjaan yang kita lakukan. Setiap amalan atau aktiviti kita wajiblah ikhlas kerana Allah SWT dan mengikut lunas-lunas syarak…barulah Allah ikhtiraf  amalan kita sebagai amal soleh. Sekian semoga peringatan Ustaz Pahrol ini kita jadikan sebagai bahan didikan hati kita bersama.
Maaf jua dipinta.

Sumber rujukan :* Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Khamis, 11 September 2014 @ 5:28 AM

Thursday, November 6, 2014

Elemen pekerja terbaik 2: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang dimuliakan

Sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin kurniaNya juga dapat kita bersua kembali di alam siber ini. Semoga teknologi yang ada ini kita sentiasa gunakan kearah kebaikan. Berkongsilah maklumat dan peringatan yang mudah dan berguna untuk kita semua.  Secara umumnya, cuba elakan penggunaan platform umum ini untuk mencetuskan atau membincangkan perkara yang kontroversi yang akan mengeruhkan lagi suasana persaudaraan kita.

Sebagai menyambung kembali apa yang terkandong di dalam “post” saya yang lepas dimana kita masih lagi membincangkan aspek elemen penting di dalam kita bekerja mencari rezeki. Elemen kedua yang juga tidak kurang pentingnya ialah sudut Gabungan sudut al-quwwah (kekuatan).

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Menurut Ustaz Pahrol kita perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Mempunyai amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan.

Inilah sifat umat Islam dalam bekerja dimana ada di sana gabungan kepakaran juga keimanan, cantuman integriti dan kecekapan kita. Jika ada semuanya, dengan izin Allah SWT segala yang direncana menjadi dan diberkati.
Pekerja juga perlu melakukan kerja dengan acuan Allah SWT bukan terapan manusia jika ingin melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja tinggi.

Terdapat tiga criteria/elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama, capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak. Kedua, kuantiti yang lebih baik dan ketiga ialah akhlak, etika serta adab terpuji yang membangun jati diri, sahsiah peribadi seorang Mukmin.

Ustaz membawa kita kisah Imam Malik yang menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat itu dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu, jadi apakah perbezaan hasil tangan Imam Malik?

Lalu Imam Malik menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itulah yang akan berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya ituBeliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta' kita hanya terbayang Kitab Muwatta' milik Imam Malik dan terpadam kitab muwatta' yang terdahulu sebelum beliau.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Ini lah hebatnya keikhlasan akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Jadi bagi kita yang mempunyai kesedaran yang sabenarnya ia jua hidayah dari Allah SWT perlu sangat-sangat meneliti setiap tindakan yang kita lakukan seharian termasuklah di dalam hal mencari rezeki di tempat kerja kita. Teliti dulu niat kita dan ini lah permulaan yang Wajib betul supaya urusan seterusnya berjalan dengan arah yang betul dan syarie sehingga boleh di ikhtiraf sebagai amal soleh. Walaupun kita berkerja di mana-mana sahaja, di makmal, di pejabat, di sekolah di ladang dan lain-lain…ingatlah antara elemen penting di sini ialah niat ikhlas semata-mata kerana Allah dan mengikut amalan syarie/syarak..iaitu tidak membuat sesuatu yang bertentang dengan kehendak Allah SWT dan jalan–jalan yang telah di tunjuki oleh Rasulullah SAW kepada kita…sekiranya ada juga kesilapan cepat-cepatlah kita muhasabah dan kembali kepada kehendak Allah. Insya Allah, mudah-mudahan Allah SWT akan memudahkan urusan kehidupan kita yang sementara ini….

Sekian, maaf di pinta..
Antara rujukan : rencana BH 

Thursday, October 16, 2014

Elemen pekerja terbaik 1: Ulasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara Allah dan pelbagai nikmat yang lain…masih boleh bangun, berjalan , bercakap, melihat, makan minum, solah, pergi mesjid, jumpa kawan, bermesra dengan keluarga dan beribu-ribu lagi nikmat yang Allah berikan..termasuklah nikmat bekerja atau mencari rezeki yang halal ini…kita lihat telah ramai kawan-kawan kita yang dulu cukup sihat dan bertenaga kita terlantar di hospital atau di rumah kerana keuzuran kesihatan dan lain-lain lagi ..

Namun begitu kita perlu ingat kita perlu berusaha dan menjaga nikmat yang Allah bagi kepada kita ini ..contoh pada kali ini ialah menjadi pekerja muslim yang Allah kehendaki dimana antaranya kita perlu melihat kembali  asas kenapa kita bekerja supaya usaha kita ini dapat  diterima Allah sebagai ibadah…

Marilah kita merenungi sebahagian daripada penulisan yang diterbit di dalam berita harian melalui ceramah Ustaz Pahrol Mohd Juoi di radio IKIMfm untuk kita fahamkan dan sampai kepada sahabat-sahabat kita…

Saudara dan saudari yang dimuliakan
Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).

Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain, bukan sekadar mendapat laba, tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata-mata makan gaji, tetapi menghadam sebanyak-banyaknya kebaikan dan reda Ilahi.

Ustaz mengajak kita melihat pekerjaan daripada perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan.
Katanya, pegang kata kunci 'beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik' untuk membezakan pekerjaan manusia dengan makhluk Allah SWT yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di dunia, manusia diberi tanggungjawab bekerja sebagai cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk menang dalam menyahut ujian itu. Caranya dengan melaksanakan pekerjaan pada tahap terbaik.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2).

Setiap pekerjaan datang dengan ujian, kecekapan, kesungguhan, keikhlasan dan akhlak semuanya diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang Mukmin.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26).

Sekian sebahagian daripada peringatan daripada Ustaz Pahrol Mohd Juoi ini untuk kita ambil sebagai panduan dan mudah-mudahan kita dapat jadikan nikmat bekerja ini sebagai amal soleh…
Ya Allah mudahkan urusan hidup kami..
Amiin
Maaf di pinta
Wassalam

Sumber rujukan :Penulis  Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Khamis, 11 September 2014 @ 5:28 AM
Berita Harian 

Sunday, October 12, 2014

Marilah kita berusaha untuk memperbaiki Kehidupan & personaliti diri kita..(sebuah perkongsian nota kawan)


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamulaikum wm
Alhamdulillah , setinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT kerana masih lagi diberi kesempatan utk kita bersama di alam siber ini. Gunakan kemudahan teknologi canggih yang Allah ilhamkan kepada manusia kearah jalan kebaikan. Ingatlah apa saja kemudahan yang Allah beri kepada kita merupakan ujian yang akan di nilai untuk di beri pahala atau dosa. Beruntunglah mereka yang menggunakan apa saja peluang untuk menuju kejalan taqwa…renungilah firman Allah SWT dalam surah Asy-Syams ayat 8-10 yang bermaksud
“ Maka Dia (ALLAH) mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntunglah orang yang mensucikannya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya”.

Jadi dengan kesedaran dan kefahaman yang Allah berikan kepada kita ini..sama-samalah kita gunakan sebaik mungkin. Bantu membantulah sesama kita kearah kebaikan…
Saudara dan saudari yang dimuliakan
Pada kali ini saya ingin kongsikan nota dari sahabat saya di dalam kumpulan Whatsapp yang saya fikir elok utk kita renungi….

Bagaimana Untuk Memperbaiki Kehidupan & Personaliti Diri..

1. Jangan membandingkan kehidupan anda dengan orang lain. Anda tak tahu bagaimana perjalanan hidup mereka yang sebenarnya.
2. Jangan ada perasaan negatif pada perkara-perkara yang tidak dapat anda kawal. Tanamkan semangat positif di dalam kehidupan anda hari ini
3. Jangan berlebihan, tetapkan had
4. Jangan terlalu serius, tiada siapa yang serius
5. Jangan bazirkan tenaga dengan ber’gossip’
6. Bermimpilah ketika anda berjaga
7. Mengagumi cuma membuang masa. Anda sudah ada apa yang anda perlukan
8. Lupakan kisah yang lama. Jangan ingatkan pasangan anda tentang kesilapan beliau di masa lampau. Ia cuma akan merosakkan kebahagiaan anda sekarang
9. Hidup terlalu pendek untuk membuang masa membenci sesiapa. Jadi jangan membenci sesiapa
10. Berdamailah dengan masa lalu supaya ia tidak merosakkan hari ini
11. Tiada siapa yang dapat mengawal kebahagiaan anda kecuali anda sendiri
12. Sedarlah bahawa kehidupan ini adalah umpama sekolah dan anda berada di sini untuk belajar. Masalah yang muncul seumpama ko kurikulum dan akan menghilang seperti kelas algebra tetapi akan menjadi pembelajaran yang anda akan ingat sepanjang hayat
13. Lebihkan senyum dan ketawa
14. Anda tidak perlu menang dalam pertelingkahan. Setuju untuk bersetuju.
Komuniti
15. Kerap menelefon ahli keluarga
Komuniti
16. Setiap hari berikan sesuatu yang terbaik untuk orang lain
17. Maafkan semua orang untuk segala galanya
18. Luangkan lebih banyak masa dengan seseorang yang berusia 70 tahun ke atas dan bawah 6 tahun
19. Cuba buatkan sekurang kurangnya 3 orang tersenyum setiap hari
20. Apa yang orang lain fikir tentang anda bukan masalah anda
21. Pekerjaan anda tidak akan menjaga anda apabila anda sakit. Tapi keluarga dan kawan-kawan yang akan menjaga anda. Jadi sentiasa berhubung dengan mereka

Kehidupan
22. Letakkan Allah dalam apa jua yang anda fikir, cakap dan akan lakukan
23. Allah akan mengubati segala galanya
24. Buat perkara yang betul
25. Bagaimana buruk atau baiknya sesuatu situasi itu, ia pasti akan berubah
26. Walau bagaimana anda rasa, anda masih perlu bangun, siapkan diri dan bersedia
27. Yang terbaik masih belum tiba, tetapi akan tiba
28. Hapuskan perkara-perkara yang tidak berguna, tidak cantik dan tidak menggembirakan
29. Bila anda terjaga di pagi hari, berterima kasihlah kepada Allah
30. Kalau anda dekat dengan Allah, anda akan sentiasa gembira. Jadi, gembiralah.

Semoga bahan di atas boleh membantu kita untuk menjadi orang yang positif di dalam kehidupan yang singkat ini…
Terima kasih kepada sahabat saya Tuan Haji Esnan…yang berkongsi nota di atas untuk saya panjangkan kepada umum..
Maaf dan Wassalam

Friday, October 3, 2014

Muhasabah Aidil Adha….kembalilah kepada Allah



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullah wm

Alhamdullillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama lagi di alam siber ini. InsyaAllah , pada setiap 10 Zulhijjah  merupakan hari yang istimewa dimana kita mohon Allah SWT panjangkan umur untuk bertemu dengan Hari Raya Aidil Adha iaitu hari raya korban.  Mudah-mudahan kita sama-sama muhasabah kembali perjalanan kehidupan kita selama setahun yang berlalu. Bersyukurlah kepada Allah SWT sekiranya kita dapat menggunakan masa yang Allah berikan kepada kita itu untuk mendidik hati kita, mempertingkatkan kefahaman, keyakinan, keimanan dan amalan kita. Alhamdullillah....TETAPI sekiranya kita masih banyak melakukan perkara-perkara terlarang dan maksiat kepada Allah sepanjang tahun yang berlalu...maka kita perlulah bertaubat segera dan mengorbankan kehendak-kehendak nafsu yang tidak selari dengan kehendak Allah SWT.  Inilah masa untuk berkorban.

Saudara dan saudari yang di muliakan

Tiada satu pun kejayaan yang dapat di capai melainkan di sana perlunya satu pengorbanan.  Untuk berjaya di dunia yang sementara ini pun kita perlu berkorban...sebagai pelajar contohnya perlu mengorbankan masa rihat, tenaga dan wang ringgit untuk lulus dengan cemerlang..Bagi kita pekerja juga terpaksa mengorban masa bersama keluarga, memerah tenaga dan fikiran kita, masa lapang dan seronok kita untuk membuat kerja-kerja yang disuruh ketua kita..barulah kita mendapat nilai kerja yang baik...

Saudara dan saudari yang di muliakan

Saban hari kita lihat pelbagai peristiwa berlaku di depan mata kita. Berita-berita kemalangan, kehilangan jiwa, kekejaman, penganiayan, masalah rumah tangga dan bermacam-macam lagi mengajak kita berfikir secara serius tentang hala tuju kehidupan kita. Manusia berkorban segalanya untuk mendapatkan kekayaan dan keuntungan Duniawi. Tetapi kebahagian dan ketenangan semakin jauh daripada kita. Jadi kita tidak ada pilihan lagi untuk kembali kepada Pencipta kita, yang Maha mengetahui keperluan kita di dunia dan juga persiapan yang perlu untuk ke Akhirat.
Kita perlu kembali kepada keseimbangan sebagai mana yang selalu kita berdoa
“ Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah  kami dari siksaan api neraka”


Saudara dan saudari yang di muliakan


Kini kita fikirlah sedalam-dalamnya sekiranya kita inginkan kejayaan di Akhirat dan mendapat ganjaran dari Allah SWT untuk kehidupan yang kekal sudah tentunya kita perlu berkorban yang sebaik mungkin  untuk kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Kita tidak rugi sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengorbankan kehendak diri kita demi memenuhi kehendak Allah SWT.

Walaubagaimana pun kita perlu ingat godaan nafsu dan syaitan, iblis yang sentiasa akan mengganggu usaha pengorbanan kita untuk menuju kepada Allah SWT.  Seerah Nabi Allah Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS di dalam perjalanan menuju ke kawasan bukit di Mina untuk melaksanakan suruhan Allah SWT iaitu penyembelihan Nabi Ismail AS. Iblis yang menyerupai manusia sebanyak tiga kali cuba menggagalkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Mereka membaling batu kepada iblis tersebut....Jadi kita juga tidak terlepas dari pelbagai godaan di dalam usaha-usaha kita untuk membuat kebajikan dan menuju kepada Allah SWT.  Tewaskan syaitan dengan iman kita.
Berusaha dan berdoalah bersungguh-sungguh....

Akhirnya sekali lagi, saya mengucapkan selamat menyambut hari raya korban dengan penuh penghayatan saperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Maaf Zahir Batin

Wassalam


Friday, September 19, 2014

Peringatan untuk kita…berhati-hati di mana sahaja kita berada…namun yakinlah ajal maut di tangan Allah


Assalamualaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim
Saudara dan saudari yang di muliakan

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara Allah dan pelbagai nikmat yang lain…malah kita masih di berikan nyawa oleh Allah SWT. Bersyukurlah dan lahirkan tanda kesyukuran kita kepada Allah…Maka perlulah kita ingat bahawa semua apa yang ada pada kita ini adalah pinjaman belaka dan Allah akan ambil kembali pada bila-bila masa sahaja. Inilah hakikat kehidupan hatta nyawa yang Allah pinjamkan ini juga akan di ambil kembali dengan pelbagai sebab musabab saperti yang berlaku setiap hari dan dilaporkan oleh media massa. Petikan akhbar di bawah ini cukup sudah untuk menjadi bahan renungan dan didikan hati kita. 

Ingatlah Firman Allah SWT di dalam  Surah An-Nisa ayat ke 78…..
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (78)”
Semoga kita dapat mengambil pengajaran, InsyaAllah.

Alfatihah untuk saudara kita..Ajal rakam gambar
Shah Alam: Kegembiraan seorang penuntut wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, yang sedang merakam gambar bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di kawasan kampusnya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Fatin Farah Farradia Yusof, 20, maut selepas mengalami kecederaan dalaman.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri kuliah bersama dua lagi rakannya sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah wanita berusia 54 tahun.

Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh dari bukit pada ketinggian kira-kira lima meter.

Mangsa adalah penuntut Diploma Sains Sukan dan Rekreasi tahun kedua dan berasal daripada Dungun, Terengganu.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, mangsa dikatakan sedang berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh kereta menyebabkan mangsa tercampak.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kerana mengalami pendarahan dalaman kira-kira jam 7.30 malam.

“Pensyarah yang merempuh mangsa dikatakan mengalami masalah kesihatan sebelum kejadian sehingga menyebabkan beliau gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.

“Pensyarah terbabit kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk mendapat pemantauan doktor,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR, semalam.

Jenazah Fatin akan dibawa ke kampung halamannya di Dungun untuk dikebumikan sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

ALFATIHAH…..
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Kita di akhir zaman, pelbagai peristiwa sesat berlaku……Masjid songsang rasmi hari ini


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wm

Peristiwa yang berlaku di bawah ini amat menyayat hati dan mencabar kita semua umat Islam..terlalu pedih untuk kita harungi pelbagai perkara akhir-akhir ini. Islam diserang dari semua sudut kerana musuh-musuh Islam siang malam berusaha menghancurkan kita.  Ya Allah bantulah kami yang lemah ini…
Bacalah.....
Cape Town: Seorang ahli akademik akan meneruskan rancangan merasmikan apa yang dipanggilnya ‘masjid terbuka’ hari ini.
Masjid berkenaan, menurut pengasasnya, Dr Taj Hargey, profesor di Pusat Pendidikan Islam Oxford di Britain, akan dibuka kepada semua orang termasuk yang bukan Islam dan gay.

Menurutnya, dia tetap meneruskan rancangan membuka masjid itu walaupun menerima ancaman daripada pelbagai pihak. Dalam kenyataannya kepada akhbar The Cape Times, Hargey berkata, sudah tiba masanya untuk melancarkan ‘revolusi agama’ sesuai dengan revolusi demokrasi di Afrika Selatan dan masjid itu akan dibuka kepada semua orang, termasuk gay untuk bersembahyang di situ.
Ceramah yang akan diadakan bersifat progresif, berilmu dan sama rata.

Wanita akan dibenarkan menjadi imam sementara golongan gay dan bukan Islam dialu-alukan datang.

“Ada yang ancam membunuh saya kerana masjid ini. Tetapi saya tak peduli,” katanya.

Masyarakat Islam Cape Town menyelar masjid itu dengan sebahagiannya menyifatkan Hargey sesat dan menyesatkan.

Majlis Islam Afrika Selatan (MJC) tidak mempunyai kuasa terhadap masjid itu. Timbalan Presidennya, Riad Fataar memberitahu wartawan, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap masjid berkenaan. Riad juga memberitahu, dia menganggapnya tempat ibadah, bukan masjid.
“Apa juga yang bertentangan dengan Islam, akan mendapat kecaman daripada MJC,” kata Riad.

Sementara itu, Hargey berkata, masjid yang terletak di Wynberg itu, tempat dia dilahirkan, akan dirasmikan jam 1 petang hari ini. Azan akan dilakukan dalam bahasa Inggeris dan Arab sementara khutbah dalam bahasa Inggeris keseluruhannya. Wanita pula dipelawa solat sama saf dengan lelaki. Menurut Hargey, dia akan membaca khutbah sulung dan topiknya berkait dengan kewujudan bersama Kristian dan Islam. Dia menjangka 300 orang akan hadir pada majlis pembukaan itu.

Umat Islam Afrika Selatan bercadang berarak ke masjid berkenaan untuk mendesaknya ditutup sama sekali. - Agensi

YA ALLAH BERILAH HIDAYAH DAN KEKUATAN IMAN KEPADA KAMI SEMUA....




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...