Monday, January 31, 2011

Berdoalah setiap masa........


Assalamu’alaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Sekali lagi kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana masih lagi memberi keizinan untuk kita bertemu di alam siber ini.  Mudah-mudahan Allah mudahkan kita untuk berfikir dan melaksanakan amalan –amalan baik di samping berusaha untuk membuang dan menghalang amalan yang tidak baik di sisi Allah SWT.  Marilah kita sama-saam berusaha untuk mengambil Islam yang kita yakini ini secara keseluruhan di dalam kehidupan kita.  Ingat lah Firman Allah yang bermaksud……

“Hai orang –orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut  langkah-langkah syaitan.  Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi mu” [Al Baqarah:208]

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Pada kali ini saya ingin memperingatkan diri saya dan kita bersama akan kepentingan supaya sentiasa memohon kepada Allah SWT  dan menghadapi atau melaksanakan  semua perkara , baik kecil mahu pun besar…
Doa merupakan tanda pengantungan, pengharapan dan permohonan seseorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ghafir ayat ke 60 yang bermaksud……..
 “Berdoalah kamu kepada Ku  nescaya  Aku perkenankan doa permohonan kamu.  Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepada Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina”

Firman Allah juga  dalam surah Al Baqarah ayat 187 yang bermaksud

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka  jawablah bahawa Aku hampir dengan mereka.  Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu.  Maka hendaklah mereka memenuhi segala  perintah Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka mendapat petunjuk”

Iman Ahmad meriwayatkan daripada Al Nu’man ibn Basyir, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda

“ Sesungguhnya doa itu adalah ibadah”

At-Tarmizi pula meriwayatkan dari pada Salman Al Farisi  bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud

“Qada’ Allah SWT tidak dapat dihapuskan melainkan dengan doa dan umur sesaorang itu tidak bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud

“ Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah SWT manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang di takdirkan dan apa yang akan di laksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan di turunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah di minta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari kiamat.”

Saudara dan saudari

Doa juga  sangat istimewa dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim kerana ia merupakan penghubung secara terus antara makhluk dengan Penciptanya.  Hendaklah kita jadikan doa sebagai amalan dalam kehidupan kita samada kita sebagai pelajar, pekerja, ketua, guru dan sebagainya. Kita kena akui bahawa kita ini adalah  makhluk yang lemah yang sentiasa memerlukan pertolongan, bantuan serta petunjuk dari Allah SWT.

Doa juga adalah rahsia kejayaan muslim dalam kehidupan. Individu yang mahukan kejayaan saperti kejayaan di dalam pelajaran, kerjaya, penyelidikan, kebahagian rumahtangga, dakwah dan sebagainya hendaklah sentiasa berdoa dan meletakkan pergantungan mereka kepada Allah SWT satelah berusaha bersungguh-sungguh di samping mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangannya.

Oleh itu marilah kita sama-sama meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak memohon kepada selain dari pada Nya. Untuk memastikan doa kita diterima oleh Allah SWT kita perlulah mematuhi beberapa syarat berdoa yag meliputi adab dan peraturan yang diajarkan kepada kita oleh Rasullullah SAW . Kita juga mesti memastikan bahawa rezeki yang kita perolehi daripada titik peluh seharian adalah halal kerana makanan yang haram boleh menyebabkan doa kita ditolak oleh Allah SWT.

Saudara dan saudari

Antara adab-adab berdoa secara ringkas untuk panduan kita adalah
1.   Berdoa dengan suara yang sederhana dan lembut
2.   Memohon dengan Al Asma –ul Husna
3.   Hendaklah berdoa dengan bersungguh-sungguh dan yakin bahawa doa kita akan di makbulkan oleh Allah SWT
4.   Berdoa di dalam semua keadaan samada senang atau susah
5.   Hendaklah berdoa dengan tekun dan tidak terburu-buru
6.   Larangan mengutuk keluarga dan harta
7.   Larangan berdoa kepada selain daripada Allah SWT
8.   Jangan terikut dengan sajak dalam berdoa
9.   Mengaku kesalahan dan dosa yang dilakukan
10.    Berdoa dengan merendah diri dan kusyuk
11.     Menjauhkan diri dari segala dosa dan bertaubat kepada Allah
         SWT
12.     Berdoa dengan amal soleh yang dilakukan
13.     Mengulang-ulang doa sebanyak 3 kali
14.     Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW
15.     Berdoa dengan mengadap kiblat
16.     Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa
17.     Berdoa sambil merendah diri
18.     Berdoa sambil menangis
19.     Mengambil wuduk sebelum berdoa
20.    Berdoa pada waktu-waktu yang mustajab berdoa

Sekian, semoga kita dapat menjadikan ibadah berdoa ini sebagai amalan kita setiap masa……
Walluhualam

Wasalam

Thursday, January 27, 2011

Renungan Ayat-Al Quran pilihan: Orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya....


Assalamulaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Antara  Ayat-ayat  Al Quran........

Firman Allah SWT

"Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" [Al Baqarah: 195]

"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik" [Ali Imran:134]

 Sekian, untuk renungan hati yang lalai

Wasalam

Tuesday, January 25, 2011

Akhlak kita sesama manusia......

Assalamu'alaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim



Perkara yang paling utama sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini ialah kita menjaga akhlak kita dengan Allah SWT..Di sini,  kita tidak ada pilihan langsung kerana Allah SWT lah yang menciptakan kita dan memberi segala kemudahan untuk kita hidup di dunia di dalam waktu yang di tetapkan. Sampai masa nya kita akan di jemput pulang untuk di hisab dan diazab.....


Namun begitu atas dasar kita berakhlak dengan Allah ini  jualah kita wajib berusaha untuk menjaga akhlak kita sesama manusia.
Secara ringkas antaranya.....

  • Mengasihinya sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri
  • Merasa gembira di atas kegembiraannya dan tumpang berdukacita kerana kedukacitaannya
  • Menginginkan kebahagiaan untuknya disamping berharap agar kecelakaan menjauhinya
  • Benci kepada kejahatannya tetapi kesihan pada dirinya hingga timbul perasaan untuk menasihatinya.  Pemurah padanya dan bertolak ansur dengannya.
  • Mengenang jasanya dan berusaha membalasinya kerana Allah
  • Memaafkan kesalahannya dan sanggup meminta maaf atas kesalahan padanya
  • Kebaikan disanjung dan diikut, kejahatannya dinasihati dan dirahsiakan. Lapang dada berdepan dengan ragam manusia.
  • Baik sangka dengan orang Islam dan tawaduk dengan manusia
Inilah antara bentuk-bentuk  akhlak kita sesama manusia.  Sudah semestinya akhlak di atas patut kita praktikan dahulu terhadap anggota keluarga kita yang terdekat...terhadap ibubapa, kita, isteri atau suami kita , anak-anak kita, saudara mara kita, kaum kerabat , sahabat ,rakan sepejabat dan sebagainya.

Namun begitu bukan lah mudah untuk mempraktikannya di dalam kehidupan kita tapi mintalah bantuan Allah SWT.
Ingatlah akan firman Allah yang bermaksud....

 "Mintalah bantuan dalam urusan mu dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang dimikian itu adalah sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusuk"

Sekian, semoga Allah SWT memudahkan urusan kebaikan kita.

Wasalam

Rujukan Tips menjadi insan yang tabah.......










Saturday, January 22, 2011

Akhlak kita dengan Allah SWT

Assalamu'alaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Marilah kita sama-sama merasakan kehadiran Allah SWT di dalam kehidupan kita. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa terkawal di dalam lingkungan syarak. InsyaAllah hidup kita akan mendapat keberkatanNya. Secara ringkasnya antara bentuk-bentuk Akhlak  kita dengan Allah SWT

1. Mengenal Allah dengan yakin

2. Merasa gerun dengan Neraka Allah. Merasa kehebatan Allah

3. Merasa sentiasa di awasi Allah

4. Merasa hina diri dan malu dengan Allah

5. Meredhai setiap takdir dan ketentuan Allah

6. Sabar di atas sebarang ujian Allah

7. Mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah

8. Menyintai Allah

9. Merasa takut pada Allah atas kecuaian dan dosa-dosa kita

10. Tawakal kepada Allah

11. Merasa harap pada rahmat Allah

12. Rindu pada Allah

13. Sentiasa mengingati Allah

14. Rindu pada syurga Allah kerana ingin bertemu dengan Nya.

Semoga kita cuba membentuk zahir dan batin kita dengan sifat-sifat di atas. Berusahalah untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT dalam apa jua keadaan pun. Marilah kita berdoa agar Allah memberikan kekuatan  kepada kita semua.

Wasalam

Rujukan Tips menjadi insan tabah

Friday, January 21, 2011

Renungan Ayat-Al Quran dan Hadith pilihan: Ujian/musibah menimpa kita

Assalamulaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Ayat Al Quran

Firman Allah SWT

"Iaitu orang-orang yang  apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya-lah kami kembali.  Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk" [Al Baqarah: 156-157]

Hadith

 "Tidak ada suatu musibahpun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya" [HR Muslim]

Sekian, untuk renungan hati yang lalai

Wasalam

Tuesday, January 18, 2011

Ucapkanlah perkataan yang baik........

Assalamu'alaikum wm

Alhamdullillah kerana dapat lagi kita  bertemu  untuk sedikit tazkirah ringkas di siber ini...Semoga ia dapat sedikit sebanyak membantu kita untuk meningkatkan kesedaran kita untuk kembali kepada Islam di dalam seluruh kehidupan kita...termasuklah di dalam pembentukan akhlak kita ini.  .

Saudara dan saudari yang di muliakan

Di dalam tulisan Ulamak Ustaz Said Hawa beliau ada menegaskan bahawa antara mereka-mereka yang di kasihi Allah ialah mereka yang sentiasa mengeluarkan kata-kata yang baik di dalam perhubungan mereka sesama manusia....

Banyak terdapat ayat-ayat Allah SWT  dan Hadith Rasulullah SAW yang menyentuh tentang perkara di atas. Antaranya....

Firman Allah SWT yang bermaksud....
"Dan berkatalah kepada sesama manusia dengan kata-kata yang baik"

Rasulullah SAW bersabda

 "Perkataan (kalimah) yang baik adalah sedekah"

Sabdanya lagi:

 "Takutlah kamu kepada api neraka walaupun bersedekah dengan sebiji tamar dan barang siapa yang tidak ada apa yang hendak disedekahkan maka hendaklah ia berkata-kata dengan perkataan yang baik"

Rasulullah SAW juga bersabda

" Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat hendaklah ia berkata-kata perkara kebaikan ataupun ia diam"

[Petikan dari Kitab- kitab sahih Imam Bukhairi dan Imam Muslim]

Hadith lain  juga menyebut.....

 " Seorang hamba yang berkata-kata dengan perkataan yang diredhai oleh Allah SWT ia tidak akan jumpa melainkan diangkat oleh Allah SWT dengannya beberapa darjat dan seseorang hamba yang berkata-kata dengan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT tidak di jumpai melainkan membawanya ke neraka"
[HR Bukhairi]

Sabda Rasulullah SAW

 "Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada sesama manusia , tidak berterima kasih kepada Allah"
[HR Tarmizi]

Baginda Rasulullah SAW  juga menasihatkan kita tentang keutamaan untuk mengambil sikap berdiam diri apabila kita rasa hendak meradang atau marah. Sabda nya yang bermaksud.....

 " Hendaklah kamu semua mengajar dan permudahkan dan jangan memayahkan, dan apabila meradang salah seorang dari kamu hendaklah ia diam dan apabila meradang salah seorang dari kamu hendaklah ia diam dan apabila meradang salah seorang dari kamu hendaklah ia diam "

Dimikianlah peringatan dari Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada kita untuk kita berhati-hati di dalam percakapan kita dengan manusia. Sama-samalah kita berusaha untuk tidak mengumpat dan menyakiti hati manusia lain termasuk isteri , suami ,anak-anak, saudara, kawan-kawan , teman sekerja, ketua-ketua kita dan sebagainya. Berdoalah semoga Allah membantu kita untuk melaksanakan usaha kita yang berat ini. Ingatlah syaitan sentiasa memberi idea untuk kita bercakap perkara yang tidak baik dan merosakan hubungan sesama kita..

Sekian, Wasalam

Rujukan: Kitab Said Hawa


Sunday, January 16, 2011

Thursday, January 13, 2011

Pengurusan jiwa: Allah penolong dan pelindung kita

Assalamu’alaikum wm
Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdullillah, sekali lagi kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dapat lagi kita bertemu di Usrah siber ini. Marilah kita berusaha mendidik hati-hati kita untuk melaksanakan segala yang di perintahkan Allah kepada kita iaitu sentiasa berusaha untuk mengabdikan diri kita hanyasanya kepada yang Allah SWT. Ingatlah selalu akan firman Allah SWT di dalam surat AzZariat: 56 yang bermaksud
“Tidak Aku jadikan Jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada Ku”
Selawat serta salam kita tujukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW, keluarga baginda dan para sahabat generasi awal yang berjuang bermatian-matian untuk melaksanakan hukum-hukum Islam di muka bumi ini.
Saudara dan saudari yang di muliakan

Di dalam menjalani kehidupan yang sementara ini yang penuh dengan ujian dalam pelbagai bentuk ini kita sangat-sangat mengharapkan kepada pertolongan dan perlindungan dari Allah SWT. Jadi selepas kita berusaha sedaya mungkin di dalam urusan kehidupan samada sebagai individu, ketua keluarga, ketua pejabat, ahli masyarakat dan lain-lain maka wajiblah kita menyerah semua urusan selepas itu kepada Allah SWT. Bertawakal kepadaNYa, percaya kepada janjiNya, reda dengan ketentuanNya, berperasangka baik kepada Nya dan menunggu jalan keluar daripada Nya. Inilah yang di katakan buah iman yang paling besar dan merupakan sifat-sifat orang mukmin. Pada ketika inilah kita akan merasa tenang terhadap apa yang kita alaminya dan bersandar sepenuhnya kepada Allah dalam setiap urusan . InsyaAllah kita akan mendapat penjagaan, kecukupan, kekuatan dan pertolongan dari Allah SWT.
Seerah nabi Allah Ibrahim As telah merupakan antara bukti pertolongan Allah kepada hambanya yang berserah sepenuhnya. Ketika baginda. dilemparkan kedalam api yang marak , baginda berkata ,”Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”. Pada saat itu juga Allah SWT telah menjadikan api itu dingin dan menyelamatkan Nabi Ibrahim AS daripada perbuatan jahat kaum musyrikin itu. Begitu juga yang berlaku kepada diri Rasulullah SAW dan para sahabat yang Allah firmankan di dalam surah Ali Imran ayat 173 dan 174
“(Yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepadanya” oarng-orang quraish telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,” ternyata ucapan itu menambah kuat iman mereka dan mereka menjawab “cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Dialah sebaik-baik pelindung”

Saudara dan saudari
Seerah di atas sudah cukup untuk memberi panduan kepada kita yang lemah ini. Di dalam banyak hal kita tidak mampu menghadapi cubaan dan musibah serta menghilangkan kesusahan. Lihat lah apa yang berlaku setiap hari di dalam kehidupan masyarakat kita , terlalu banyak gangguan dan kezaliman manusia dilaporkan setiap hari. Pembunuhan, penderaan, rompakan dan lain-lain lagi yang merisaukan kita hatta di dalam rumah pun sudah tidak selamat lagi….Isteri dan anak tersiksa oleh perbuatan suami dan ayah, berjalan di malam hari bersaorangan pun bahaya, rumah tidak boleh di biarkan tak berkunci, anak-anak kita tak boleh bermain bersendirian…..sampailah kepada masalah global saperti yahudi yang setiap hari membunuh saudara kita di Palastin. Jadi siapa lagi kita nak mengharapkan pertolongan kalau tidak kepada pencipta dan penjaga kita iaitu Allah SWT. Satelah kita berusaha semampu yang boleh …persiapkan kekuatan rohani (tingkatkan iman ) dan jasmani/fisikal maka bertawakallah kepada Allah SWT. Percaya dan yakinlah kepada jaminanNya dan serahkan semua urusan kepadaNya. Pertolongan Allah itu akan sentiasa mengiringi mereka yang sentiasa berserah kepadaNtya dengan penuh keimanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud.............
“ Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman” [Al Maidah:23]

Saudara dan saudari
Sebagai manusia biasa tidak dapat tidak kita tidak lari dari kesempitan wang, banyak hutang, mendapat hasil yang sedikit, kesempitan jiwa, rasa takut kepada manusia, musuh atau terhadap orang zalim…maka sentiasalah ucapkan ” Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.”

Itulah antara sebabnya juga kita digalakkan membaca 7 kali pagi dan petang ayat 129 Surah At Taubah, yang bermaksud.............
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki arasy yang agung"
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud...........
“ dan cukuplah Tuhan mu menjadi pemberi petunjuk dan penolong ‘ [Al Furqan:71]
Marilah sama-sama kita rasakan betapa Allah SWT itulah penolong dan pelindung paling agung bagi kita. Tidak sesiapapun yang mampu menolong dan melindungi kita sehebat pertolongan dan perlidungan Allah Yang Maha Agong yang mana pertolongan Allah SWT ini memberi kita kebahagiaan bukan sahaja di di dunia yang sementara ini tetapi yang penting lagi ialah kebahagiaan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Kita sangat-sangat memerlukan Allah dalam hidup kita ini. Hanya Allah sehaja yang layak diperlukan dan di cari oleh mereka yang hidup di dunia ini. Tanpa Allah , setiap makluk tidak mendapat apa yang di hajati. Walau pun fizikal kita nampat kuat dan berpelajaran dan berkedudukan tinggi, kita tidak mampu untuk menambah walaupun satu saat nyawa kita sekira Allah cabut sekarang ini…kita begitu lemah malah apa yang miliki sekarang ini hanya dipinjamkan Allah untuk menguji keimanan kita dan akan dipersoalkan di padang Masyar kelak…

Renungilah Hadith Rasullullah SAW dalam doa baginda…

“Ya Allah, sesungguhnya aku pasrah diriku kepadaMU dan aku palingkan wajahku kepada MU, dan aku sandarkan punggungku kepada Mu, kerana berharap dan takut kepada MU. Tiada tempat berlindung, tiada pula keselamatan melainkan hanya kepada MU” [hadith Mutafaq’alaih]

Ameen, sekian semoga peringatan di atas dapat mendidik hati kita yang keras ini supaya sentiasa mengingati Allah di dalam setiap amalan yang kita buat…baik di rumah, di pejabat , di pasar, di padang mainan…..mintalah pertolongan dan pelindungan dari Allah SWT.

Kebenaran dari Allah dan janganlah kita ragu-ragu…kelemahan hanya dari kita…maaf di pinta.Tangguh dengan Tasbih kafarah dan surah Al Asr…
Wasallam.
Rujukan
Dr Ibrahim Fiqhy, Ibnu Qayyim Al Jauziyah…

Monday, January 10, 2011

Komen dari pembaca untuk di kongsi bersama....

Assalamu'alaikum wm

Alhamdullillah, saya mendapat satu komen yang cukup baik untuk di kongsi bersama  terutama bagi  kita yang berkerja mencari rezeki di dunia yang sementara ini...Ingatlah nasihat di bawah dan terima kasih dan jazakallah kepada pemberi komen ini. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk lengkap melengkapi dan bantu membantu di antara kita....



Anonymous said...
Kerja kita merupakan satu ibadah. Kita bekerja untuk mendapat rezki yang halal untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga.. Rezeki yang haram pula kadangkala diperolehi tanpa kita sedari, akibat telah ‘biasa’ dengan perbuatan tersebut atau sememangnya kita bertujuan kearah itu. Majikan kita memberikan kita hak untuk ‘claim’ (membuat tuntutan) tapi kita haruslah menggunakan hak kita itu dengan cara yang betul dan bukan menipu. Apabila sudah memakan dari sumber-sumber pendapatan yang haram dan tidak berkat, adalah dikhuatiri ini akan membawa kepada gejala sosial anak-anak dan ketidak seimbangan rumahtangga itu sendiri. Pastikan anda mendapat gaji yang halal, demi kesejahteraan diri anda, keluarga anda di dunia dan akhirat.

Antara jenis2 tuntutan yang berkemungkinan membawa kepada wang yang haram:

1) Tuntutan perjalanan: tidak menjelaskan perbatuan sebenar, kadangkala jauh melebihi perbatuan yang sepatutnya. Tuntutan yang menggunakan perbatuan kereta, walaupun pergi dengan motosikal sahaja.

2) Tuntutan hotel: menuntut elaun hotel bagi persendirian, sedangkan yang sebenarnya ia berkongsi dengan rakan-rakan yang lain. Terdapat hotel-hotel yang bersubahat dengan menjual resit hotel.

3) Tuntutan wang runcit: berpakat dengan pekedai yang menjual barang untuk meningkatkan harga barang yang ditulis pada resit belian.

4) Tuntutan elaun makan dan harian: ada yang pergi lewat dan balik awal tetapi menuntut elaun makan dan harian yang tidak setimpal. Contohnya, balik awal dari kerja luar (2 hari), sedangkan jadual selama 3 hari. Tuntutan masih untuk 3 hari dan bukan 2 hari.

5) Tuntutan elaun lebih masa: menuntut elaun lebih masa sedangkan tugas tersebut boleh disiapkan awal pada waktu pejabat.

Apakah kita redha memberi anak-anak kita makan dan membesar dengan rezeki yang diperolehi secara haram? Ini sudah tentu sama keadaan nya dengan memberi mereka makanan yang haram atau daging yang tidak disembelih, walaupun pada hakikatnya kita memberi mereka makanan yang halal, berzat dan berkhasiat. Renungkanlah.

Motivasi : Tingkatkan usaha menuntut ilmu yang manafaat…


Assalamu’alaikum wm

Bismillahirrahmanirrahim

Pertama sekali marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah izinNya jua dapat kita bertemu di Usrah siber ini.  Walau pun kita tidak bertemu wajah, tetapi sabenarnya sekiranya niat kita sama iaitu ingin berusaha meningkatkan iman, ilmu dan amal kita , InsyaAllah Allah akan mempertemukan hati kita….Semoga masa yang kita berikan untuk memahami Deen/Ugama  Allah ini Allah akan  mudahkan jalan-jalannya…Ingatlah sekiranya kita tidak memberi masa untuk amalan kebaikan , kita akan beri masa pada yang melalaikan…

Saudara dan saudari yang di muliakan

Pada pertemuan kali ini saya ingin mengajak diri dan saudara/saudari untuk melihat kepentingan kita meningkatkan ilmu kita supaya dapat kita meningkatkan lagi kefahaman kita tentang deen Allah ini…Rasulullah SAW mengingatkan kita..

“Barang siapa yang Allah menghendaki kebaikan pada nya, maka Dia memahamkannya dalam agama ‘ [HR Ahmad, Bukhairi dan Muslim]

Perlu kita ingatkan diri kita bahawa ilmu merupakan harta yang termahal di dalam kehidupan  kita.  Hanya dengan  Ilmu , kita boleh berjalan menuju  marifatullah dan mencapai keredaanNya di dunia dan akhirat.  Oleh sebab itulah di dalam kehidupan,  kita di perintahkan supaya sentiasa memohon tambahan Ilmu kepada Allah SWT. 
Firman Allah SWT…

“Maka Maha tinggi Allah, Raja-yang sabenar-benarnya maka janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al Quran sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu, dan katakanlah, Ya Tuhanku, tambahlah kepadaku ilmu pengetahuan” [ Toha:114]
Allah SWT juga berfirman..

“Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang di beri ilmu pengetahuan beberapa peringkat….[Al Mujadillah:11]

Rasulullah SAW bersabda menegaskan tentang keutamaan ilmu, antaranya…
“Keutamaan ilmu itu lebih aku sukai daripada keutamaan ibadah. Dan sebaik-baik agamamu  adalah wara’ (menjaga dari sesuatu yang haram” [ HR Tabrani dan Hakim]

Pada hakikatnya ilmu itu laksana harta. Keduanya merupakan amanah dan pemberian Allah SWT kepada hambaNya. Oleh itu di hari kiamat kelak Allah akan meminta pertanggungjawabannya. 

Di antaranya iaitu pertanggungjawaban yang berkait dengan  manafaat ilmu dengan manusia dan persekitarannya. Setinggi apa pun ilmu yang di miliki oleh sesaorang jika tidak mampu mengerakkan hati dan anggota-anggota badan untuk sentiasa beribadah, maka tidak ada kebaikan di sana.

Imam AsySyatibi berkata di dalam kitab  Muwafakat “ Sesungguhnya tidak ada satu dalam syarak yang menunjukkan kebaikan pada ilmu yang tidak  bermanafaat.

Kita harus memohon  perlindungan kepada Allah SWT dari ilmu yang tidak bermanafaat, yang tidak mendatangkan kebaikan apa pun bagi kita.  Rasulullah  SAW telah mengajar kita di dalam doa, antaranya

“Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari hati yang tidak khusuk, doa yang tidak di dengar, jiwa yang tidak pernah puas, dan ilmu yang tidak bermanafaat. Aku berlindung kepada Mu dari empat hal tersebut [HR Tarmizi, Abu Daud dan Nasa’i]

Ali RA berkata “ wahai orang –orang yang berilmu, amalkan ilmu mu. Sesungguhnya orang alim adalah orang yang mengerti sesuatu, lalu mengamalkannya, sehingga ilmunya sesuai dengan amalnya”

Malik bin Dinar RA berkata “ Orang alim yang yang tidak mengamalkan ilmunya akan kehilangan nasihatnya dari hati, sebagaimana hilangnya titisan hujan dari Safa”.

Saudara dan saudari

Ilmu adalah cahaya hati nurani, menghidupkan jiwa dan pemacu semangat.  Sesungguhnya kebahagiaan dan keceriaan itu datang bersama ilmu.  Kelebihan menuntut ilmu yang menafaat ini amat banyak, Rasullulah SAW bersabda dan terdapat di dalam hadith
40, sebahagiannya hadith yang diriwayatkan oleh Muslim..

“….Dan barangsiapa yang menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah mudahkan baginya satu jalan kepada syurga…

Ilmu yang manafaat di sini ialah ilmu yang membangkitkan jiwa kita untuk membuktikan daya cipta dan usaha dalam bidang amal yang baik yang menyeluruh di dalam kehidupan kita. Ilmu yang memudahkan jalan ke syurga iaitu ilmu yang yang diamalkan dengan maksud yang suci, bukan hanya bermaksud menghasilkan faedah hidup keduniaan semata-mata. Ilmu itu merangkumi ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah yang membawa kita kepada keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.   

Jadi, marilah kita sama-sama tingkat usaha untuk menuntut ilmu yang dapat memberikan kita cahaya untuk menyuluh kegelapan kehidupan kita yang singkat ini, yang dapat membimbing kita membezakan suruhan Allah untuk bertaqwa dengan suruhan syaitan dan nafsu shahwat untuk sentiasa membuat maksiat….

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW

“Apabila datanglah pada ku hari, yang tidak bertambah ilmuku padanya, yang mendekatkan diriku kepada Allah, maka tidak diberikan barakah bagiku pada terbit matahari hari itu” [HR At-Thabarani, Abu Naim, Ibnu Abdli-Birri dan Aisyah]

Peluang untuk kita menuntut ilmu ini terbuka luas dengan segala kemudahan teknologi moden sekarang ini.  Walau bagaimana pun rujuk lah pada Ulamak/ Ustaz yang kita yakin dengan peribadi mereka sekiranya kita keliru dengan pelbagai sumber di akhir zaman ini…..

Sekian, sekiranya ada kebenaran memang sohih dari Allah SWT, yakinlah kita…kelemahan adalah dari kita jua…maaf di pinta.

Tangguh dengan Tasbih kafarah dan Surah Al Asr…

Wasalam
Rujukan, Hadith 40, Kitab Imam Ghazali, kitab Mahmudin....


Tuesday, January 4, 2011

Selingan: Kata-kata Hikmah


Saudara-saudari yang di muliakan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum wm

Sedikit kata-kata hikmah dari internet yang boleh kita fikirkan untuk mendidik hati kita….cuba renungkan

•        Menangisi perpisahan akibat gagal bercinta adalah satu pembaziran mutiara jernih kita dan juga menguji sejauh mana kebodohan kita tetapi dengan menangisi dan menyesali akan dosa kita lantas meminta pengampunan dariNya akan lebih menjamin dunia dan akhirat

•        Ajaran seorang ayah dan ibu seperti karangan bunga yang indah bagi kepalamu dan suatu kalungan bagi lehermu

•        Sesungguhnya hati orang yang bodoh itu ada di mulutnya tetapi hati orang yang bijaksana ada di hatinya

•        Setitik air boleh membelah batu bukan kerana derasnya tetapi dengan seringnya ia menitik

•        Semakin jauh kita cuba lari dari menyelesaikan masalah, semakin dekat ianya datang menghampiri kita…

•        Tingkahlaku adalah umpama cermin dalam mana setiap orang mempamerkan imejnya

•        Jangan berbangga dengan pujian teman kerana sebalik pujian terdapat satu kejian

•        Perkataan yang lemah lembut itu melembutkan hati yang lebih keras dari batu batu dan perkataan yang kasar akan mengasarkan hati yang lebih halus dari sutera

•        Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah kita menjadi langau yang membusukkan daging

•        Kemuncak segala dosa ialah bohong. Dua perkara yang sentiasa mengiringi bohong ialah banyak berjanji dan banyak memberi alasan

•        Jangan malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali

•        Kegagalan pertama, tidak ianya terus gagal: tetapi ianya kan membangkitkan cita cita yang bersemangat lagi teguh bagi sesiapa yang pernah mengalaminya

•        Orang sibuk sebenarnya tidak cekap, orang yang cekap tidak sibuk

•        Orang yang sibuk selalunya nampak bising, orang bekerja diam diam sahaja

Wassalam
Rujukan
Tazkirah.wordpress
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...