Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum
wm
Saudara dan
saudari yang dimuliakan
Alhamdulillah
di doakan kita semua sentiasa di rahmati dan dilindungi Allah SWT. Bersyukurlah
kepada AllahSWT dengan berusaha
melakukan amalan yang terbaik, yang di kehendaki Allah di dalam kehidupan
seharian kita..
Di
kesempatan ini saya ingin berkongsi fakta berkaitan ibadah korban saperti yang
di tulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.
Semoga membantu menambahkan lagi kefahaman kita…..
Hukum berkorban adalah
sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan
harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu
Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain,
kecuali Imam Abu Hanifah yang berpendapat berkorban wajib bagi mereka yang
berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk
melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Hal ini
berdasarkan hadis riwayat Muslim yang sohih, ertinya:-
“Barangsiapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan telah masuk 10 awal
(Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya
sehinggalah sampai korban dilaksanakan." (Muslim, 3/39)
Justeru, majoriti ulama daripada mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali
menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun, tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah
meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang)
dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi
SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah
sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan
Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika boleh mengganggu
kesempurnaan wuduk dan lain-lain kewajiban.
Korban dengan Bayar Sedekah Duit Tanpa Wakil Sembelihan
Tidak dibenarkan juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli
daging lembu yang telah disembelih daripada pasar lalu disedekahkan atas niat
Qurban. Tatkala itu, pemberian daging dianggap sedekah biasa sahaja dan
bukannya korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.
Pahala korban adalah jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya sahaja. Hal
ini adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,
Syafie, Ahmad dan lain-lain.
Adalah diingatkan jua agar meniatkan korban itu adalah kerana Allah SWT
semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk
menyedekahkan daging atau lain-lain niat. Firman Allah yang bermaksud:
“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai
(keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.
Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan
Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada
orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj : 37)
Kongsi Lembu
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan
dibahagikan kepada tujuh bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadis Nabi
yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau
menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadis pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang
ingin berkorban. Ertinya;
"Hadirkanlah dirimu pada waktu sembelihan, diampunkan bagimu daripada
titisan darah sembelihanmu yang pertama"
Mematahkan Tulang Dan Tanduk Binatang Korban
Majoriti ulama mengharuskannya manakala tegahan untuk mematahkan tulang hanya
dalam hal akikah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi berdasarkan
hadith riwayat Al-Bayhaqi. Maksudnya;
“Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan,
dimasak dan tiada dipecahkan tulangnya.” ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)
Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan korban.
Binatang Terbaik untuk Korban
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri,
kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai
mendapat merasai dan manfaatnya.
Korban di Luar Kawasan
Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan
bagi manfaat orang sekeliling.
Namun, diharuskan mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum
daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam
kawasan atau mereka yang di luar.
Namun, ulama Mazhab Shafi’e tidak membenarkan dipindah keluar kawasan jika di
dalam kawasan masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian
ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan
maslahat sebenar daripada udhiyyah. Bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang
lain melaksanakan korban itu sudah menyebabkan kita terluput daripada
melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah tidak
pernah mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain.
Malah sewaktu hari raya korban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada
pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan daripada ibadah korban kecuali
hanya seolah-olah menyedekahkan wang sahaja, sepatutnya korban melebihi dari
hanya sekadar sedekah wang dan makanan. Korban adalah suatu ibadah khas
menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.
Gabung Korban dan Akikah
Mazhab Syafi’e, Maliki dan Pandangan Ahmad: Tidak boleh kerana maksud keduanya
berbeza. Korban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala
akikah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami
Al-Syafie, menyatakan bahawa - jika diniatkan seekor kambing untuk korban dan
akikah sekaligus, tiada diperoleh salah satu antara keduanya, kerana keduanya
sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.
Sementara itu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan
Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait - Harus digabung semua dengan niat korban
atau sebahagian korban dan sebahagian akikah.
Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.
Pembahagian Daging
Daging korban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan seperti berikut :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berkorban,
1/3 (sepertiga) kepada fakir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Agihan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud;
"Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan
fakir." (Al-Haj : 28)
dan juga firman Allah SWT yang bermaksud;
"Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang
tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn
Umar r.a. Namun demikian harus (dibenarkan) untuk tidak mengikut cara
pembahagian ini samada untuk makan keseluruhannya atau kebanyakkannya.
Upah kepada Tukang
Sembelih dan Lapah Serta Jual Daging Qurban
Dilarang memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya
(iaitu dengan ditetapkan dari awal), Namun, harus jika dia termasuk daripada
kalangan fakir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai
hadiah. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud;
“Rasulullah mengarahkan aku agar tidak memberi pelapah sesuatu apa (upah)
pun.” ( Riwayat Al-Bukhari)
Namun, boleh diberikan daging korban sebagaimana orang lain.
Tidak dibenarkan juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. Namun tidak
sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti
mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan.
Dibenarkan untuk menyimpan daging korban walaupun melebihi 3 hari berdasarkan
hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim.
Memberi Daging Korban kepada Orang Bukan Islam
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya haram,
ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai
harus kerana ia bukannya sedekah wajib. Namun tiada khilaf, mendahulukan umat
Islam adalah lebih utama dalam hal ini.
Berkorban atau Membayar Hutang
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan, berkorban sekali setahun
demi tawaran pahalanya?.
Justeru, untuk menentukan keutamaan sama ada menjelaskan hutang atau melakukan
ibadah korban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran
semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank
dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut
sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi daripada
individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya
boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah
ibadah korban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Hal ini amat jelas kerana ibadah korban hanya sunat muakkad sahaja menurut
majoriti mazhab mankala melangsaikan hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula
‘terkorban', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak
bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk
berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban.
Demikian pandangan ringkas saya.
Sembelih Korban Guna Ayam
Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam al-Quran. Ayam
tidak tergolong dalam kategori itu. Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan
kesunatan korban daripada mereka. Namun jika mereka ingin menyembelih ayam
sebagai ganti, hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah
membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata, “nah, inilah korban Ibn
Abbas,” iaitu secara majaz.
Korban oleh Organisasi & Syarikat?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah
syarikat boleh mengeluarkan peruntukan tertentu untuk membeli 20 ekor lembu dan
berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya - "tidak boleh !" Ibadah korban adalah ibadah yang
dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ibadah ini bukan
untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, jika sebuah organisasi ingin
melaksanakannya, mesti menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu, korban barulah sah dan menjadi korban oleh individu yang ditentukan
namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh
bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya dihadiahkan kepada
kakitangan secara khusus untuk dilaksanakan sembelihan atau korban. Pahala
korban akan hanya diperoleh oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu
pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan'
lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika tidak mahu berbuat demikian, bermakna pihak syarikat mestilah meletakkan
secara khusus 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus
juga. Bukan atas nama syarikat, tetapi individu.
Binatang yang Dikongsi
a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau. Dalilnya dari hadis, yang
bermaksud;
“Rasulullah berkongsi sewaktu hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu
dibahagi tujuh bahagian.” (Riwayat Ahmad)
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama): Kambing, kibasy dan sepertinya.
Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengharuskannya.
Kongsi Pahala Qurban
a) Ketua keluarga diharuskan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau
unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Hal ini sebagaimana yang
dilakukan oleh Baginda Nabi SAW.
b) Namun, untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, tidak
dilakukan oleh sahabat nabi. Hanya Nabi yang berkorban dan menyatakan "Ini
adalah untuk ummatku yang tidak berkorban. Disebutkan di dalam sebuah hadis
bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih, maksudnya;
“Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga
Muhammad dan umatnya.
Siapa Patut Mulakan Qurban?
Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai,
demikian sunah Nabi SAW berdasarkan hadis yang bermaksud;
“Berkata Ibn Umar r.a.’ ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda
berada di kawasan solatnya.
Berkata Imam Malik : “Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang
menyembelih satu orang pun sebelumnya.”
http://www.zaharuddin.net